Media di Britain menganggap kebakaran itu sebagai suatu kemalangan yang boleh dielakkan dan sepatutnya tidak berlaku. Malangnya, ia berlaku disebabkan kecuaian dan kesilapan beberapa pihak berkaitan. Dalam kebakaran itu, sekurang-kurangnya 80 nyawa terkorban. Jumlah kematian sebenar belum dapat lagi dipastikan oleh pihak berkuasa.

Begitu banyak sekali soalan yang memerlukan jawapan. Antaranya, apakah punca sebenar kebakaran itu?

Kenapakah api boleh merebak begitu cepat sekali, menyelubu­ngi semua 24 tingkat dalam masa yang amat singkat?

Kenapakah tiada amaran kebakaran untuk membolehkan peng­huni menyelamatkan diri mereka? Kenapakah laluan keluar dari bangunan itu terlalu terhad?

Kenapakah pihak bomba mengambil masa begitu lama memadamkan api? Mengikut laporan agensi berita BBC, bomba mengambil masa lebih 24 jam sebelum api dapat dipadamkan.

Menurut satu laporan yang menyayat hati, seorang ibu ­menerima pesanan dari anaknya Jessica Urbano berusia 12 tahun yang tinggal di bangunan malam itu pada pukul 1.39 pagi. Pesa­nan itu berbunyi “Ibu. Datanglah cepat, ambil saya dari sini.” Malangnya, kanak-kanak itu tidak dapat diselamatkan.

Beberapa bulan sebelum ini, penghuni bangunan telah membangkitkan isu risiko kebakaran kepada badan pengurusan yang bertanggungjawab iaitu pihak Pengurusan Penyewaan Kensington dan Chelsea (KCTMO) tetapi ia tidak dipedulikan. Badan pengurusan inilah yang dipertanggungjawabkan oleh Majlis Perbandaran Kensington dan Chelsea mentadbir dan mengurus bangunan dan menjaga kesejahteraan dan ­keselamatan penduduk. Bangunan tua tersebut yang mula dibina pada 1972 dan siap pada 1974 oleh Majlis Perbandaran Kensington dan Chelsea dan kini dihuni 600 orang, hanya ada satu laluan keluar sekiranya berlaku kebakaran atau apa-apa kecemasan.

Lima tahun lalu kerajaan Britian telah pun menasihatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memiliki bangunan perumahan awam untuk segera memasang kemudahan sistem pemadam kebakaran (sprinkler systems).

Malangnya, disebabkan dasar berjimat cermat, kerja penting ini tidak dapat dilaksanakan di banyak kawasan termasuklah Kensington. Daripada 4,000 blok menara perumahan awam, hanya 100 menara yang dapat dipasang dengan kemudahan itu. Grenfell Tower tidak ada sistem pemadam kebakaran sendiri.

Menurut sebuah portal berita tempatan, Majlis Perbandaran Kensington dan Chelsea mempunyai kewangan lebihan dalam bajet tahunannya, tetapi dengan menggunakan dasar jimat cermat itu sebagai alasannya, ia enggan mengambil langkah-langkah ke­selamatan yang sepatutnya diambil untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan penghuni rumah awam di bawah pengurusannya.

Ahli Parlimen Kensington, Emma Dent Coad pula mem­beritahu, antara punca utama api merebak begitu cepat sekali adalah kerana kerja ubahsuai pada tahun lalu memasang lapisan (cladding) di bahagian luar bangunan itu yang dibuat daripada bahan polyester disalut aluminium. Kerja ini yang dikatakan bernilai £8.7 juta, semata-mata dilakukan untuk mencantikkan menara ini agar sedap dipandang oleh penduduk Kengsington, yang adalah kawasan terkaya di bandar raya London.

Menurut Menteri Kabinet, Phi­lip Hammond ketika ditemuramah oleh BBC, jenis cladding yang dipasang di Grenfell Tower itu sebenarnya diharamkan bukan hanya di Amerika Syarikat dan EU, tetapi juga di United Kingdom.

Dua hari selepas kebakaran itu berlaku, ribuan penduduk kota London turun ke jalan raya menzahirkan kemarahan dan kekesalan mereka. Dengan membawa puluhan sepanduk mengandungi pelbagai kata-kata duka dan marah, mereka bergerak dari Ken­sington menuju Downing Street di mana akhirnya dihalang oleh pasukan polis di situ.

Ada sepanduk yang meminta Perdana Menteri Theresa May meletakkan jawatan, ada yang meminta “Keadilan untuk Grenfell”, menuduh “Darah di tangan kamu”, dan menyatakan “Tidak lagi”.

Antara puluhan gambar yang dimuat naik dalam portal akhbar The Daily Mail mengenai protes jalanan hari itu, ada gambar seorang wanita kulit putih membawa sepanduk menyatakan “This is class war” dan seorang wanita muda keturunan Arab berhijab membawa sepanduk menyatakan “It is criminal to wrap homes in flammable plastic”.

Akhbar The Daily Mail turut menyiarkan tulisan Katie Hopkins yang menyatakan bahawa Grenfell Tower hanya ada satu anak tangga dan satu pintu keluar untuk penghuninya menyelamatkan diri jika ada kecemasan. Tiada amaran kebakaran, tiada sistem pemadam kebakaran, tiada pintu keluar yang mencukupi.

Jika kebakaran berlaku, peng­huni menara itu sememangnya tidak ada peluang menyelamatkan diri mereka.

Kebakaran Grenfell Tower ­melambangkan kelemahan sistem pengurusan perumahan awam di kota raya London dan beberapa bandar raya lain di United Kingdom. Kekangan kewangan dan dasar jimat cermat menjadi sebab utama standard keselamatan begitu rendah sekali.

Pakar kebakaran menasihatkan agar sistem pemadam kebakaran dipasang di bangunan lama ­seperti Grenfell; mereka juga menasihatkan agar undang-undang lama disemak semula, dan sistem pemadam kebakaran dijadikan mandatori bagi semua bangunan lama, bukan hanya untuk bangunan yang baharu dibina.

Semua nasihat ini tidak dihiraukan. Paling mengejutkan, penghuni Grenfell Tower telah diarahkan oleh pihak berkuasa jika berlaku kebakaran, mereka hendaklah menunggu untuk di­selamatkan oleh pasukan penyelamat, dan tidak cuba keluar bangunan untuk menyelamatkan diri mereka sendiri.

Tragedi 14 Jun lalu membuka mata banyak pihak. Tempiasnya mungkin menggugat lagi kedudukan Theresa May. Apakah nasib penduduk miskin di kawasan paling kaya di kota raya London ini akan berubah di masa depan? Sama-samalah kita tunggu.

PENULIS ialah bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Johor.