Serentak itu, ia juga merupakan pengisytiharan Baitulmuqaddis sebagai milik Israel walaupun ia dirampas daripada Palestin. Perkara ini dijangka berlaku apabila beliau menang Pilihan Raya Presiden AS tahun lalu.

Apa yang tidak dijangka ialah sama ada beliau akan melaksanakannya juga setelah mendapat nasihat dan amaran daripada pelbagai pihak, dari dalam negara AS sendiri, mahupun dalam kalangan sekutunya di Eropah dan Asia Barat.

Sejak awal lagi kempen pilihan raya presiden sepanjang tahun lalu, Trump menyatakan pendiriannya bahawa AS mesti menyokong apa yang disifatkan sebagai hak Israel untuk menentukan ibu negara mereka.

Dalam hal ini Israel telah memilih Baitulmuqaddis walaupun kota itu adalah hasil taklukannya ke atas Palestin. Pendirian Trump ini dialu-alukan oleh pendokong Zionisme di AS, baik dalam kalangan orang Yahudi atau Kristian, walaupun tidak semua.

Parti Republikan yang diwakili oleh Trump adalah lebih ketara sokongannya terhadap Israel, khususnya menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya, berbanding dengan Parti Demokratik.

Golongan liberal yang diwakili oleh parti itu, terutamanya kalangan berfikiran kiri seperti mana rakan-rakan sefahaman mereka di Eropah mempunyai sikap skeptikal terhadap Israel.

Malah ada yang menjadi penyokong Palestin. Sementara ada pula yang menyokong Israel tetapi menolak Baitulmuqaddis dijadikan ibu kota. Golongan Konservatif yang diwakili oleh Parti Republikan, rata-rata menyokong Israel, malah umumnya menyetujui Baitulmuqaddis menjadi ibu kota negara itu.

Cuma mereka tidak mahu mengiktirafnya, bukan kerana tidak bersetuju, tetapi tidak mahu ia memburukkan lagi konflik Israel-Palestin dan Timur Tengah.

Dengan menerima nasihat komuniti hal ehwal asing, tidak ada Presiden AS, baik dari kalangan Parti Republikan mahupun Parti Demokratik sebelum Trump yang mahu mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Israel ketika penubuhannya pada tahun 1948 dan diiktiraf oleh beberapa negara Barat menjadikan Tel Aviv sebagai ibu kotanya.

Bercanggah

Mereka yang tidak mengiktiraf kewujudan Israel khususnya daripada kalangan negara Islam dan sosialis serta komunis memanggil Zionis itu sebagai rejim Tel Aviv.

Ini kerana Israel diwujudkan di atas bumi Palestin. Pada masa itu rejim Tel Aviv tidak menguasai Baitulmuqaddis.

Pada tahun 1949, perang antara rejim Tel Aviv dengan negara-negara Arab yang terdiri daripada Jordan, Mesir dan Syria meletus. Negara-negara Arab itu berusaha untuk membebaskan Palestin dan menumpaskan rejim Tel Aviv. Pihak Arab gagal. Sebaliknya Israel dapat menguasai Baitulmuqaddis Barat.

Jordan hanya dapat mempertahankan Baitulmuqaddis Timur. Israel mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya menggantikan Tel Aviv. Tetapi dunia tidak mengiktirafnya. Baitulmuqaddis Barat telah ditawan dalam perang dan ia bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

Pada tahun 1967, Perang Enam Hari meletus dengan negara-negara Arab berusaha membebaskan Baitulmuqaddis Barat, sekali lagi Israel menang. Bukan itu saja, Israel menakluk bukan saja Baitulmuqaddis Timur tetapi juga keseluruhan Tebing Barat daripada Jordan, Gaza dan Sinai dari Mesir dan Bukit Golan dari Syria.

Perang Ramadan tahun 1973 berlaku antara negara-negara Arab dan Israel. Mesir berusaha untuk mengambil balik Sinai dan Gaza, Jordan mendapatkan balik Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis dan Syria mahukan kembali Bukit Golan.

Tetapi akhirnya Mesir hanya berjaya mendapat semula Sinai. Sementara wilayah lain masih di bawah pendudukan Israel. Kemudian berlaku proses damai. Maka dipersetujui Palestin diwujud di Tebing Barat dan Gaza.

