Akhir-akhir ini kehebatan industri perubatan telah menyaksikan Malaysia menjadi hab kesihatan terbaharu di rantau ini. Kesemua ini disebabkan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia serta perkhidmatan yang amat berbaloi untuk dilanggan.

Akan tetapi minggu lepas persepsi saya terhadap kehebatan hospital ini berubah sama sekali, semuanya gara-gara arwah jiran saya dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di salah sebuah hospital swasta ternama di Kedah.

Bagi saya pihak hospital bukan sahaja sepatutnya menyediakan kemudahan infrastruktur yang terbaik tetapi mereka juga harus menyediakan sokongan emosi dan moral yang bertaraf dunia kepada pelanggan mereka.

Bayangkan ketika pesakit menghadapi sakaratul maut, ke manakah keluarga pesakit harus mencari nasihat dan bimbingan dalam situasi genting sebegini? Dalam kepanikan ahli keluarga kebanyakan seperti ‘mati kutu’ dan tidak tahu apa yang harus mereka lakukan. Kerana itu kewujudan pegawai agama khususnya ditempatkan di wad-wad kritikal boleh menasihati dan membimbing pesakit apatah lagi kaum keluarga mereka.

Ketika saya di Australia, setiap hospital ada melantik terutamanya dalam kalangan ahli akademik sebagai spiritual advisor ataupun penasihat kerohanian kepada pihak hospital dan akan dipanggil terutamanya apabila terdapat kes-kes pesakit mengalami situasi nazak ataupun menghampiri kematian.

Mereka akan membimbing dan memberi semangat kepada ahli keluarga dalam menghadapi dugaan besar ini. Namun peliknya di Malaysia yang mana meletakkan rukun pertama dalam Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan, tidak pula meletakkan keyakinan sebegini sebagai sesuatu yang amat penting.

Bilik ICU hospital juga boleh ditransformasikan sejajar dengan kehendak tempatan. Iaitu menyediakan bacaan al-Quran yang menenangkan dan mendamaikan. Yang pastinya bacaan ini tidak akan mengganggu ketenteraman pesakit-pesakit yang lain terutama dalam kalangan kepercayaan yang berbeza.

Mungkin pembesar suara (speaker) boleh diletakkan di kepala katil, memutarkan alunan ayat-ayat suci kepada pesakit yang sedang koma. Apatah lagi jika kaum keluarga dilarang untuk berada bersama-sama pesakit, siapa yang boleh pesakit harapkan untuk menenangkan mereka?

Ruang menunggu di luar ICU juga perlu direka bentuk semula. Setakat ini tiada ruangan khusus disediakan, kaum keluarga hanya akan duduk di atas lantai tanpa keselesaan langsung. Ini boleh mengundang ketegangan dan kebimbangan yang melampau.

Sewajarnya disediakan sebuah ruang yang mem­bolehkan mereka menunggu dengan sabar. Dan tidak salah jika pihak hospital boleh menyediakan bahan-bahan bacaan yang sesuai, seperti surah-surah Yasin.

Seelok-eloknya di sini juga ditempatkan pejabat pegawai agama supaya mudah untuk didekati dan mendapat bimbingan. Pegawai agama boleh diambil dalam kalangan lelaki atau wanita untuk memudahkan komunikasi, dan tidak semestinya hanya untuk yang beragama Islam kerana agama lain juga perlukan sokongan emosi ini.

Pihak hospital tidak harus hanya memikirkan untuk mendapat tenaga pakar perubatan ternama dan menyediakan kemudahan infrastruktur terkini, mereka juga harus menyediakan kemudahan yang lebih berbentuk holistik iaitu sokongan emosi dan bimbingan keagamaan. Saya pasti walaupun pelaburan sebegini sukar untuk diukur namun pulangannya pasti amat tinggi.

Apa guna kehebatan peralatan tetapi kosong jiwa, kosong emosi.

DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI AHMAD SABRI dari Universiti Utara Malaysia (UUM).