Abd. Latif bergambar dengan pokok kapur berusia 88 tahun di Arboretum
Abd. Latif bergambar dengan pokok kapur berusia 88 tahun di Arboretum 

Sikapnya sebegitu yang seakan mahu bebas daripada sebarang protokol, membuatkan penulis lebih selesa untuk mendekati Saintis Perhutanan pertama di negara ini, itu.

Memulakan bicara, anak kelahiran Johor Darul Takzim ini menunjukkan landskap buatan yang dihias cantik dengan pokok langsuir yang tumbuh di dahan pokok di sekitar kawasan pejabatnya.

Sambil menceritakan minatnya yang begitu mendalam terhadap pokok, memori Abd. Latif terus menangkap peristiwa di dalam sebuah bilik darjah dua di Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam, Kluang, Johor pada 1968.

“Waktu itu, ada seorang cikgu bertanya tentang cita-cita apabila besar nanti. Maka, saya pun dengan selambanya menjawab ingin menjadi seorang tukang kebun. Sedangkan, rakan-rakan lain ada yang ingin menjadi seorang guru, juruterbang dan sebagainya,” katanya memulakan bicara.

Jawapan itu, katanya, mengundang kehairanan guru dan kawan-kawan, kenapa tukang kebun menjadi inspirasi buat anak bongsu daripada lapan beradik itu.

“Sejak kecil memang saya sudah mengikut emak ke kebun untuk menebas dan menanam pokok. Kami pun memang berasal daripada keluarga susah dan emak bekerja sebagai buruh kasar. Malah, arwah ibu saya juga pernah menjahit baju raya kami adik beradik menggunakan kain perca,” ceritanya.

Erti kesusahan itulah yang membuatkan bapa kepada dua anak ini begitu akrab dengan alam sekitar kerana baginya apabila bercakap dengan pokok, tumbuh-tumbuhan ciptaan Tuhan itu tidak pernah melawan bahkan memberikan ketenangan kepada manusia.

UP/ RENCANA MINGGUAN MALAYSIATimbalan Pengurus Besar, Malaysia
UP/ RENCANA MINGGUAN MALAYSIATimbalan Pengurus Besar, Malaysia 

Walaupun tumbuhan flora yang menghijau begitu dekat dengan kehidupan Abd. Latif, namun, katanya, kerana pokok juga dia pernah koma selama tiga bulan sewaktu kecil akibat terjatuh ketika memanjat pokok.

Menerima Anugerah Saintis Muda Negara pada 1993 ketika berusia 33 tahun, ini adalah pengiktirafan terbesar dalam pencapaian hidup Abd. Latif. Ini kerana beliau baru bekerja selama lapan tahun sejak melaporkan diri pada 1985 ketika itu. Bahkan, rekod yang dipegangnya masih belum pernah dicabar oleh mana-mana individu penyelidik perhutanan di negara ini.Lebih membanggakan apabila beliau juga memegang enam rekod individu Malaysia Book of Records (MBR) dengan rekod terkini diterimanya pada 12 Disember lalu iaitu Saintis Perhutanan Pertama dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Institusi-institusi Perhutanan Asia Pasifik (APAFRI) untuk kali ketiga.

Di bawah kepemimpinannya juga, FRIM berjaya meraih sejumlah 37 MBOR termasuk enam rekod individunya. Bahkan, beliau juga adalah perintis dalam mengendalikan pelbagai projek penyelidikan, pembangunan dan aplikasi penggunaan hasil hutan bukan kayu seperti rotan, buluh dan palma.

Sepanjang 33 tahun menabur budi di FRIM, beliau membentang dan menulis lebih 300 makalah penyelidikan dalam pelbagai seminar serta jurnal tempatan dan antarabangsa.

Memori ketika darjah dua begitu kuat melekat dalam kotak fikiran seorang pencinta pokok ini. Masakan beliau berusaha menghasilkan sebuah sajak bertajuk 1968- ketika dalam darjah dua untuk mendedikasikan kenangan sepanjang hayatnya. Bahkan, jodohnya juga ditakdirkan dengan rakan sekelas bernama, Halidah Kasmin yang adalah seorang pelajar pintar.

Peristiwa lalu itu, menjadikan beliau sebagai seorang yang sangat berprinsip dan mempunyai pegangan teguh dengan setiap perkara yang dilakukannya. Baginya, kehidupan yang ditempuhi ini tidak akan lari daripada dua perkara utama.

“Pertama adalah hutan meliputi pokok-pokok dan kedua adalah alam sekitar. Contohnya, kalau kita pergi kepada makanan akan berkait dengan air dan tanah. Aspek kesihatan pula sudah tentu berkait dengan alam sekitar,” ujarnya.

Tegasnya, hasil hutan dan kayu-kayan sebenarnya memberi manfaat besar kepada manusia tanpa disedari. Dunia sekarang tidak hanya memandang kayu sebagai balak sahaja, tetapi memandang apa yang ada di dalam hutan sebagai suplemen dan pelengkap kepada hutan asal.

“Contohnya, nilai herba sangat tinggi di pasaran antarabangsa sehingga mencecah RM3.3 trilion (AS$800) pada tahun lalu. Malah, negara ini mempunyai potensi besar dalam eksport antarabangsa kerana pasaran tempatan juga sudah mencecah RM2 bilion,” jelasnya.