Suasana pada hari raya pada zaman penulis kanak-kanak memanglah tidak semeriah mana. Tetapi kami tetap gembira kerana apa yang dilakukan oleh penduduk di kampung lain adalah sama dengan apa yang kami lakukan. Beraya memanglah cara sederhana tetapi itulah yang paling meriah bagi kami.

Tidak banyak persediaan yang dilakukan. Ada ketupat pulut daun palas, kari daging atau ayam kampung dan sejenis dua kuih termasuk baulu dianggap sudah memadai kerana di rumah-rumah lain pun begitu juga. Kalau yang moden-moden sikit, sudah ada yang pandai buat kek warna coklat campur dengan kismis dan sebagainya.

Belum ada rumah terbuka pada waktu itu. Bagi kami, rumah sentiasa terbuka dan menerima sesiapa sahaja tetamu walaupun ada antara kanak-kanak yang datang tidak dikenali kerana mereka datang beraya hendakkan duit raya.

Pada era 60-an membawa ke tahun 70-an, 10 sen dan 20 sen dikira sudah besar. Oleh sebab rumah tidak ba­nyak, dapat 3 ringgit dikira sudah banyak dan boleh dibuat belanja beberapa hari.

Uniknya raya di kampung-kampung walaupun tidak ada kaum lain selain daripada Melayu, hubungan antara Melayu dan Cina sentiasa kukuh kerana orang Melayu bergantung sepenuhnya kepada peniaga-peniaga Cina di sebuah pekan kecil antara Kampung Paya dan Pekan Kodiang.

Pekan itu dikenali sebagai “Stesen” kerana di situ ada Stesen Kereta Api Pekan Kodiang. Ada beberapa buah kedai berbangsa Cina yang menjual pelbagai keperluan untuk penduduk di beberapa buah kampung di sekitar. Pada bulan Ramadan, di situlah penduduk kampung membeli air batu yang disalut dengan sekam padi supaya tidak cair apabila sampai di rumah.

Walaupun belum ada bekalan elektrik, hidup sentiasa ceria. Tidak ada televisyen. Cuma ada radio transistor menggunakan bateri lampu suluh untuk mendengar segala bentuk hiburan, berita, pengumuman dan sebagainya. Tidak ada telefon untuk menghubungi sesiapa, tidak ada pembesar suara di surau tetapi cuma ada beduk untuk memberitahu masuknya waktu sembahyang, waktu berbuka dan habis sahur.

Apa-apa pun, hidup sentiasa ceria. Surau ceria kerana tidak ada apa-apa aktiviti lain yang boleh menghalang jemaah ke surau untuk bertarawih. Hendak ke pekan jauh sekali kerana belum ada yang berkereta dan motosikal pun boleh dihitung dengan jari.

Suasana mesra penduduk kampung amat terserlah pada hari raya. Kunjung-mengunjung tetap hidup, ziarah-menziarahi dari pagi sampai ke malam walaupun dihalang oleh keadaan gelap di kiri kanan jalan. Pada bulan puasa, amalan bertukar juadah berbuka cukup hidup sehingga anak-anak kampung dikenali kerana merekalah yang di­suruh ibu bapa menghantar juadah ke rumah jiran.

Hari raya pada masa itu disambut sehari dua sahaja. Penduduk tidak ramai. Oleh itu sehari suntuk menziarahi pun sudah habis. Belum ada penduduk kampung yang berhijrah ke mana-mana untuk ditunggu pulang. Pendek kata, hari raya disambut oleh penduduk atau kelompok yang berada di persekitaran sahaja.

Kini, penulis dapat merasakan pelbagai perubahannya. Pulang pada hari raya dan apabila mengitari semula kawasan tersebut, banyak yang sudah tiada. Pekan Stesen yang dulunya sibuk dan gah sudah tidak ada lagi. Penduduk Kampung Paya sudah ramai yang berpindah ke kawasan-kawasan lain iaitu yang lebih dekat dengan jalan utama untuk ke pekan.

Kelompok-kelompok kampung mini sudah diratakan menjadi sawah. Keluarga penulis juga sudah berpindah ke kampung lain di Perlis. Malah, penulis sendiri seakan-akan sudah tidak tahu di mana sebenarnya kampung kelahiran penulis yang kini sudah diratakan menjadi kawasan sawah.

Bagaimanapun, Kampung Paya masih ada. Ia sudah maju kerana sudah ada bekalan elektrik walaupun untuk sebuah dua rumah di tengah-tengah sawah. Kereta sudah menjalar di depan rumah masing-masing. Ramai anak-anak muda kampung itu berhijrah ke negeri-negeri lain dan membawa budaya bandar ke Kampung Paya.

Rumah terbuka sudah ada. Hari raya disambut bukan sehari dua, tetapi sehingga selesai Syawal. Makan minum sudah mewah kerana pelbagai juadah moden dihidangkan pada hari raya sehinggakan ketupat pulut daun palas pun ada yang sudah tidak tahu membuatnya. Anak-anak muda pula sudah sibuk dengan permainan gajet sehingga tidak sempat dan lupa hendak menziarahi sanak-saudara di kampung. Oleh itu, mereka semakin tidak mengenali akar salasilah mereka di kampung yang sudah mula hilang nilai tradisinya.

Apapun situasinya, Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir batin.