Menyelak kembali nostalgia di situ, ketika mula-mula mengenali Kuala Lumpur sebagai pemberita, saya pernah melakukan tinjauan dalam kalangan pengguna perkhid-matan bas. Jika ada satu-satu isu yang diarahkan oleh ketua pemberita, di situlah mudah mendapat reaksi orang ramai. Selain mendapat reaksi berhubung pelbagai isu, tinjauan juga berkaitan suasana Puduraya seperti kekotoran, ketidakselesaan pengguna dengan asap bas dan minyak yang mengotorkan keadaan. Saya masih ingat bagaimana rantai leher anak kecil saya diragut begitu pantas oleh pe-ragut ketika berurusan di kawasan berkenaan. Di situlah, pengkalan saya berulang alik ke Pulau Pinang menggunakan bas ekspres (jika tidak silap syarikat bas SPT) yang menempuh perjalanan agak panjang kerana ketika itu belum wujud lebuh raya. Begitu sibuk suasana Puduraya ketika itu walaupun tidak selesa. Mereka yang berniaga di situ – gerai makanan/minuman, surat khabar/majalah, buah-buahan dan sebagainya tentu mengaut keuntungan yang baik dan memuaskan.

Di situlah satu-satunya terminal bas yang menghubungkan perjalanan hampir ke semua destinasi dalam negara. Kini suasana itu bukan lagi beransur-ansur hilang tetapi sudah hilang. Siapa sangka Hentian Puduraya yang mula beroperasi pada tahun 1976 bakal tinggal sejarah sekiranya tidak ada langkah tertentu diambil. Puduraya mungkin sudah berakhir jika Plaza Rakyat menjadi kenyata-an tetapi Plaza Rakyat hanya pada nama stesen Transit Aliran Ringan (LRT). Tapak Plaza Rakyat menjadi ‘hutan batu’ dan kadang-kadang seperti ada ‘kolam’ di situ. Hentian Puduraya bertukar menjadi Pudu Sentral pada Ogos 2011 selepas dinaik taraf. Hentian itu ditutup untuk baik pulih pada Mac 2010. Najib mengumumkan pertukaran nama itu selaras dengan wajahnya yang moden dan baharu, setaraf dengan sebuah lapangan terbang. Memang selesa. Ia dilengkapi pendingin hawa, kemudahan eskalator, sistem pengumuman awam untuk mengumumkan ketibaan dan pelepasan bas. Sebanyak 296 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di semua tempat strategik yang dipantau oleh 48 kakitangan keselamatan. Surau yang dulunya sempit dinaik taraf sehingga membolehkan solat Jumaat diadakan di situ. Kerja-kerja menaik taraf itu dijalankan oleh UDA Holdings Berhad dalam dua fasa melibatkan kos RM52 juta. Memang selesa berbanding suatu masa dulu sebuah hentian yang merimaskan, sesak, kotor, panas dan bising.

Turut gembira dengan naik taraf itu ialah peniaga. Dalam satu tinjauan yang dibuat ketika itu, seorang peniaga yang berniaga di situ sejak 26 tahun sebelum itu memberitahu, perniagaannya meningkat. Jika sebelum itu untuk mendapatkan RM200 sehari pun susah, kini mampu memperoleh RM500. Itu cerita 2011 yang mungkin berte-rusan sehingga Oktober 2015.

Pada 22 September 2012, sekali lagi ‘Hentian Puduraya’ bertukar nama apabila Najib mengumumkan Pudu Sentral dikenali sebagai UTC KL. Menurut Najib, transformasi yang dilakukan itu adalah bukti orientasi pemikiran serta pendekatan baharu yang diperkenalkan kerajaan dengan mengambil kira keperluan semasa demi kesejahteraan masyarakat di bandar. UTC KL adalah pusat sehenti di bawah satu bumbung yang dibina melalui Strategi Lautan Biru dalam masa enam bulan dengan kos RM24 juta. UTC KL setinggi empat tingkat yang dibangunkan di tapak meletak kenderaan di Plaza Sentral menempatkan 39 jabatan kerajaan dan swasta serta pusat riadah, turut mempunyai Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia dan Kedai Buku 1Malaysia.

