Kalau bab nak keluar duit belanja dapur, tak kisahlah. Itupun boleh dicatu lagi. Bab pakaian, alat-alat solek atau makan-mana di luar pun okay juga.

Tapi yang bab satu ini yang tak tahan, pasal tudunglah. Banyak ketikanya abang hensem pun ‘mati akal’ bagaimana nak ‘mengelat’ dari bawa isteri dekat-dekat dengan satu gedung di Seksyen 7, Shah Alam.

“Bang...bang cantik ya bang tudung kat situ...kalau ada duit boleh singgah,” perlahan saja isteri menyapa abang hensem yang sedang berkereta melewati masuk pintu Universiti Teknologi Mara (UiTM) minggu lepas.

Di tempat duduk penumpang belakang, menyahut serentak tiga anak gadis sunti abang hensem... ‘kami nak juga’. Spontan abang hensem mengaruk kepala yang tak gatal ini. Bukanlah apa kan, harga tudung sekarang bukannya macam dulu lagi dah.

Ada ketikanya abang hensem ‘terkagum’ sebentar dengan ‘revolusi’ tudung hari ini. Dari jenis bawal kepada awning, tiara dengan Diamond Swarovski dan inner tudungnya membuatkan harganya melambung ke ratusan, malah puluhan ribu ringgit.

Macam-macam variasi selendang dengan tudung syria, siap pula dengan temanya. Macam tudung Duckscarves bertema Kuala Lumpur tu.

Kreatif sungguh wanita Malaysia. Abang hensem kena akur jugalah yang wanita berhijab harus kelihatan menarik - walaupun dari lubuk hati yang dalam ini ‘tersentak’ juga dengan penggayaan tudung dan selendang hari ini yang lebih sofistikated dengan rekaan eksklusif dan berkualiti tinggi.

Akhirnya tentu sekali bukankah keindahan si isteri itu untuk suami?

Tapi kalau pasal selok-belok tudung ini abang hensem tak pandai sangat. Kena tanyalah orang yang pakar. Sempat juga abang hensem buat spot check dengan pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri kelmarin.

Dalam ‘berakak-akak’, rupa-rupanya Haliza yang berumur 40 tahun lebih muda sedikit dari abang hensem, maka sembang melalui telefon pun sudah macam kenal lama.

Kata Haliza, walaupun agak tempias dengan kos hidup yang tinggi, pihaknya tidak menang tangan melayan pelanggan da­ripada golongan pertengahan dan atasan.

“Paling murah harga tudung keluaran akak RM50. Ada pelanggan tetap yang nak hadir majlis istimewa atau masuk istana sanggup tempah yang harganya sampai RM3,000 sehelai...bajet ikut permintaan pelanggan,” kata Haliza.

Tudung paling mahal yang akak pernah jual berapa, soal abang hensem.

“RM21,600...yang ditempah khas seorang ahli perniagaan di Kelantan,” kata Haliza, menyebabkan abang hensem ‘lemah kepala lutut’.

Yang mahalnya terletak di mana akak, soal abang hemsem lagi.

Kata Haliza: “Sudah hampir 20 tahun usia Bawal Exclusive ni. Yang mahal ialah materialnya. Voile nya dari Jepun manakala batu (kristalnya) dari Austria. Bahan mentah ini apabila sampai ke Malaysia, baru akak jadikan sehelai tudung...bukannya ada mesin yang siap keluar sehelai demi sehelai tudung ni.

“Yang mahal (harga tudung) terletak pada cara potong kristal itu. Itu yang main peranan mahal murahnya...berapa kristal, apa saiznya...kalau warna putih lebih murah. Satu batu kristal ada pelbagai warna, macam 3D.

“Labuh tudung pun boleh diselaraskan, dibesarkan. Mana yang baru pakai tudung memang sesuailah pakai Bawal Exclusive ni...tak kembang, boleh labuhkan ikut suka. Paling laju sekali (jualan) yang harga RM200 hingga RM300...yang murah RM50 tu sebab jumlah kristalnya yang minimum.”

Cukup! cukup, abang hensem dah tak mahu dengar dah. Harga tudung pun dah macam bayar ansuran bulanan kereta. Silap-silap bayaran bulanan rumah.

Tapi bila teringat tudung berharga RM21,600 sehelai tadi, terfikir juga agaknya bagaimana penjagaannya? Nak buat dry cleaning pun rasanya pasti takut terkoyak atau pudar warnanya. Lepas pakai simpan dalam peti besi.

Apa pun, macam abang hensem katakan di awal tadi, suami mana yang tidak mahu isteri atau pasangannya indah di matanya.

Ini setelah diakui sendiri oleh Haliza yang tudung ini boleh membuatkan muka yang bulat pun jadi bujur sirih.

Maka tak hairanlah ada jualan tudung yang sepatutnya bermula pada pukul 10 pagi tapi habis dijual sebelum dibuka. Ada yang menunggu di hadapan kedai seawal 1 pagi lagi untuk dapatkan tudung edisi terhad itu.

Lantas serta-merta abang hensem teringat dengan rakan seperjuangan, akak cun dalam kolumnya minggu lalu yang katanya lelaki gemuk lebih menawan.

Lelaki gemuk kata akak cun lebih caring pada keluarganya berbanding lelaki kurus termasuklah ala-ala me­troseksual yang kulitnya lebih licin dari akak cun.

Tapi abang hensem nak tambah satu lagi ciri lelaki gemuk - biasanya berduit.

Setakat tudung dua tiga helai berharga RM21,600 sehelai tu pejam mata saja disambarnya.