Presiden Donald Trump sejurus mengambil alih pentadbiran White House begitu teruja merombak program yang diilhamkan oleh Barack Obama dan antaranya adalah pemansuhan sistem kesihatan yang lebih dikenali sebagai Obama Care dan juga inisiatif Obama untuk mengurangkan pengeluaran karbon.

Ketika kempen pilihan raya presiden tahun lepas, Trump berkali-kali menegaskan bahawa beliau mempunyai strategi rahsia untuk menewaskan pengganas Daesh, tetapi setakat hari ini masih tidak jelas apakah strategi tersebut. Pakatan 68 negara untuk meme­rangi Daesh yang diusahakan oleh Obama masih kekal dan paling ironis koordinator program ini yang dilantik oleh Obama masih kekal sehingga hari ini.

Sebab itu, tidak keterlaluan jika diandaikan apabila kebanyakan menteri luar yang hadir pada mesyuarat tersebut jika mengharapkan sesuatu yang baharu daripada pentadbiran Trump berhadapan Daesh merasa agak kecewa kerana kandungan ucapan Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson langsung tidak mengusulkan langkah yang meyakinkan.

Sepertimana Tillerson yang sering menggesa supaya negara ahli Pertubuhan Pakatan Atlantik Utara (NATO) menambah bajet pertahanan dan tidak hanya mengharap AS yang menanggung beban, sama jua dengan strategi rahsia Trump berhadapan Daesh juga mengharapkan negara ahli pakatan bukan sahaja menyumbang dalam bentuk kewangan tetapi juga ketenteraan.

Begitu terserlah strategi Trump adalah menjurus kepada faktor ketenteraan dan perkara ini begitu nyata dalam operasi tentera Iraq menawan Mosul yang mana penglibatan tentera AS adalah di barisan hadapan dan bukan sekadar bertindak sebagai penasihat semata-mata.

Pemerhatian yang agak menarik adalah Tillerson dalam ucapan beliau menggunakan nama singkatan ISIS walaupun kebanyakan menteri luar yang hadir dalam mesyuarat tersebut menggunakan ungkapan Daesh. Pada ketika ini tidak banyak negara menggunakan ungkapan ISIS atau IS dalam menggambarkan kumpulan militan pengganas ini kerana mahu mengelakkan kaitan dengan agama Islam. Tapi nampak gayanya pentadbiran Trump mempunyai pandangan yang agak berbeza.

Perlu ditekankan sumbangan Malaysia sebanyak AS$1 juta tiada kena-mengena dengan operasi ketenteraan AS kerana dasar luar negara dalam menghadapi ancaman Daesh tidak pernah menjurus kepada strategi tentera. Sumbangan tersebut seperti yang ditekankan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman adalah untuk bantuan kemanusiaan.

Sebab itu juga dalam pertemuan di antara Tillerson dan Anifah, ditekankan bahawa strategi deradikalisasi adalah komponen terpenting strategi Malaysia berhadapan de­ngan ancaman keganasan bentuk baharu yang di bawa Daesh. Anifah memperjelaskan pegangan Malaysia bahawa kumpulan yang terpe­ngaruh dengan Daesh kerana mereka ini dipesongkan oleh mereka yang mempergunakan agama Islam sebagai alat propaganda.

“Kita telah dapat melakukan proses deradikalisasi dan pemulihan secara efektif terhadap mereka. Kadar kejayaan kita adalah 97.5 peratus. Dalam soal ini Malaysia bersedia untuk berkongsi kepakaran dengan negara lain,” ujar Anifah dalam pertemuan dengan Tillerson.

Pegangan Malaysia mengenai kepentingan strategi deradikalisasi bagaikan terbukti dengan sendirinya apabila berlaku peristiwa serangan oleh seorang rakyat Britain di kawasan berhampiran parlimen Britain pada ketika mesyuarat sedang berlangsung di Washington.

Dalang serangan tersebut yang dikenali sebagai Adrian Elms dikatakan telah memeluk agama Islam dan besar kemungkinan telah disogok dengan propaganda terpesong yang menggunakan agama Islam sebagai dalil sehingga terpengaruh melakukan perbuatan terkutuk itu.

Apabila Presiden Perancis, Francois Hollande ketika melakukan lawatan rasmi ke Malaysia semalam menekankan bahawa beliau memandang tinggi terhadap kerjasama Malaysia dan Perancis berkaitan strategi modul deradikalisasi, maka itu adalah manifestasi kejayaan negara berhadapan ancaman Daesh.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana sudi berkongsi modul itu bersama Perancis dan kami amat yakin terhadap usaha murni ini,” tambah Hollande dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dalam pertemuan tadi, kami juga menyentuh kerjasama kedu­a­-dua negara bagi menghapuskan anasir keganasan dan saya juga berkongsi pengalaman Malaysia mengenai bagaimana kita berhadapan cabaran tersebut,” antara ucapan balas Najib terhadap penghargaan Hollande.

Walaupun Perancis telah beberapa kali dilanda peristiwa keganasan angkara Daesh, Paris tetap berpegang kepada pendapat bahawa ia tiada kena-mengena dengan agama Islam dan sebab itu juga Perancis adalah antara negara Barat terawal mengguna ungkapan Daesh dan bukannya ISIS atau IS.

Sebab itu, begitu kritikal sekali bagi AS terutama sekali Tillerson sebagai Setiausaha Negara AS yang mengetuai pakatan 68 negara ini menilai semula strategi berhadapan Daesh kerana jika kaedah ketenteraan yang diutamakan, walaupun pengaruh Daesh di Syria dan Iraq dapat dikurangkan tetapi senario seperti ini masih belum dapat menjamin pengaruh Daesh tidak menular ke negara lain yang jauh dari kawasan konflik Asia Barat.