Akta 127 yang dikuatkuasakan mulai 15 April 1975 mengandungi 51 seksyen di bawah lapan Bahagian berasingan – iaitu Permula­an (bahagian 1), Pentadbiran (ba­hagian 2), Lesen (bahagian 3), Larangan dan kawalan mengenai pencemaran (bahagian 4), Kawalan buangan berjadual (bahagian 4A), Rayuan dan Lembaga Rayuan (bahagian 5), Pembayaran Ses dan Kumpulan Wang Alam Sekeliling (bahagian 5A), Pelbagai (bahagian 6). Akta 127 ini dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Wan Junaidi menjelaskan bahawa undang-undang baharu yang akan diperkenalkan ini me­ngandungi lebih 90 seksyen iaitu hampir dua kali jumlah peruntukan yang ada dalam Akta 127. Peruntukan baharu ini akan menangani masalah pencemaran seperti tumpahan minyak di laut dan darat, perancangan tapak kilang serta peraturan mengenai kilang haram.

Menurutnya, draf undang-undang baharu ini telah dikaji sejak 2015 dan kini di peringkat akhir kajian oleh kementeriannya. Bila siap nanti, rang undang-undang berkenaan perlu disemak oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan di mesyuarat Jemaah Menteri.

Berpandukan maklumat awal ringkas mengenai cadangan menteri itu, sukar bagi kita meramalkan apakah Akta Perlindungan Alam Sekitar negara (EPA) yang dicadangkan ini dipadankan kepada undang-undang sama di negara luar misalnya Environmental Protection Act 1990 di United Kingdom (UK), Environmental Protection Act 1997 di Australia, Environmental Protection Act 1999 di Kanada atau undang-undang seperti itu di negara lain.

Suatu undang-undang perlin­dungan alam sekitar negara mesti mewujudkan satu entiti atau agensi yang kuat dan mampu melaksanakan segala kehendak undang-undang yang mana segala arahannya wajib dipatuhi sepenuhnya oleh semua peringkat - baik di peringkat pusat, negeri atau daerah.

Satu contoh terbaik adalah penubuhan Agensi Perlindungan Alam Sekitar Persekutuan yang ditubuhkan undang-undang berkaitan di Amerika Syarikat. Di bawah undang-undang ini, satu Governing Council ditubuhkan, dipengerusikan oleh seorang individu yang dilantik oleh Presiden Amerika dan dianggotai oleh wakil daripada 14 kementerian dan agensi lain.

Sementara itu, di bawah undang-undang perlindungan alam sekitar di UK pula (Environmental Protection Act 1990), yang mengandungi sembilan bahagian, 164 seksyen dan 16 jadual, terdapat peruntukan terperinci mengenai kawalan pencemaran bersepadu dan kawalan pencemaran udara oleh pihak berkuasa tempatan antaranya (bahagian I, seksyen 1 hingga 28), sisa buangan pada tanah, gangguan statutori dan udara bersih, sampah sarap dan pindaan kepada Akta Bahan Radioaktif.

Di bawah undang-undang ber­kaitan di Kanada (Environmen­tal Protection Act 1999) yang mengandungi 12 bahagian, 356 seksyen dan 6 jadual, terdapat peruntukan terperinci mengenai pentadbiran akta termasuk membabitkan penyertaan orang awam, maklumat, objektif, garis panduan dan kod amalan, menghalang pencemaran, mengawal bahan toksik, produk bioteknologi, me­ngawal pencemaran, mengurus bahan buangan dan lain-lain.

Ia turut merangkumi perkara alam sekitar berhubung kecemasan, operasi kerajaan, tanah persekutuan dan Orang Asli, penguatkuasaan, pindaan dan mula kuatkuasa. Di bawah akta ini le­bih 50 peraturan diwartakan dari semasa ke semasa. Berbanding undang-undang di UK, undang-undang di Kanada ini nyata lebih lengkap lagi.

Negara jiran kita, Singapura telah meluluskan Akta Perlindu­ngan dan Pengurusan Alam Sekitar pada 1999 mengandungi 13 Bahagian, 78 seksyen dan 3 ja­dual. Mula dikuatkuasakan pada 1 April 1999, undang-undang ini telah dipinda beberapa kali dari semasa ke semasa, kali terakhir pada Julai lalu.

Terdapat peruntukan terperinci mengenai pentafsiran (bahagian 1), pentadbiran (bahagian 2), penggunaan premis berjadual (bahagian 3), kawalan pencemaran udara (bahagian 4), kawalan pencemaran air (bahagian 5), kawalan pencemaran darat (bahagian 6), kawalan bahan berbahaya (bahagian 7), kawalan bunyi bising (bahagian 8), lesen dan kilang industri (bahagian 9), langkah kawalan pencemaran alam sekitar (bahagian 10), penguatkuasaan (bahagian 11), pampasan, ganti rugi, fi, kos dan perbelanjaan (bahagian 12), dan pelbagai peruntukan (bahagian 13).

Di Indonesia pula, undang-undangnya dinamakan Undang-Undang Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar (Environmental Protection and Management Law No. 32 / 2009), mengandungi 15 bab dan 127 fasal.

Antaranya, dalam bab 2 undang-undang Indonesia ini me­nyatakan secara terperinci prinsip utama yang dipakai (Artikel 2), matlamat yang hendak dicapai (Artikel 3), dan skop perlindungan dan pengurusan (Artikel 4). Bab 3 pula menceritakan tentang pengurusan (Artikel 5) dan menginventori alam sekitar (Artikel 6), bab 4 menggariskan penggunaan (utilization), bab 5 mengenai kawalan, pencegahan, penilaian strategik, piawaian kualiti alam sekitar, kriteria menentukan kerosakan alam sekitar, pelesenan, analisis risiko alam sekitar, audit alam sekitar, mitigasi dan restorasi, manakala bab 6 pula menggariskan pemuliharaan alam sekitar.

Undang-undang di Indonesia ini menarik sekali kerana formatnya berbeza sekali dengan undang-undang yang terdapat di negara-negara common law seperti Malaysia. Ia segar dengan elemen bahasa dan budaya ketimuran.

PROFESOR DATUK SALLEH BUANG 
ialah penganalisis undang-undang.