Kepada pakatan terutama se­kali DAP yang dipercayai sudah ‘terjamin’ undi pengundi tegar mereka daripada kalangan penyokong parti cauvinis itu, meraih sekurang-kurangnya 10 hi­ngga 15 peratus sokongan orang Melayu pun sudah memadai dalam pilihan raya umum nanti.

Kerana itu tidak hairanlah kepemimpinan DAP sanggup menanggung risiko bertegang urat dengan ahli-ahli akar umbi mereka untuk mendekati pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Moha­mad yang dimusuhinya dahulu dan akhirnya berjaya memba­wanya masuk ke kem parti itu.

Bagaimanapun, ‘tsunami Melayu’ yang begitu didambakan Pakatan Harapan DAP ini hanya akan menjadi realiti jika berlaku impak sikap sebilangan orang Melayu yang terkenal dengan ‘cepat melatah dan mengamuk’ ini.

Sikap ini hakikatnya berlaku secara spontan. Bahkan, kadang-kala ‘di luar kawalan’ tanpa sedar yang melatah apabila ‘dicucuk’. ‘Mengamuk’ pula apabila naik marah - apa lagi apabila kepenti­ngan diri dikacau, anak bini diusik dan poket tergugat.

Justeru, Barisan Nasional terutama UMNO mesti ambil perhatian serius perkara berkaitan ‘emosi ini’ kerana amat dibimbangi berikutan pakatan pembangkang diketahui amat licik dengan ‘permainan’ ini. Apatah lagi pula mereka di pihak yang membangkang dan ‘pemberontak’ - yang kebiasaannya gula-gula fitnah ini mudah lekat di fikiran mereka yang gemarkan gosip, cucuk radak dan adu domba.

Akibat dari spin di saat-saat akhir inilah amat dibimbangi terjadi seperti mana disebut orang tua tua kita: ‘Mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan’ - melepaskan apa yang ada semata-mata hendak mengejar keuntungan yang lebih besar, tetapi akhirnya mengalami kerugian.

Apa yang tidak dibuat oleh kerajaan hari ini untuk rakyat termasuklah orang Melayu?

Sejarah politik negara sudah membuktikan UMNO sememang­nya parti yang amat berjasa kepada orang Melayu. Tidak ada seorang pun anak Melayu yang boleh mengatakan mereka tidak termakan budi dengan UMNO.

Perlu diingatkan, walaupun bernama Melayu, namun masih ada orang Melayu seperti penyokong dan pemimpin ‘parti-parti kecil Melayu’ dalam Pakatan Harapan yang mahu memastikan dendam kesumat mereka terhadap UMNO dijayakan demi melihat UMNO (yang sebenarnya induk orang Melayu) tidak lagi memegang tampuk kekuasaan.

Justeru, jentera UMNO mesti sentiasa fokus dan insaf melihat realiti sebenar. Kita perlu akui sehebat manapun parti yang dianggotai orang Melayu sama ada dalam PKR mahupun PAN dan PPBM, mereka tidak akan mampu menandingi keupayaan UMNO membela nasib orang Melayu. Ketiga-tiga parti itu tidak ada kemampuan dan keupayaan untuk melawan kehendak DAP yang dilihat jauh lebih berkuasa.

Berbalik kepada situasi sebenar ‘tsunami Melayu’, ia boleh disamakan dengan keadaan di penanggah semasa kenduri - ada yang bertindak sebagai ‘kayu api’, ‘tungku’ dan ‘batu api’.

Ini semua diketahui belaka oleh setiap yang bernama pe­mim­pin ‘parti-parti kecil Melayu’ da­lam Pakatan Harapan. Cuma yang tergolong sebagai ‘batu api’ tadi adalah peranan mereka untuk membakar yang dalam amalan sebenar menghasilkan ‘adu domba’ dan ‘cucuk radak’.

Diharapkan orang Melayu tidak akan mudah dikuasai oleh golongan ‘batu api’ ini. Dan akhir­nya menjadi mangsa olahan sendiri. Waima apa pun, agenda Melayu jangan dilupakan. Jika lupa perjuangan bangsa melalui parti apa pun akan hilang relevannya.

Suatu ketika seorang pe­mimpin yang pernah disanjungi bermadah “Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa”. Melayu akan berubah dan terus berubah kerana sesuatu bangsa dan tamadun itu tidak akan menunggu sesiapa. Melayu tetap berevolusi dan berubah. Budaya berubah, nilai berubah.

Mana-mana bangsa yang boleh menunggu dan memacu kuda perubahan ini akan selamat. Yang tidak, akan ditinggalkan zaman. Melayu yang kini mempunyai kedudukan dan kuasa mesti berbuat sesuatu ke arah menjamin keutuhan generasi orang Melayu pada masa depan.

Kita dalam kalangan orang Melayu barangkali masih sayangkan ‘si polan’ yang pernah berjasa itu. Kemungkinan kita dalam keada­an dilema atau serba salah untuk membuat pilihan dalam pengundian ibu segala pilihan raya nanti. Faktanya dalam soal ini adakah kita mempunyai prinsip dan pendirian.

Kalau diambil contoh mudah, mengapa mereka yang dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mudah melupakan kesengsaraan itu? Mana perginya suara Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan banyak lagi pe­mimpin pembangkang hari ini yang pernah duduk dalam sel besi itu?

Sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memansuhkan akta ini langsung tidak diucapkan terima kasih oleh mereka. Berwaspadalah dengan taktik licik ‘pihak di sebelah sana’.

Bak kata pepatah Melayu ini: Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang - (hati-hati dengan) tipu muslihat yang tersembunyi untuk mencari keuntungan diri sendiri.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.