Ditanya sama ada beliau sedia memaafkan pengganas tersebut, Farid memberi jawapan: “Sudah tentu. Perkara terbaik adalah kemaafan, keikhlasan, kasih sayang dan keprihatinan serta sikap positif”. Tidak ada sedikit pun rasa dendam di hatinya.

“Saya mahu bertemu dengannya dan memberitahu dia saya masih kasihkan dia. Saya ingin memberikan mesej kepadanya atau kepada rakan-rakannya yang mempunyai tanggapan sama, saya masih kasihkan kamu.

“(Cuma) saya tidak setuju dengan apa yang kamu lakukan. Tindakan kamu adalah salah. Tetapi saya percaya kamu memiliki kebaikan dalam hati kamu,” katanya yang berhijrah dari Bangladesh ke New Zealand bersama isterinya pada 1990 dan memiliki seorang anak perempuan.

Demikianlah sifat orang beriman. Mereka reda atas qada dan qadar Allah. Apabila ditimpa musibah atau ujian mereka melafazkan istirja’ iaitu inna lillah wainna ilaihi raajiuun. (daripada Allah kita datang kepada-Nya kita kembali).

Kalimat ini sebagai tempat pertolongan bagi mereka yang terkena musibah dan perlindungan bagi orang yang berhadapan cubaan.

Ini kerana di dalamnya terkumpul makna pengakuan penghambaan kepada Allah dan pengakuan kepada hari kebangkitan dan dunia bukanlah pengakhiran bagi segala-galanya.

Musibah adalah sesuatu yang menyebabkan kesedihan pada hati seseorang meskipun ia kecil. Kita sedia maklum, mati itu pasti.

Cuma bila dan di mana ajal kita, itu adalah dalam rahsia Allah. Sebab itu bagi Farid, dia tidak gundah-gulana. Walaupun sedih atas kejadian itu, namun keyakinannya kepada Allah melebihi segala-galanya.

Apabila tiba ajal, ia tidak akan cepat atau lewat sesaat. Walau di mana juga kita berada, pasti maut menjelma.

Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh...(al-Nisa’: 78)

Lagipun, menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, umat Islam yang mati akibat tembakan pengganas dalam serangan tersebut meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah.

Kesemua mereka yang maut itu meninggal dunia ketika ingin menunaikan Solat Jumaat dan mahu mengadap Allah. Sesungguhnya, tiada kejayaan yang lebih besar daripada mati dalam keadaan baik dan seterusnya mendapat nikmat syurga Allah yang abadi di akhirat kelak.

Di sebalik musibah itu, ada beberapa hikmah ke atas penduduk Islam di New Zealand. Antaranya, sidang Parlimen negara itu pada Selasa lalu turut dibuka dengan bacaan ayat suci al-Quran dan doa oleh Imam Nizam ul haq Thanvi.

Ia amat mengharukan sehingga beberapa Ahli Parlimen dilihat menitis air mata. Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern turut mengucapkan Assalamualaikum pada pembukaan sesi Parlimen selain memakai tudung bagi menghormati rakyatnya yang beragama Islam.

Dalam media sosial pula, dikhabarkan ratusan penduduk di sana mengucap syahadah selain ramai orang bukan Islam sanggup jadi benteng manusia bagi mengawal umat Islam yang solat daripada berulangnya insiden tembakan.

Bilangan mereka yang mendekati masjid dalam erti kata mahu memahami ajaran Islam juga dilaporkan semakin bertambah.

Satu lagi perkembangan positif apabila Ardern berkata, azan semasa solat Jumaat akan disiarkan secara langsung di seluruh negara hari ini selain dikehendaki berdiam selama dua minit. Ia sebagai menunjukkan sokongan kepada komuniti Muslim semasa mereka kembali ke masjid pada Jumaat ini.

Pada ketika masyarakat dunia sedang peka mengenai Islam, kita mesti mengambil peluang memberi penerangan dan maklumat yang benar tentang Islam.

Dalam usaha menzahirkan kecintaan kita kepada Islam dan memperbetulkan persepsi yang salah tentang Islam, penting untuk diteliti kembali akhlak dan peribadi Rasulullah SAW dalam menghadapi golongan penentang Islam yang sentiasa cuba memburuk-burukkan dan menjatuhkan Islam dan maruah Rasulullah SAW.

Untuk itu, adalah penting bagi umat Islam mempamerkan akhlak mulia sebagai yang diajarkan oleh baginda SAW.

Konsep dakwah bil hal hendaklah diamalkan. Dakwah bil hal adalah dakwah yang dilakukan melalui penampilan kualiti peribadi dan aktiviti-aktiviti yang secara langsung menyentuh keperluan masyarakat.

Menurut Ali Yaakub Matondang (2006), dakwah bil hal adalah satu manhaj atau pendekatan dakwah sosial (manhaj al-amal ma’a al-jamaah), perlu menjadikan kaedah-kaedah yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai garis panduan.