Antaranya adik lelaki penulis dan isterinya yang akan berangkat ke Madinah pada 27 Julai ini. Sehari sebelumnya, teman baik penulis yang juga Pengarang Rencana Kosmo! Najibah Hassan dan suaminya bakal terlebih dahulu menjadi tetamu Allah pada musim haji kali ini.

Dalam kalangan teman sepejabat lebih kurang 15 orang mendapat peluang menunaikan haji apabila mendapat tawaran mengerjakan rukun Islam kelima itu yang menjadi impian umat Islam seluruhnya.

Malam semalam, seorang kakak senior dalam bidang kewartawanan menyampaikan perkhabaran gembira apabila rayuannya untuk mengikut suami yang terlebih dahulu mendapat tawaran daripada Tabung Haji, diterima.

Meremang bulu roma penulis mendengarkannya. Seronoknya bagaikan penulis pula yang mendapat tawaran tersebut. Perasaan gembira dan hiba berbaur kerana mengingatkan betapa kakak senior itu tidak putus-putus berdoa sejak tahun lalu agar dia mendapat peluang yang sama dengan suaminya untuk ke tanah suci.Syukur Alhamdulillah.

Bagi setiap orang Islam yang sentiasa membayangkan lambaian Kaabah, mendapat panggilan haji boleh dium­pamakan bulan jatuh ke riba. Walaupun ada yang pernah menjejakkan kaki ke tanah haram kerana menunaikan umrah, perasaan teruja yang dirasai tidak sama dengan keterujaan untuk mengerjakan ibadah haji.

Elemen penantian dan debaran sementara menunggu tawaran, selain unsur kejutan apabila nama terpilih sebagai antara jemaah haji sedangkan giliran ke tanah suci mungkin jauh lagi, menambah drama musim haji. Tawa dan tangis menjadi plot tambahan apabila doa bertahun-tahun untuk mengerjakan haji akhirnya termakbul, atau rayuan di saat-saat akhir diterima seperti kakak senior penulis itu.

Bertuahlah mereka yang mendapat tawaran daripada Tabung Haji, menerimanya dan meneruskan perjalanan ke tanah suci Madinah dan Mekah bagi melengkapkan ibadah haji.

Semalam, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia telah pun berangkat dan selamat tiba di tanah suci Madinah. Difahamkan sejumlah 30,200 jemaah haji Malaysia mendapat panggilan haji tahun ini. Mereka ini akan berlepas berperingkat-peringkat mengikut jadual penerbangan yang telah pun diatur oleh Tabung Haji.

Penulis percaya penerbangan jemaah haji ke tanah suci di bawah kendalian Tabung Haji akan berjalan lancar seperti tahun-tahun sebelumnya. Walaupun jumlah 30,200 jemaah bukanlah kecil dan me­nguruskan sebegitu ramai jemaah bukanlah tugas mudah, tetapi Tabung Haji bukanlah calang-calang agensi. Rekod cemerlang Tabung Haji menguruskan jemaah ke tanah suci dengan menaiki pesawat sudah berjalan selama 47 tahun iaitu bermula pada 1970 lagi.

Sejak itu juga sudah beratus ribu bahkan mungkin jutaan jemaah telah diuruskan oleh petugas Tabung Haji. Walaupun jumlah petugas yang ‘dikerahkan’ ke­ringat mereka untuk satu-satu musim haji jauh lebih kecil berbanding jemaah haji Malaysia, namun sehingga kini kehadiran mereka pada setiap musim haji cukup dirasai.

Untuk musim haji kali ini, sebanyak 660 petugas Tabung Haji akan berkhidmat membantu 30,200 jemaah haji Malaysia. Mereka ini termasuklah pasukan perubatan, kebajikan dan media. Kumpulan pertama 139 petugas haji tersebut berlepas ke tanah suci pada 17 Julai lalu, iaitu seminggu lebih awal daripada penerbangan pertama jemaah haji semalam.

Pemergian mereka lebih awal ke tanah suci tidak lain tidak bukan untuk membuat persiapan bagi memastikan segala persediaan sudah tersedia sebelum ketibaan jemaah haji.

Jika dikira nisbah antara petugas dengan jemaah, anggaran seorang petugas Tabung Haji bertanggungjawab membantu 45 orang jemaah sepanjang musim haji ini. Ini bermakna ada 45 watak dan kerenah yang terpaksa dihadapi oleh setiap petugas, belum dikira ‘pertembungan’ dengan jemaah dari negara lain.

Cabarannya, ketika inilah juga kira-kira lima juta jemaah dari seluruh pelosok dunia akan berpusu-pusu mengerjakan ibadat haji. Bersama-sama wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan Mina, melakukan tawaf dan saie serta melontar jamrah.

Namun seperti yang disebutkan awal-awal tadi, petugas Tabung Haji tidak pernah gagal menyempurnakan tugas mereka. Bukan sahaja sejak 47 tahun lalu iaitu selepas bermulanya penghantaran jemaah dengan pesawat ke tanah suci, bahkan lebih awal iaitu dari zaman kapal laut lagi.

Penulis yakin para petugas Tabung Haji yang telah menjalankan pelbagai latihan dan kursus intensif akan berjaya melakukannya lagi dalam musim haji kali ini. Tidak menghairankan apabila mutu perkhidmatan pe­ngendalian haji Malaysia antara yang terbaik dan sering mendapat pujian kerajaan Arab Saudi dan negara-negara lain.

Mungkin sahaja berkat doa ikhlas jemaah haji dan umat Islam Malaysia yang menjadikannya kelaziman setiap kali mende­ngar berita gembira kenalan, teman dan taulan yang mendapat panggilan ke tanah suci - “Semoga dipermudahkan urusan ibadat dan mendapat haji mabrur!” Alhamdulillah, tugas Tabung Haji menguruskan ribuan jemaah dipermudahkan sehingga ke hari ini.

Mudah-mudahan lebih ramai lagi me­nerima berita gembira panggilan haji selepas ini. Amin.