Turut tidak terlepas berhadapan dengan masalah ini adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menjadi pintu masuk utama ke Malaysia sehingga menarik perhatian pemimpin utama negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam catatan Twitternya pada 13 Februari lalu telah meminta supaya pengurusan KLIA iaitu Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) menjaga tahap kebersihan tandas awam.

Malah, isu kebersihan tandas di KLIA turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi yang mahukan tahap kebersihan tandas terutamanya di KLIA2 di­tingkatkan lagi.

Bagi menjawab isu yang dibangkitkan itu, Utusan Malaysia telah bertemu dengan Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd., Zainol Mohd. Isa yang bertanggungjawab dalam pengurusan dan operasi di KLIA.

Tanpa mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, Zainol berkata, MAHB mengambil tanggungjawab sepenuhnya mengenai isu kebersihan tandas dan sentiasa menambah baik kemudahan tersebut terutamanya di KLIA.

Beliau berkata, langkah tersebut adalah salah satu komponen penting dalam menjayakan agenda pengalaman lapangan terbang menyeluruh (TAE) yang dimulakan sejak September tahun lalu.

“Bagi mengatasi masalah kebersihan tandas, pihak MAHB te­lah merangka pelan jangka masa pendek dan panjang. Antaranya dengan melantik kontraktor pembersihan tambahan di KLIA dan melaksanakan pemantauan yang lebih ketat ke atas prestasi mereka.

“Mereka dikehendaki memantau kerja-kerja pembersihan ini setiap 15 minit pada waktu puncak. Pada masa sama, setiap tandas yang menjadi tumpuan utama turut dilengkapkan dengan kemudahan vakum basah dan kering, alas atau tikar di bahagian sinki, memasang pewangi dan menyediakan tong sampah dalam kubikel tandas bagi kemudahan pengguna,” katanya.

Zainol berkata, KLIA adalah antara 25 lapangan terbang paling sibuk di dunia dan mencatatkan kehadiran penumpang lebih 70,000 orang sehari, manakala di KLIA2 pula kira-kira 75,000 penumpang sehari.

Beliau berkata, jumlah penumpang yang ramai di kedua-dua terminal tersebut menyebabkan kerja-kerja pembersihan tandas mencabar dan perlu diberi perhatian lebih rapi.

Sehubungan itu, katanya, bagi keselesaan pengguna, MAHB menjalankan aktiviti penyenggaraan secara besar-besaran ke atas 130 tandas di KLIA dengan membaiki dan mengganti kelengkapan ­seperti bidet tangan, kepala paip, penutup mangkuk tandas dan lain-lain yang telah rosak sama ada disebabkan vandalisme atau usia lapangan terbang itu sendiri yang telah menghampiri dua dekad.

Pada masa sama, Zainol berkata, kerja-kerja menaik taraf tandas di KLIA juga sedang giat dilakukan yang mana sehingga kini sebanyak 67 tandas termasuk sembilan tandas OKU sedang dinaik taraf dalam fasa tiga dan empat me­libatkan keseluruhan kawasan terminal KLIA termasuk Bangunan Terminal Utama, contact pier (dermaga sambung) dan Bangunan Satelit KLIA.

Beliau berkata, usaha tersebut dimulakan sejak 2010 lagi dengan menumpukan kerja-kerja naik taraf di 10 tandas biasa dan lima tandas orang kurang upaya (OKU) di Bangunan Terminal Utama KLIA.

“Kerja-kerja pengubahsuaian tandas ini dijangka mengambil masa selama 30 bulan untuk di­siapkan. Untuk fasa tiga sebanyak 24 tandas dan sembilan tandas OKU sedang disiapkan bermula awal Januari lalu sehingga November ini, manakala fasa empat sebanyak 34 tandas biasa akan disiapkan bermula awal tahun hadapan.

“Semua tandas baharu ini akan dilengkapi dengan ciri-ciri terkini seperti penyembur bio kimia automatik yang dipasang di tempat pembuangan air kecil lelaki, pemasangan alat peniup terbina bagi membolehkan lantai sentiasa kering dan alat pengering tangan di setiap sinki.

“Selain itu, tandas baharu ini juga akan dilengkapi bidet yang membolehkan keadaan lantai sentiasa kering, tisu dispenser bagi menggantikan kertas tandas biasa, penggunaan pensteril udara, lampu ultra violet bagi menjimatkan penggunaan tenaga, alat sanitizer dan jubin lantai istimewa yang mampu mengeringkan lantai dengan lebih cepat,” jelasnya.

Sementara itu, Zainol berkata, MAHB turut mengalu-alukan maklum balas daripada pengguna supaya isu kebersihan tandas di KLIA dapat ditangani dengan segera.

Beliau berkata, pengguna yang berhadapan dengan masalah kebersihan tandas yang tidak memuaskan boleh membuat aduan melalui aplikasi WhatsApp atau khidmat pesanan ringkas (SMS) di talian hotline 012-3545570.

Katanya, setiap aduan yang diterima akan diatasi segera dan proaktif bagi memberikan per­khidmatan terbaik kepada setiap penumpang.