Ironinya detik bersejarah ini menamatkan dominasi UMNO selama ini. Maka penulis sendiri percaya inilah masa terbaik untuk Utusan Melayu bangkit melakukan transformasi secara menyeluruh bagi memastikan akhbar keramat orang Melayu ini terus bertahan dalam industri akhbar di negara kita.

Semua sedia maklum sejak UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang, kedudukan Utusan Melayu cukup goyah.

Pihak pengurusan terpaksa melakukan pelbagai langkah drastik dan kurang popular demi survival Utusan Melayu termasuklah melaksanakan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang melibatkan 700 orang pekerja yang selama ini menjadi tulang belakang akhbar ini.

Penganalisis melihat pada ketika itu masa depan Utusan Melayu tidak menentu dan membimbangkan.

Timbul persoalan apakah akhbar keramat berusia 80 tahun pada tahun ini sedang menuju detik pengakhiran apabila UMNO sudah kehilangan kuasa dan akhbar ini mula menerima gelaran ‘akhbar pembangkang’.

Namun perkembangan terkini umpama memberi nafas baharu kepada Utusan Melayu dan warga kerjanya. Umum mengetahui selama ini Utusan Melayu terpaksa mempertahankan majikan dalam apa jua situasi.

Utusan Melayu boleh dikatakan menjadi suara dan benteng kukuh UMNO sekian lama. Dalam banyak perkara Utusan Melayu terpaksa mengutamakan kepentingan parti supaya agenda parti itu sampai ke semua lapisan anggota masyarakat.

Namun itu adalah sejarah, dan pada hari ini Utusan Melayu berpeluang melakar sejarah baharu dengan membebaskan diri dari cengkaman ahli politik dan parti seterusnya tampil sebagai suara keramat rakyat.

Pada hari ini industri akhbar cetak semakin suram. Rata-rata pengguna sudah beralih ke akhbar digital dan media sosial.

Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan majoriti memilih media sosial untuk mendapatkan sesuatu maklumat berbanding akhbar mahupun televisyen dan radio.

Jelas sekali zaman sudah berubah dan sudah semestinya kita tidak boleh salahkan pengguna yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan berubah mengikut trend dan keperluan semasa.

Jadi tidak banyak pilihan pada akhbar yang masih mahu mempertahankan diri dalam industri ini selain turut melakukan perubahan seperti yang dituntut oleh pengguna.

Mudahnya pada hari ini generasi yang ada sudah terlalu bosan dengan budaya politik melampau dan budaya kepartian. Pengguna mahu informasi santai dan berita dalam konteks yang lebih bebas, telus, berintegriti dan profesional.

Jadi akhbar yang dikuasai oleh parti politik akan menerima kesan yang cukup dahsyat. Justeru dengan terlerainya ikatan UMNO dan Utusan Melayu sepatutnya memberikan kelebihan yang positif kepada masa depan Utusan Melayu.

Misalnya kita percaya selepas ini Jabatan Pengarang akan diberikan lebih banyak kebebasan dan suara untuk menentukan apa yang wajar dan patut disiarkan mengikut keperluan rakyat.

Ringkasnya Utusan Melayu sudah boleh fokus kepada aspek nilai dan kepentingan sesuatu berita yang hendak disiarkan tanpa sebarang kongkongan politik.

Pastinya ini satu detik cukup melegakan kumpulan pengarang. Dalam konteks ini ahli UMNO tetap tidak perlu bimbang kerana parti itu masih ada 18.17 % pegangan dalam Utusan Melayu.

Dan kita percaya jika UMNO terus berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada, ia tetap akan ada ruang dalam akhbar itu.

UMNO juga perlu buktikan mampu bangkit dan kembali ke landasan asal demi meraih kembali kepercayaan dan keyakinan rakyat. Dan inilah juga masa untuk UMNO membuktikan tidak menggunakan akhbar sebagai ejen propaganda politik seperti dituduh selama ini.

Jujurnya, rakyat mahu Utusan Melayu kembali kepada perjuangan dan landasan asal. Tiada siapa yang menafikan peranan, jasa dan sumbangan Utusan Melayu yang bertindak membuka minda rakyat terutamanya orang Melayu.

Sejak sebelum merdeka hingga kini jasa Utusan Melayu cukup besar namun apabila ia terlalu dikaitkan dengan parti politik maka fokus dan tumpuan sudah mula berbelah bagi.

Justeru, inilah masanya untuk Utusan Melayu perbetulkan segala kekhilafan agar kembali meraih sokongan dan kepercayaan rakyat terutamanya orang Melayu.

Kita mahu akhbar ini terus menjadi suara keramat rakyat, berani dan lantang menegur pemimpin dan kerajaan tanpa sebarang agenda dan kepentingan melainkan semuanya demi kebaikan dan kebajikan rakyat dan negara.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).