Tujuh resolusi yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sa­ngat relevan dengan islah (reformasi) institusi pendidikan Islam sama ada di bawah arus perdana mahupun yang digerakkan oleh pihak negeri dan swasta.

Resolusi ini tidak saja melihat dari sudut perundang­an kedudukan pendidikan Islam yang dikendalikan oleh pihak Persekutuan dan negeri tetapi juga pertumbuhan pondok, maahad tahfiz dan berkaitan dengan jenis manusia (modal insan) yang bakal berperanan pada masa depan.

Penulis turut sama terlibat dalam warshah ini dan mendapati perbincangan yang melibatkan ahli akademik, para ulama dan pihak yang berautoriti mengendalikan program pendidikan berlaku secara terus terang dengan harapan islah boleh berlaku dalam konteks pendidikan Islam di Malaysia.

Terdapat perbezaan ketara institusi yang dikendalikan oleh arus perdana dengan pihak swasta yang menuntut islah terjadi. Ini melibatkan struktur dan tadbir urus institusi pihak swasta, kurikulum yang diguna pakai, latihan keguruan yang dilalui, jenis buku teks yang diguna pakai dan corak evaluasi dan persijilan, kebajikan dan kewangan yang diberi perhatian berkait rapat dengan hari depan generasi yang terlibat.

Suatu ketika dulu kecenderungan memasuki institusi pendidikan agama ialah dalam kalangan para pelajar yang gagal memasuki sekolah arus perdana. Kini kecenderungan itu berubah apabila pelajar cerdik dan berkelulusan baik pun berlumba-lumba untuk memasu­kinya.

Ini yang menjadikan warshah islah ini penting supaya berlaku integrasi dan penyantunan pihak arus perdana dengan pihak swasta supaya pendidikan Islam berlaku lebih terancang dan terpedoman agar modal insan yang dilahirkan relevan dengan proses perubahan dan pembangunan negara.

Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan pada 2017 terdapat 618 pusat tahfiz yang berdaftar, 133 pondok, 985 Sekolah Rendah Agama Nege­ri, 1509 Sekolah Rendah Agama Rakyat, 72 Sekolah Menengah Agama Negeri, 99 Sekolah Menengah Agama Rakyat, 220 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan. Ini belum dikira kelas KAFA , Imtiaz, Sekolah Ululal­bab dan institusi yang tidak berdaftar atau berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Wujud perbezaan enakmen kawalan sekolah agama yang berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Ini memerlukan penyelarasan dan kawalan supaya orientasi pendidikan yang diterima menyumbang kepada pendidikan berkualiti dan berkait dengan proses memartabatkan pendidikan Islam dan mempunyai kesan positif terhadap perubahan dan pembangunan negara.

Perkara ini sangat penting diberikan perhatian khas supaya generasi masa depan umat Islam berada dalam corak pendidikan yang terancang baik dengan kualiti keilmuan yang sifatnya sepadu tanpa menolak kepentingan akademik termasuk sains dan teknologi yang sifatnya menyumbang.

Terdapat institusi pendidikan di negara Islam lain tidak terselaras dan dikawal menyebabkan cenderung ke arah penyimpangan, ekstremisme terjadi. Keadaan ini menghasilkan krisis yang parah dalam kalangan umat dan menyebabkan pembangunan sumber daya (modal insan) tidak terarah.

Semangat untuk menghantar anak-anak ke institusi-institusi agama yang pelbagai adalah baik tetapi tindakan ini perlu diimbangi dengan perancangan, penyelarasan dan kawalan yang lebih strategik supaya pendidikan Islam di Malaysia menyantuni kepentingan nakli-akli dan membolehkan generasi muda menerima ilmu yang lebih seimbang di bawah struktur dan tadbir urus yang baik.

Oleh itu resolusi yang diluluskan dalam warshah itu harus dikembangkan dengan menubuhkan jawatankuasa mengkaji aspek perundangan Persekutuan dan nege­ri, tadbir urus yang berwibawa, struktur pembangunan yang baik, corak kurikulum dan latihan keguruan dan proses persijilan yang berkualiti.