Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

TUKAR AGAMA: LEPASKAN 
‘GANTUNG TAK BERTALI’

SEBELUM pindaan Akta 16, mahkamah syariah tidak mempunyai kuasa
SEBELUM pindaan Akta 16, mahkamah syariah tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan perkahwinan pihak yang memeluk agama Islam kerana hanya mahkamah sivil boleh berbuat demikian. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

RANG undang-undang bagi pindaan Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau dikenali sebagai Akta 164 yang diluluskan baru-baru ini adalah pendekatan yang telah diambil dalam mena­ngani isu penukaran agama kepada Islam oleh salah seorang pasangan yang berkahwin secara sivil.

Rang undang-undang ini mencadangkan bahawa hak untuk memfailkan petisyen perceraian haruslah juga diberikan kepada pasangan yang telah menukar agama Islam di bawah sub Sek­syen 51(1) Akta 164. Ini kerana sebelum ini hak di bawah Akta 164 ini hanya diberikan kepada pasangan yang kekal dalam agama asal.

Oleh itu, isu timbul apabila pasangan yang kekal pada agama asalnya dan tidak memfailkan petisyen pembubaran perkahwinannya ke mahkamah sivil, maka perkahwinan mereka dianggap masih sah dan kekal di bawah Akta 164. Apabila perkahwinan mereka masih sah, maka menjadi suatu kesulitan bagi pasangan yang menukar agama kepada Islam untuk menuntut haknya seperti nafkah, hak penjagaan anak dan hak pembahagian aset bersama dan hak-hak lain yang berkaitan.

Kesulitan juga bakal timbul apabila kedua-dua pasangan membuat permohonan kepada dua mahkamah berbeza iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah bahkan apabila kedua-dua mahkamah mengeluarkan arahan berbeza. Mahkamah Syariah juga tidak dapat mengeluarkan arahan untuk membatalkan perkahwinan sivil di bawah Akta 164 kerana kuasa untuk melakukan sedemikian ha­nyalah terletak pada mahkamah sivil.

Dalam mencadangkan pindaan A164 bacaan kedua baru-baru ini, Datuk Seri Azalina Othman Said menerangkan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa pindaan itu perlu berdasarkan tiga prinsip utama seperti mana yang dinukilkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa me­rasmikan sambutan Hari Wanita Kebangsaan pada 25 Ogos 2016.

Pertama: Sebarang isu berbangkit dari perceraian yang perkahwinannya didaftarkan di bawah Akta 164 hendaklah diselesaikan di mahkamah sivil terlebih dahulu dan tuntutan hak jagaan anak dapat terpelihara dan terjamin.

Kedua: Dapat menyelesaikan isu perkahwinan mengikut Akta 164 de­ngan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perkahwinan mereka di mahkamah sivil.

Ketiga: Pertindihan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah serta pertindihan peruntukan undang-undang yang sedia ada dapat diselesaikan.

Pemelukan agama Islam oleh salah satu pihak yang berkahwin di bawah Akta 164 dan kemudiannya berkait dengan penukaran agama kanak-kanak serta perebutan hak penjagaan kanak-kanak berikutan pertindihan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah serta peruntukan yang tidak jelas dalam isu ini telah menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan.

Terbaharu dalam kes Mohamad Ridhuan Abdullan lwn Indira Gand­hi (2015) di mana mahkamah ra­yuan memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Syariah Ipoh terhadap hak penjagaan kanak-kanak mengikut bapa yang beragama Islam dan pengesahan agama Islam terhadap kanak-kanak tersebut sekali lagi mencetuskan perbahasan yang tidak berkesudahan kerana kedua-dua mahkamah sivil dan mahkamah syariah mempu­nyai bidang kuasa masing-masing.

Penukaran agama terutama kepada agama Islam adalah isu yang sangat sensitif kerana melibatkan dua penganut agama berlainan. Allahyarham Profesor Ahmad Ibrahim adalah orang pertama menulis mengenai ke­perluan meminda Seksyen 51 Akta 164 bagi memberi keadilan kepada pihak yang memeluk agama Islam untuk memfailkan petisyen percerai­an di mahkamah syariah.

Ini kerana, selagi pihak yang bukan Islam tidak memfailkan petisyen perceraian di bawah Akta 164, selagi itulah perkahwinan mereka tergantung. Akta 164 memperuntukkan pemelukan Islam sebagai sebab untuk pembubaran perkahwinan. Seksyen 51 Akta 164 memperuntukkan: “Apabila salah seorang kepada perkahwinan itu memeluk agama Islam, pihak yang satu lagi yang tidak memeluk agama Islam boleh memohon petis­yen perceraian. Dengan syarat tiada petisyen boleh dibuat di bawah seksyen ini sebelum tempoh tiga bulan tamat dari tarikh pemelukan tersebut”.

Mahkamah Syariah hanya dapat memisahkan mereka tanpa boleh mengeluarkan sijil perceraian bagi perkahwinan tersebut. Menurut Seksyen 46(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 dan enakmen di negeri lain memperuntukkan: “Pemelukan Islam oleh salah seorang pasangan bukan Islam, secara tersendirinya tidak menyebabkan perkahwinan itu terbubar kecuali ia disahkan oleh Mahkamah Sivil”.

Terdapat sesetengah pihak yang mempertikaikan bahawa dengan pindaan Akta 164 akan mengurangkan bidang kuasa mahkamah syariah kerana penentuan agama kanak-kanak, tuntutan hak penjagaan anak, nafkah, aset semasa perkahwi­nan, pewarisan dan hal-hal lain berkaitan.

Ini kerana, tuntutan tersebut akan dibuat di mahkamah sivil dan bukan lagi di mahkamah syariah walaupun salah satu pihak yang terlibat telah memeluk agama Islam. Sebenarnya, pindaan Akta 164 terutama dalam Seksyen 51 banyak menyelesaikan masalah pokok kerana perkahwinan asalnya adalah didaftarkan di bawah Akta 164 dan bukan di bawah Akta/Enakmen Undang-undang Keluarga Islam.

Mengenai pandangan yang mengatakan pindaan Akta 164 ini mengambil bidang kuasa mahkamah syariah seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, ia sebenarnya tidak berkait langsung kerana perkahwinan orang bukan Islam tidak tertakluk di bawah mahkamah syariah kerana dibuat di bawah undang-undang sivil iaitu Akta 164. Ia hanya akan berbangkit sekiranya Mahkamah Sivil memasuki bidang kuasa yang diberikan kepada mahkamah syariah.

Secara umumnya, pindaan Akta 164 oleh pihak kerajaan berkaitan isu penukaran agama kepada Islam serta isu-isu sampingan adalah selaras dengan prinsip Siyasah Syariah.

Prinsip Takhsis al-Qad­ha’ (pengkhususan penghakiman) yang adalah antara sub-tema bagi Siyasah Syariah, menghendaki pemimpin negara atau kerajaan untuk membentuk bidang kuasa baharu atau mengkhususkan bidang kuasa bagi mahkamah ataupun tribunal yang sedia ada, jika tindakan sedemikian dapat membuahkan keadilan atau mampu mencetuskan penyelesai­an yang berkesan.

Bagi mengelak konflik bidang kuasa di atas, pindaan Seksyen 51 Akta 164 baru-baru ini adalah jalan penyelesaian bagi memastikan keadilan terlaksana ke atas kedua-dua pihak sama ada yang menukar agama kepada Islam dan juga bagi yang tidak menukar agamanya. Remedi pindaan Akta 164 melihat pihak yang memeluk agama Islam terlepas dari “gantung tak bertali” buat sekian lamanya sebelum ini.

PROF. MADYA DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain