Dari kisah yang menjadi perbualan dari mulut ke mulut dalam kalangan warganet yang turut menarik perhatian golongan akademik, ia menular menggamit perhatian antarabangsa apabila agensi berita, AFP melaporkan mengenainya.

Wartawan Utusan Malaysia, ZULKI FLI JALIL semalam mendapatkan komen rakan Marzuki, TAN SRI DR. RAIS YATIM yang juga tokoh budayawan, undang-undang dan pakar Perlembagaan mengulas polemik sijil ijazah palsu ini.

Berikut komen Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan ini.

Tiga kali bangkitkan dalam Kabinet

ISU kelayakan akademik palsu ini saya (Rais) sudah bangkitkan 15 tahun dulu. Saya pernah tulis surat kepada Menteri Pelajaran masa itu dan bangkitkan perkara ini dalam Kabinet. Tidak silap saya sudah tiga kali.

Pada saya, ia merupakan satu krisis nilai dan krisis gemar mengabui mata majikan dan meritoktrasi - bermakna terlampau banyak pihak dalam masyarakat yang hanya mahu mengecap glamour dengan menggunakannya sebagai perisai pada dirinya.

Ia tidak seperti undang-undang yang telah dicipta untuk menghalang individu daripada mendapat bintang kebesaran palsu. Itu sudah ada peraturannya.

Tetapi dalam isu ini (kelayakan akademik palsu), kita masih tidak cekap untuk menyelaraskannya dengan mengambil tindakan tegas terhadap penipuan sijil ijazah atau doktor falsafah (PhD). Sedangkan gejala ini harus dibanteras secepat mungkin.

Jika tidak, akan ada manusia yang sebenarnya tidak ada pendidikan tinggi tetapi dengan mudah mengambil secebis kertas mendakwa memiliki kelulusan sebegitu tinggi.

Universiti Amerika jual sijil?

Semasa saya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri antara tahun 2000 hingga 2003, banyak laporan kes membabitkan penyelewengan sijil kelayakan akademik ini.

Beberapa universiti di Amerika Syarikat (AS) pada masa itu juga menjual sijil (ijazah, PhD) secara terang-terangan yang hanya berasas pada pengalaman atau borang yang diisi dengan sekadar huraian berkaitan pengalaman individu sebagai guru dan anggota pentadbiran serta lain-lain.

Maka itu (kononnya) dianggap merit untuk mendapatkan sijil akademik dengan membayar pada harga yang tinggi. Dalam keadaan itu ramai anggota pendidikan di Malaysia terlibat (membeli sijil).

Perkenal akta

Seharusnya perlu ada undang-undang yang diwujudkan untuk mengekang dan membanteras kegiatan ini. Akta Verifikasi atau pengesahan/penentuan kelulusan sebagai alat yang perlu dalam melihat kesahihan sesuatu institusi pengeluar sijil.

PhD bak ‘keluar air mata darah’?

Saya (Rais) hendak sebutkan di sini, bukan mudah untuk seseorang menghasilkan PhD. Hampir ‘keluar air mata darah’ lah. Buat tesis, masuk seminar, kelas termasuklah mental acumen. Tapi yang peliknya ramai yang ‘buat PhD’ tanpa berbuat apa-apa iaitu tanpa pergi ke universiti (menimba ilmu). Saya tidak mahu sebut orang tertentu yang terlibat. Siapa makan cili, dia yang terasa pedasnya.

Perakuilah

Jika sijil ijazah, diploma waima PhD sekalipun tidak sahih, elok diperakui dengan cara sebenar. Setakat ini tidak ada autoriti (kuasa atau hak untuk mengeluarkan perintah) daripada pihak berkuasa untuk membuat penelitian. Namun, di Kementerian Pendidikan ada satu badan yang mengiktiraf sijil-sijil. Maka amat wajar individu yang ada sijil tinggi ini disemak dan diperiksa kelayakan akademik mereka oleh badan ini. Diteliti sama ada tersenarai atau tidak universiti-universiti mengeluarkan sijil-sijil tinggi tersebut.

Pengalaman saya sendiri selama lebih tiga tahun menjelajah beberapa tempat, buat disiplin academia, barulah dapat PhD. Ini hanya tiga minggu sudah dapat, tak patut sungguh. Jika ini berlaku, bermakna individu itu tidak dapat mengimbangi kelayakannya secara etika dan profesionalisme.



Siasat mereka

Saya kira pucuk pimpinan (mana-mana universiti atau parti politik) mesti ada kehendak yang kuat untuk menyiasat kesahihan sijil dimiliki oleh staf atau orang mereka. Tidak boleh berdiam diri. Perlu digerakkan siasatan sama ada sijil berkenaan layak diiktiraf atau tersenaraikah universiti yang mengeluarkan sijil itu.

Namun kita tidak boleh sekadar buat tuduhan melulu. Harus ada badan yang memeriksa penarafan sijil berkenaan. Jika tidak sahih, mereka yang memiliki sijil palsu ini harus berasa segan dan malu kerana kelayakan akademik mereka dipertikaikan rakyat.

Ini kerana kedudukannya ada kaitan dengan Kabinet yang sepatutnya mereka yang jitu sahaja berada di situ. Dengan itu masyarakat tidak harus mudah diperdayakan dengan tohmahan, prejudis atau apa jua prasangka.

Mengenai Marzuki…

Letak jawatan?

Orang suka sangat suruh individu tertentu meletak jawatan. Tidak boleh begitu. Macam kes melibatkan rakan saya ini (Marzuki), tuduhan ke atasnya perlu disiasat dahulu. Kalau tidak disusul dengan siasatan, ia suatu kecederaan pada rule of law (keluhuran undang-undang).

Elok ditubuhkan satu panel siasatan yang dianggotai beberapa orang. Perkara ini ada kaitan dengan undang-undang iaitu misrepresentation yang bermaksud usaha seseorang yang mengelirukan pihak-pihak luaran dengan kredibiliti kesahihan sesuatu itu. Jika kita bersandarkan pada rule of law, inilah jawapan paling tepat untuk merungkai persoalan ini.

Dan tidak boleh kita kata sijil (kelayakan akademik) ini tidak perlu, yang penting adalah pengalaman. Kalau begitu, buat apa kita semua kejar ijazah, PhD ini.