Begitulah cerita transformasi Hentian Puduraya pada 2011 dan 2012. Kini suasana itu tinggal kenangan apabila mulai 1 November, operasi bas ekspres koridor uta-ra dari Pudu Sentral berpindah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan (BTS). Apa yang tinggal di situ hanya perkhidmatan bas ekspres jarak dekat dan henti-henti termasuk ke Tanjung Malim, KLIA, klia2 dan Seremban serta kekal sebagai UTC. Keadaan itu menyebabkan suasana di situ sepi. Jumlah pengunjung terhad, sekadar berurusan dengan agensi atau jabatan di UTC. Habis urusan mereka pulang. Akibatnya, banyak peniaga yang mengeluh dan mula berkira-kira mahu ‘gulung tikar’, meninggalkan Pudu Sentral untuk mencari tapak baharu atau pekerjaan lain.

Ketika saya meninjau suasana pada hari berkenaan, kebetulan seorang peniaga sedang mengemaskan barang-barang di gerainya. Apabila ditanya, kenapa berbuat demikian, beliau memberitahu mahu tutup perniagaan. Beliau tidak tahu apa yang hendak dilakukan selepas menutup gerainya. Setakat ini tidak ada jaminan oleh pihak-pihak yang sebelum ini bertanggungjawab ‘menghidupkan’ Pudu Sentral. Katanya, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak dapat menjelaskan perancangan selepas ini. Begitu juga Uda Holdings Berhad yang menyelia bangunan itu.

“Mana boleh tahan, kadang-kadang dapat RM1 dengan menjual sebotol air minuman, kadang-kadang satu hari tak dapat apa,’’ katanya yang menyewa gerai di situ sejak sebelum Puduraya dinaik taraf. Dengan kadar sewa yang mencecah RM1,000 sebulan, beliau perlu mendapatkan RM50 sehari. Bagaimanapun sejak awal bulan ini, untuk mendapatkan RM20 pun susah, inikan pula RM50. Beliau tidak dapat menunggu lebih lama. Belum sebulan operasi bas ekspres berpindah ke TBS BTS, ada peniaga yang sudah ‘gulung tikar’ dan ada yang masih cuba bertahan. Tidak pasti berapa lama. Sudah tentu gerai-gerai yang selama ini menjual makanan ringan dan buah-buahan potong tidak mampu bertahan.

Tidak pasti sama ada mereka ditawarkan untuk menjalankan perniagaan yang sama di TBS BTS. Menurut peniaga itu, jika diberi tawaran pun, kadar sewanya tentu tinggi. Pihak berkenaan yang menguruskan TBS boleh melakukan sesuatu untuk membantu pemilik gerai berkenaan meneruskan perniagaan mereka jika Pudu Sentral terpaksa ‘dimatikan’. Peniaga-peniaga di situ tidak boleh mengharapkan pengunjung UTC untuk menjenguk perniagaan mereka. Buat apa untuk singgah di terminal atau lobi yang sebelum ini menjadi tempat penumpang menunggu atau menjadi laluan orang ramai membeli tiket bas? Apa pula nasib kedai yang menggunakan jenama 1Malaysia. Adakah mereka juga terpaksa menutup perniagaan?

Rugi jika kos yang dibelanjakan untuk menaik taraf Hentian Puduraya itu berakhir dengan penutupan atau ‘kematian’ aktiviti di kawasan berkenaan. SPAD, UDA Holdings, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu melakukan sesuatu, bukan sahaja menyelamatkan peniaga-peniaga tetapi juga kos yang dilaburkan untuk baik pulih bangunan itu. Biarlah kos yang sudah dilaburkan untuk menaik taraf Hentian Puduraya berbaloi dan tidak lebur atau dibazirkan begitu sahaja. Transformasi Hentian Puduraya tidak boleh terhenti!