Cuaca yang tidak dijangka itu menjadikan pendakian bertambah mencabar apabila terpaksa meniti trek licin dengan hanya menyarung kasut mendaki biasa. Untuk laluan bersalji, crampon diperlukan bagi memudahkan pendaki menempuh trek bersalji, namun itu tidak ada pada kami. Suhu pula mencecah negatif 5 darjah selsius, sekali gus mendorong kami untuk berjalan cepat bagi menamatkan laluan ini.

Tidak hairanlah banyak pendaki ‘terduduk’ akibat tergelincir sepanjang menempuh trek bersalji yang hanya berakhir di pertengahan laluan antara Machapuchare Base Camp (MBC) dan Duerali. Cabaran itu diakui oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Abdul Razak Muda.

Beliau menyenaraikan empat cabaran yang ditempuhnya iaitu pertama, trek sempit di lereng gunung; kedua, trek bersalji yang licin; ketiga, suhu terlampau sejuk dan keempat, terdedah terlalu lama di persekitaran altitud tinggi.

Katanya, ada satu ketika pendaki terpaksa menempuh lereng gunung yang mana kawasan di bawah lereng adalah gaung sungai.

“Tidak ada kawasan untuk berselisih dengan pendaki lain. Jadi, lereng yang sempit ini perlu ditempuh seorang demi seorang. Tiada tali keselamatan membuatkan pendaki perlu berhati-hati.

“Trek yang diliputi salji pula amat licin. Sepatutnya trek seperti ini memerlukan pendaki memakai crampon, namun, kami tidak ada peralatan tersebut,” katanya kepada S2.

Abdul Razak berkata, suhu mencecah negatif 5 darjah selsius semasa salji turun terutama pada waktu malam memberi kesan kepada fizikal pendaki.

“Walaupun bukan ribut salji, tetapi hujan salji yang turun ini amat lebat sehingga menutupi trek. Pandangan pula menjadi terhad kerana kawasan sekeliling dilitupi salji yang saujana mata memandang,” ujarnya.

Pengarah JBPM Kelantan, Nazili Mahmood pula berkata, aktiviti lasak seperti ini memberi peluang kepada pendaki untuk menguji tahap ketahanan mental dan fizikal.

Beliau yang mula mendaki semasa belajar di Universiti Putra Malaysia (1989-1992) berkata, mendaki dalam satu kumpulan yang besar seramai 62 orang membolehkan kita mengenal peribadi seseorang dengan lebih dekat.

“Semangat setiakawan dalam kumpulan diuji. Alhamdulillah, saya lihat, kami semua saling bantu membantu dalam menghadapi cabaran,” katanya yang sependapat dengan Abdul Razak bahawa trek salji yang licin amat mencabar.

Selain itu, katanya, perjalanan turun dari ABC ke Lower Sinuwa sejauh 25 kilometer menyebabkan ada pendaki mengambil masa yang terlalu lama untuk sampai ke tempat penginapan.

“Ia pengalaman yang agak sukar bagi sesetengah pendaki. Namun, disebabkan kami berjalan dalam kumpulan, maka tidaklah terasa sangat kerana pendaki yang kuat sentiasa membantu pendaki yang ketinggalan jauh di belakang,”katanya.

Sementara itu, Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa dari Summit Attack Resources, berkata, pendakian ini berjaya hasil gabungan kepakaran dan pengalaman media, anggota bomba dan pasukan perubatan.

“Cabaran ini merapatkan hubungan antara agensi terlibat, sekali gus memberi pendedahan sebenar tentang cabaran dunia pendakian termasuk ketika kecemasan,” katanya.

Menurutnya, pendakian ini mencabar baginya yang bertindak sebagai ketua pendaki yang diberi kepercayaan oleh jawatan kuasa penganjur, Kelab Media Pahang bagi menggalas misi membawa pendaki dalam jumlah yang besar sehingga ke ABC dan turun dengan selamat.

“Pelbagai aspek dari segi pengurusan kumpulan, masa, kesihatan, kemampuan dan peralatan diambil kira bagi memastikan cabaran ini berjaya,” tambahnya.

Katanya, pihaknya bekerjasama dengan Ganesh Neupane dari White Himalaya Treks & Expedition untuk mengendalikan peserta dari hari pertama hingga hari terakhir ekspedisi.