Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Trump, kami sokong anda perangi daesh

DUNIA hari ini berdepan rintangan dari pelbagai sudut. Daripada taufan Harvey dan Irma di Amerika Syarikat (AS) kepada ancaman penularan senjata nuklear, radikalisasi dan tindakan keganasan semakin tidak bertamadun di seluruh dunia, negara-negara dunia memerlukan rakan dan sahabat.

Kerana itu ketika Malaysia meraikan kemerdekaannya yang ke-60 baru-baru ini, saya sangat gembira menerima mesej berikut daripada Kedutaan AS di Kuala Lumpur: “Begitu berbangga menjadi sahabat anda sejak dari mula!”

Presiden Trump dan saya akan menandakan hubungan erat dua hala selama enam dekad apabila kami bertemu di White House pada Selasa ini tetapi hubungan antara kedua-dua negara kita jauh lebih lama terpahat dalam sejarah.

Sebagai contoh, getah keluaran kami begitu penting untuk pembangunan industri automobil AS dan permintaan untuk bahan tersebut menggalakkan pertumbuhan ekonomi kami sendiri - satu contoh awal manfaat bersama hasil perkongsian antara kedua-dua negara kita.

Hubungan Malaysia-AS juga melangkaui perdagangan. Apa yang menambat hubungan persahabatan, produktif dan kerjasama selama berdekad lamanya adalah nilai-nilai mendalam yang kita kongsi bersama.

Komitmen kami terhadap memerangi radikalisasi dan keganasan adalah sesuatu yang tersemat dalam hati kami di samping merancang dan melaksanakan polisi-polisi kami dengan tenang dan rasional.

Kepercayaan terhadap perdagangan bebas dan adil serta pembangunan ekonomi inklusif sudah menjadi darah daging kami memandangkan kami memang sebuah negara pelaut dan pedagang sejak berabad lalu.

Dan kepatuhan kami kepada tadbir urus yang stabil dan demokratik ditonjolkan dalam sejarah kami sejak merdeka. Pilihan raya kami ditandingi dengan sengit seperti mana di AS dengan parti-parti berlawanan memenangi negeri berlainan pada waktu berbeza.

Kami juga berkongsi komitmen AS terhadap dunia berasaskan peraturan sejagat, seperti mana Korea Utara perlu patuh kepada Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Didukung bersama, nilai-nilai ini punca hubungan antara kita secara formal diangkat ke satu tahap lebih tinggi pada 2014 sebagai ‘Perkongsian Komprehensif’ rasmi.

Ini bermakna ke­dua-dua negara ko­mited kepada mengu­kuhkan kerjasama antara kita, antara lain dalam aspek po­litik dan diplomatik, perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan hubungan antara masyarakat serta pertahanan dan keselamatan.

Tiada contoh lebih baik terhadap perkongsian ini daripada usaha sama kita memerangi fahaman pelampau yang ganas.

Dunia berubah pada 11 September 2001 dan AS telah berdepan serangan-serangan susulan di tanah air mereka hasil ideologi palsu dan beracun yang sama.

Negara saya juga terpaksa berdepan ancaman Islamic State di Iraq dan Syria (ISIS), juga dikenali sebagai Daesh di rantau ini.

Setakat ini, hanya satu sera­ngan berkaitan Daesh yang berjaya dilancarkan di Malaysia (dan syu­kur tiada yang terbunuh), tetapi itu tidak bermakna mereka tidak berusaha melakukannya.

Musuh anda - mereka yang mencemari agama majoriti rakyat Malaysia dengan mengakui tindakan ganas mereka sebagai Islamik - adalah musuh kami juga.

Kami telah menentang Daesh dengan menggalakkan kesederhanaan dan melalui program nyah-radikalisasi yang mem­punyai kadar ke­jayaan 90 peratus.

Kami menentang dengan berkongsi risikan dan kaedah anti-keganasan di rantau ini dan lebih jauh lagi.

Saya berbangga menyatakan bahawa Polis Diraja Malaysia telah menggagalkan sekurang-kurangnya 13 serangan besar pengganas sejak 2012.

Dan kami juga te­lah menentang dengan menjadi rakan sekutu gabungan pimpinan AS untuk mengalahkan Daesh, serta melalui dialog strategik antara Kementerian Pertahanan Malaysia dan Pentagon.

Yakinlah, Malaysia akan sentiasa berganding bahu dengan AS dalam misi penting ini untuk menghapuskan kumpulan pengganas yang tindakan mereka dikecam semua masyarakat bertamadun.

Dalam sudut ekonomi, AS adalah rakan niaga ketiga terbesar Malaysia pada 2016 sementara Malaysia ke-18 bagi AS.

Sejak hampir 40 tahun lalu, AS menjadi pelabur asing kedua terbesar kami - dan seperti satu laporan daripada U.S. News and World Report dan Pennsylvania State University’s Wharton School baru-baru ini mengumumkan bahawa Malaysia sebagai ‘negara terbaik untuk melabur’.

Saya harap dapat menggalakkan lebih ramai warga dan firma AS melihat negara kami sebagai satu destinasi penuh peluang menarik, dengan tenaga kerja yang bersemangat, terpelajar, ramah mesra dan mampu bertutur bahasa Inggeris.

Sesiapa yang pernah melawat Malaysia tentu tahu, firma, bank, jenama, makanan dan pakaian dari AS boleh didapati di mana-mana sudut negara kami.

Rakyat Malaysia sangat me­ngenali AS dan seperti di AS, kami adalah masyarakat majmuk dengan pelbagai kepercayaan yang meraikan budaya-budaya kami dalam perpaduan sebagai rakyat Malaysia yang berbangga, seperti mana setiap rakyat AS bersemangat setiap kali melihat simbol Bintang dan Jalur Bendera.

Secara peribadi, saya sentiasa berasa gembira setiap kali berada di AS, sebuah negara hebat yang sudah berkali-kali saya lawat sejak muda.

Saya masih ingat ketika tiba sebagai seorang graduan muda di New York dan begitu tertarik de­ngan muzik, makanan, seni bina dan kemeriahan bandar tersebut.

Kasih sayang kepada negara saya tidak pernah pudar dan begitu juga bagi beribu-ribu rakyat Malaysia yang pernah tinggal, bekerja atau belajar di AS.

Dalam perbincangan antara saya dengan Presiden Trump dan pihak-pihak lain, saya harap dapat mengukuhkan lagi hubungan antara kita.

Kerana jika AS mahu mencari rakan keamanan, demi kemakmuran dan kesejahteraan untuk dekad-dekad berikutnya dalam abad ke-21, mereka akan dapati Malaysia sebagai sahabat yang tegas dan teguh.

Bersama ke arah 60 tahun berikutnya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain