Jika ditinjau akhbar luar negara kebanyakannya memberi tumpuan kepada permintaan juruterbang kerana dari sudut pandangan mereka, tindakan berdoa lazimnya dikaitkan dengan suasana seseorang sedang me­nempuhi kesusahan dan kemudaratan. Tetapi bagi mereka yang mengamalkan doa pada setiap masa tidak kira semasa suka atau duka, permintaan juruterbang itu dianggap sesuatu yang lazim dan kena pada tempatnya.

Begitu jua dengan nyanyian lagu Selamat Hari Raya di dalam gereja di Keningau sebenar­nya adalah manifestasi kehidup­an harmoni masyarakat Sabah tidak kira agama, bangsa dan suku kaum yang berlainan.

Bagi masyarakat Sabah, video yang te­lah menjadi tular itu adalah sesuatu yang telah menjadi kelaziman dan sebati dalam kehidup­an seharian mereka.

Dalam hal video oleh staf pejabat kedutaan AS pula pada dasarnya tiada yang pelik atau menghairankan kerana kedutaan AS juga mempunyai staf tempatan beragama Islam dan lebih-lebih lagi sebahagian besar penduduk Malaysia meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak kira bangsa dan agama. Konsep unik rumah terbuka yang melibatkan semua kaum dan agama adalah bukti jelas bagaimana rakyat Malaysia meraikan perayaan tersebut.

Tetapi jika dikaitkan daya usaha staf kedutaan AS dalam turut serta meraikan hari raya bersama-sama rakyat Malaysia dengan sikap pentadbiran White House yang dipimpin oleh Presiden Do­nald J. Trump, begitu jauh berbeza sekali apa yang telah berlaku di Kuala Lumpur dan Washington.

Buat pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun, White House tidak mengadakan sebarang maj­lis berbuka puasa atau menyambut Aidilfitri kerana ketika era Presiden Bill Clinton, diikuti oleh Presiden George W. Bush dan Barack Obama, kedua-dua majlis tersebut tidak pernah gagal diadakan pada setiap tahun, kali terakhir pada tahun lepas yang dihoskan oleh Obama.

Pada tahun ini, Trump bersama-sama Wanita Pertama AS Melania hanya mengeluarkan kenyataan ringkas mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada rakyat Amerika yang beragama Islam.

Dikhabarkan juga Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson bukan sahaja enggan mengadakan sebarang majlis menyambut Aidilfitri tetapi tidak mahu mengadakan majlis berbuka puasa Jabatan Negara AS seperti lazimnya sebelum ini.

Dalam hal ini sesuatu yang menarik juga apabila Kedutaan AS di Kuala Lumpur yang sebelum ini tidak pernah terlepas menganjurkan majlis berbuka puasa telah meneruskan tradisi untuk tahun ini yang sedikit-sebanyak dilihat sebagai menongkah tindakan ­Tillerson.

Ada yang berpendapat Trump sengaja enggan mengadakan maj­lis sambutan Aidilfitri kerana tradisi tersebut telah dimulakan pada 1996 oleh Wanita Pertama AS pada ketika itu Hillary Clinton, iaitu calon seteru beliau ketika pilihan raya presiden 2016. Jika menggunakan dalil wujud faktor Hillary, maka tidak menghairankan mengapa Trump mengambil sikap dingin terhadap sambutan Aidilfitri.

Hal ini kerana, Trump pada ketika ini sedaya upaya cuba merubah setiap perkara yang berkaitan dengan Obama tidak kira dasar yang berkaitan isu domestik se­perti sistem kesihatan atau pun isu global termasuk Syria atau Cuba. Umpamanya isu sistem kesihatan yang diperkenalkan oleh Obama iaitu Obamacare, walaupun sistem kesihatan yang diperkenalkan Trump sehingga hari ini masih belum mendapat sokongan sepenuhnya daripada ahli Kongres Parti Republikan beliau sendiri, tetapi Trump tetap berusaha asalkan legasi Obama dapat dilenyapkan.

Tetapi jika dikaitkan pula de­ngan sikap prejudis Trump terhadap apa jua yang berkaitan dengan Islam, maka tindakan beliau yang seakan-akan enggan mengiktiraf kewujudan rakyat Amerika yang beragama Islam dapat diselami.

Arahan eksekutif Trump yang melarang rakyat dari enam negara yang majoriti penduduknya beragama Islam daripada memasuki AS adalah manifestasi jelas sikap Islamofobia beliau.

Beberapa hari lepas apabila Mahkamah Agung membenarkan arahan tersebut diteruskan, Trump menegaskan keputusan itu sebagai kemenangan untuk rakyat Amerika kerana ia menjamin keselamatan mereka. Begitu jelas sekali Trump mengaitkan isu keganasan dengan penduduk dari negara Islam.

Walaupun arahan larangan Trump dianggap sebagai tidak adil dan prejudis oleh rakyat Amerika sendiri kerana isu ini te­lah dibawa ke muka pengadilan di mahkamah beberapa negeri, tetapi ramai juga yang menyokong arahan tersebut apabila dikaitkan dengan isu kese­lamatan. Hal ini kerana kefahaman Trump me­ngenai peristiwa keganasan yang berlaku di AS adalah disebabkan oleh masyarakat migran Islam yang menetap di Amerika walaupun hakikat tidak menjurus ke arah itu.

Tetapi apabila Trump enggan mengadakan majlis berbuka puasa atau sambutan Aidilfitri di White House yang telah menjadi tradisi tiga presiden sebelum ini, apakah tindakan Trump ini juga memberi persepsi bahawa Trump menaruh perasaan syak-wasangka terhadap lebih kurang tiga juta rakyat Amerika yang beragama Islam?

Sebab itu juga walaupun video kedutaan AS Kuala Lumpur dianggap sesuatu yang remeh, hakikatnya tetap membawa isyarat tersirat yang agak berat. Sama juga dengan keengganan Trump dan Tillerson menyambung tradisi lazim White House, walaupun dianggap isu kecil tetapi sebenarnya menggambarkan sesuatu perkara tersirat yang lebih besar.