Untuk itu Jordan melepaskan kedaulatannya ke atas Tebing Barat, dan Mesir ke atas Gaza. Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin (PNA) ditubuhkan untuk mentadbir kedua-dua wilayah itu. Tetapi hingga sekarang Israel masih menguasai wilayah itu dengan Palestin merdeka belum dapat diwujudkan.

Antara masalah utama ialah kedudukan Baitulmuqaddis. Israel mahu Baitulmuqaddis Barat dan Timur disatukan dan dijadikan ibu kota negara itu. Tetapi Palestin juga mahu jadikan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota negara merdekanya. Dalam senario dua negara, Israel dan Palestin, Baitulmuqaddis boleh menjadi ibu kota bersama.

Iaitu Israel diBaitulmuqaddis Barat dan Palestin di Baitulmuqaddis Timur. Tetapi Israel mahukan keseluruhan kota itu. Jika negara Palestin ditubuhkan, Israel mahukan ibu kota Palestin bukan Baitulmuqaddis. Pusat pentadbiran PNA kini ditempatkan di Ramallah.

Negara-negara Eropah menolak kehendak Israel dan mereka cadangkan supaya Baitulmuqaddis dijadikan kota antarabangsa di mana penziarah keagamaan bebas memasukinya.

Ini kerana Baitulmuqaddis adalah kota suci Yahudi, Kristian dan Islam. Buat masa ini pun, kota itu terbahagi kepada tiga sektor. Baitulmuqaddis Barat menempatkan sektor Yahudi sementara Islam dan Kristian berada di bahagian Timur.

Rejim Tel Aviv tidak mempedulikan semua itu. Pada tahun 1980, mereka menggubal Basic Law atau Hukum Asas bertaraf Perlembagaan yang menyebut bahawa ibu negara Israel adalah Baitulmuqaddis.

Mereka telah menempatkan bangunan Parlimen iaitu Knesset, kediaman Presiden dan pejabat Perdana Menteri di Baitulmuqaddis untuk menunjukkan bahawa ibu negara Israel bukan Tel Aviv.

Tidak ada negara yang mengiktirafnya. Maka semua negara yang mengiktiraf Israel tetap mengekalkan kedutaan masing-masing mereka di Tel Aviv, termasuk AS. Lobi Yahudi terus berusaha supaya Washington memindahkan kedutaannya.

Setiap kali Pilihan Raya Presiden, calonnya mesti berusaha mendapatkan undi dan dana Lobi Yahudi. Mereka juga menuntut presiden-presiden AS itu mengiktiraf Baitulmuqaddis dan memindahkan kedutaan negara itu daripada Tel Aviv.

Tetapi sejak tahun 1980, daripada Jimmy Carter, Ronald Reagan, George H. W. Bush, Bill Clinton, George W. Bush hinggalah Barack Obama, sama ada dari Parti Republikan, mahupun Parti Demokratik tetap tidak memindahkan kedutaan AS ke Baitulmuqaddis.

Hinggalah apabila Trump menjadi presiden. Tetapi ketika beliau memberi janji untuk pengiktirafan itu semasa kempen, kebanyakan pihak tidak mengambil perhatian berat kerana menjangkakan beliau akan kalah pada Hillary Clinton.

Banyak pengundi AS menyokong Trump atas pelbagai sebab, dan bukannya hanya kerana dasarnya terhadap Israel dan Palestin. Tetapi apabila beliau menjadi presiden, presiden itu mempunyai kuasa terhadap hubungannya dengan Israel dan Palestin.

Beliau menunaikan janjinya untuk mengiktiraf penguasaan Israel ke atas Baitulmuqaddis. Beliau telah menabur angin. Pastinya beliau akan menuai badai. Bagaimanakah bentuk badai yang dituainya? Timur Tengah akan terbakar semula.

Intifadah keempat telah diisytiharkan oleh Hamas. Tetapi itu bukan satu-satu badai yang akan dihadapi dunia akibat tindakan Trump. Banyak kalangan penyokong Palestin telah menyatakan bahawa tindakan Trump, AS dan Israel tidak akan dibiarkan berlalu tanpa tindakan balas.