Pada 8 Julai 2015, Malaysia mengemukakan usul agar Majlis Keselamatan PBB menubuhkan satu tribunal khas untuk menjalankan pertuduhan jenayah terhadap pihak yang dikenal pasti terlibat menembak jatuh pesawat tersebut. Usul ini mendapat sokongan majoriti ahli Majlis ­Keselamatan, tetapi seperti diduga ia telah diveto oleh Rusia.

Pada September 2016, Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang diketuai Belanda mengesahkan peluru berpandu itu diangkut dari Rusia pada 17 Julai dan kemudian ditembak ke udara dari satu kawasan yang dikuasai oleh sekumpulan pemberontak; selepas itu, ia dibawa pulang ke Rusia setelah pesawat MH17 ditembak jatuh. JIT juga mengenal pasti 100 orang saksi atau suspek yang terlibat. Kerajaan Rusia menafikan terlibat dalam perbuatan jenayah oleh pemberontak di Ukraine tersebut.

Di bawah undang-undang antarabangsa, negara di mana satu nahas udara itu berlaku memikul tanggungjawab utama menjalankan siasatan, tetapi undang-undang membenarkan negara itu mewakilkan tugas dan beban menjalankan siasatan kepada sebuah negara lain jika negara tersebut setuju. Dalam nahas udara MH17 ini, Ukraine ­meminta Belanda mengetuai siasatan di­sebabkan begitu ramai warga Belanda yang menjadi mangsa dan kerana pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Schipol, Amsterdam.

Hampir dua tahun setelah pesawat MH17 ditembak jatuh, pada Jun 2016, ahli waris enam anak kapal MH17 memfailkan tuntutan sivil di mahkamah negara ini terhadap MAS. Menurut peguam plaintif, Balan Nair, tuntutan itu berasaskan kecuaian dan ­pecah kontrak. Plaintif mendakwa dalam tuntutan mereka bahawa defendan melakukan kecuaian kerana membenarkan pesawat itu terbang di udara dalam kawasan yang sudah pun diketahui dilanda konflik bersenjata, sekali gus mendedahkan pesawat itu kepada risiko kemudaratan dan kematian. Balan mengesahkan bahawa defendan telah menawarkan sejumlah wang sebagai pampasan tetapi tawaran tersebut tidak dapat diterima plaintif. Walaupun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan akhirnya tuntutan plaintif ini akan diselesaikan di luar mahkamah.

Pada Julai 2016, waris 15 penumpang yang terkorban dalam nahas udara itu memfailkan tuntutan terhadap syarikat penerbangan di bawah Konvensyen Montreal. Dalam perkembangan berkaitan, akhbar The Guardian keluaran 17 Julai 2016 melaporkan satu persetujuan telah dicapai antara MAS dengan waris 165 mangsa (penumpang warga Belanda), tetapi jumlah pampasan dirahsiakan. Di bawah Konvensyen Montreal, syarikat penerbangan mesti membayar pampasan tidak melebihi €130,000 (AS$145,000) kepada waris ­mangsa, tidak kira apa keadaan yang menyebabkan kemala­ngan pesawat berkenaan. Tarikh 17 Julai 2016 adalah tarikh akhir tuntutan mesti dibuat di bawah konven­syen tersebut.

Dua bulan sebelum tarikh akhir tuntutan itu, pada 9 Mei 2016, sebuah firma guaman di Australia mewakili waris lima keluarga warga Australia memfailkan tuntutan pampasan terhadap Rusia dan Pre­siden Putin di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah. Jumlah pampasan dituntut adalah AS$10juta bagi setiap seorang penumpang yang terkorban. Dalam nahas udara itu, seramai 27 orang warga Australia terbunuh. Kumpulan terbesar pertama terkorban adalah warga Belanda (193 orang), manakala kumpulan kedua terbesar adalah warga Malaysia (43 orang).

Pada 17 Julai 2017, genaplah tiga tahun kejadian nahas udara itu berlaku. Walaupun masa sudah lama berlalu, usaha mencari keadilan untuk mangsa dan waris belum lagi menampakkan tanda-tanda kejayaan. Terma keadilan di sini mengandungi dua aspek berbeza - pertama, menjalankan prosiding jenayah ke atas mereka yang melakukan jenayah ini hingga dapat disabitkan dan dihukum, dan kedua, menjalankan prosiding sivil untuk mendapatkan pampasan setimpal dari pihak yang bersalah.

Syarikat penerbangan MAS adalah juga mangsa perbuatan pihak-pihak yang menembak jatuh pesawatnya serta anak-anak kapalnya, dan berhak mendapat keadilan.

Pakar undang-undang antarabangsa yang saya bertanyakan pendapat mereka memaklumkan bahawa sebagaimana sukarnya waris-waris mangsa akan berjaya dalam tuntutan sivil mereka terhadap Rusia dan Presiden Putin, usaha pasukan pendakwaan mengheret pihak-pihak yang bersalah menembak jatuh pesawat MAS itu adalah lebih sukar lagi.

Siasatan jenayah melibatkan kes MH17 diketuai oleh Jabatan Perkhidmatan Pendakwaan Awam di Kementerian Keadilan Belanda. Ia adalah siasatan terbesar dalam sejarah Belanda, melibatkan puluhan pendakwa dan ratusan pegawai penyiasat. Selain pemeriksaan forensik, siasatan lain melibatkan data satelit, komunikasi rentas sempadan dan maklumat di alam maya. Baru-baru ini media tempatan melaporkan bahawa prosiding jenayah kes MH17 ini akan berlangsung di mahkamah Belanda, di bawah undang-undang jenayah negara itu.

Disebabkan cadangan Malaysia agar Majlis Keselamatan PBB menubuhkan satu tribunal khas tidak kesampaian manakala usaha membawa kes ini ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague juga tidak boleh dilakukan kerana Rusia tidak menyertai Statute of Rome, maka tidak ada pilihan lain selain menjalankan prosiding di mahkamah biasa dalam mana-mana negara yang berkemampuan berbuat demikian. Antara mahkamah Belanda, Malaysia dan Australia (tiga negara ­rakyat mereka menjadi kumpulan terbesar mangsa nahas), maka mahkamah Belanda menjadi pilihan terbaik.

Apakah pasukan pendakwaan Belanda akan dapat mengemukakan keterangan secukupnya untuk mendapatkan sabitan dan hukuman ke atas pihak terlibat, serta membuktikan kerajaan Rusia terlibat secara langsung dalam nahas ini? Sama-samalah kita tunggu.

Perjalanan mencari keadilan bagi MH17 masih jauh dan amat sukar, terutama sekiranya pihak-pihak yang terlibat enggan bekerjasama.

Datuk Salleh Buang ialah Bekas Profesor Tamu UTM Skudai.