Ini tidak, ‘tak pasal-pasal angin’ dengan orang muda dalam sayap bahagian anda hanya ke­rana nama dan gambarnya masuk suratkhabar setelah dikatakan wajar diberi ruang sebagai calon. ‘Bergegarlah’ satu bahagian hari itu sampai dipanggil menghadap anak muda itu.

Bagi seseorang ahli politik untuk berangan-angan tinggi bukanlah perkara ganjil. Tak salah pasang angan-angan, bahkan sebagai ahli politik dituntut bercita-cita.

Dalam politik, selain kebolehan mesti ada nasib atau ‘tuan badan’. Walau macam mana bergeliga sekalipun seseorang itu, tanpa nasib atau alur tangan yang ter­tentu, seseorang itu sukar menang untuk naik ke atas. Cuma dalam istilah ‘nasib’ mesti ditemani oleh kea­daan mengizinkan dan dalam konteks semasa, si calon mesti ada bekalan kewangan yang banyak.

Cuba halusi kes Tun Ghazali Shafie, bekas Menteri Dalam Ne­geri pada suatu ketika yang rata-rata dianggap cerdik dan pintar dalam pelbagai bidang. Sebagai theoretician ataupun pengantara isu antarabangsa, King Ghaz sukar ditandingi (bakal calon muda diminta Google semak sejarah hebat arwah).

Allahyarham pernah dirizabkan oleh Tun Razak dan Tun Hussein Onn untuk mengisi tempat yang tinggi dalam kerajaan. King Ghaz amat disohorkan untuk jadi Timbalan Perdana Menteri sebelum 1976. Tetapi ‘baris ta­ngannya’ atau tuah badan tiada ­melambangkan untuk duduki jawatan nombor dua kerajaan itu.

Hakikatnya, tidak perlu ‘lintang-pukang’ sangat mencari kedudukan dalam parti. Tuah tetap mendatang jika seseorang jujur dan kuat bekerja.

Orang Melayu menyebut tuah badan atau luck ini sebagai bulan jatuh ke riba. Pujangga Inggeris Shakespeare memanggilnya sebagai greatness being entrusted upon. Peluang begini kadang-kala tidak ada dalam parti politik ter­tentu - akibat kemelaratan buda­ya memilih pemimpin yang berunsur ‘ufti’.

Apa pun, makna politik kepada Tumpang lalu tetap berupa alat dan kaedah mencapai kebaikan kepada rakyat. Bukan untuk keburukan agenda peribadi yang lahap kuasa, lahap kekayaan. 
Seorang pemimpin mesti merasai degupan jantung dan naluri rak­yat kerana pada hakikatnya pe­mimpin adalah juga kuda lejang atau soldadu perjuangan rakyat.

Yang penting selain kerja kuat dalam empat bulan mendatang ini, bijak bercakap harus menjadi keutamaan mana-mana bakal calon. Masalahnya ialah apabila orang lain yang menuliskan ucapan dan orang lain pula yang membacanya yang kadang-kala timbul kejanggalan.

Seperti Presiden Abraham Lin­­coln dahulu kala berkata: “In view of the inability of others to fathom my style and my thinking, I propose to write and utter my own speech”.

Apa yang akan dibuat Tumpang lalu kalau menjadi bakal calon, Tumpang lalu hanya mengambil data atau informasi daripada nota staf Tumpang lalu atau menteri menerusi setiausaha akhbar. De­ngannya diolah ucapan.

Soal ucapan atau perkataan yang keluar dari mulut mana-mana pemimpin BN termasuklah daripada seorang timbalan menteri yang pernah mengendalikan penjelasan pasal cukai barang dan perkhidmatan (GST) dahulu amat penting.

Seperti mana pendapat pujangga Hamka, jika burung boleh dikenal dengan bunyinya, manusia dikenal dengan ucapannya.

Seperkara lagi yang cukup..., cukup..., cukup penting (tiga kali Tumpang lalu ulang) ialah daripada tenure atau tempoh khidmat seseorang wakil rakyat. Pengajaran yang boleh ditimba daripada pengalaman seorang menteri besar yang 25 tahun berkuasa dari sebuah negeri pantai timur ‘diajar’ rakyat sehingga seluruh negeri tumbang ialah - seseorang itu jangan terlalu lama berada sebagai pemimpin pucuk pimpinan negeri.

Orang keliling mu­ngkin menyanjung sa­­ban hari dengan ungkapan seperti “Da­­tuk hebat... mesti sam­bung lagi”. Hakikatnya rakyat sudah letih dengan ke­renah pemimpin.

Perlu ada tanggu­ngjawab mana-mana pemimpin peringkat bahagian dari ketua, timbalan ketua dan naibnya untuk memupuk ‘benih baharu’ supaya menjadi pokok rendang yang menaungi perjuangan. Jangan nanti dek selalu ­‘ketinggalan bas’ oleh pembangkang yang sentiasa menampilkan dan membentuk muka baharu.

Ada kalangan rakan Tumpang lalu dari peringkat ahli Majlis Tertinggi dan menteri membuat rintihan kepada Tumpang lalu mengapa si anu-si anu dari pembangkang tidak membalas budi apabila telah menduduki kerusi kuasa.

Mereka ambil iktibar daripada usaha pengundi membantu individu terbabit menaiki jenjang kuasa sedangkan dia lupa jasa orang.

Tumpang lalu tak hirau sangat tentang soal itu kerana Allah jua yang menentukan dan lebih mengetahui sentimen dan hati sanubari manusia itu.

Alur sungai lagikan berubah, inikan pula hati orang.