Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

Gambaran imej beliau yang mahu dijual kepada khalayak sebagai berani, sanggup berkorban dan berkata benar semakin sirna. Penentangan terhadap RUU 355 menjadi kemuncaknya setelah sekian banyak siri gerakan, pendedahan mahupun komplot yang beliau kepalai menemui kegagalan ataupun terbukti tidak benar.

Rafizi mengharapkan pendedahan terbaharunya bahawa ‘bekas pemimpin Pas menerima dana 1MDB’ akan menggagalkan kerjasama UMNO-Pas. Rafizi mahu kha­layak per­ca­ya Pas telah dibayar untuk tunduk dan mengikut telunjuk UMNO.

Hakikatnya PKR dan DAP begitu ta­kut kehilangan Pas. Tanpa Pas, mus­nahlah impian mereka untuk ke Putra­jaya. Pertandingan tiga penjuru hanya merencatkan kemaruk Pakatan Harapan untuk berkuasa.

Segala daya telah dibuat termasuk meng­gunakan Tun Dr. Mahathir Moha­mad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memujuk Pas kembali ke pang­kuan tetapi gagal. Jalan perun­dingan buntu malah kini tertutup rapat. Ber­tambah buruk, tahaluf siyasi PKR-Pas pun bakal berakhir.

Maka daripada UMNO yang dapat, biar semua tak dapat. Menyerang UMNO dan Pas menggunakan peluru 1MDB adalah senjata paling mudah. Ini kerana 1MDB telah dipersepsikan seburuk-buruknya sehingga fakta nyata dan kebenaran tak lagi diendahkan. Untuk menguatkan tuduhannya itu, Rafizi membuat akuan bersumpah. Kelak, kita pun akan disajikan dengan drama akuan bersumpah yang lain.

Malang bagi Rafizi dan Pakatan Harapan, Pas yang telah melalui fasa pembersihan, tidak goyah dengan permainan politik fitnah ini. Kedudukan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang diserang siang dan malam serta cuba ditikam dari belakang tetap kukuh.

Abdul Hadi malah menang tanpa bertanding dalam pemi­lihan parti yang berlangsung pada akhir April ini. Saki-baki penen­­tang yang masih ada dalam Pas yang cuba menjalin hubungan sulit dengan musuh Pas bertempiaran mencari tem­pat berteduh.

Pas sekata menyatakan tidak pernah menerima dana daripada 1MDB. Pendedahan Rafizi adalah fitnah (tanpa bukti) tetapi hanya berdasarkan dengar cakap sa­haja. Pimpinan Pas sebelum ini pun telah bertemu dengan bekas pegawai SPRM yang menjadi sumber Rafizi itu.

Tiada maklumat jelas dari­pada sumber berkenaan dari segi dana yang mengalir kepada bekas pemimpin Pas itu. Yang je­las kepada Pas, ini hanya sa­tu lagi pembohongan untuk me­ngelirukan rakyat tentang usa­ha Pas bersama UMNO untuk memperkasa Mahkamah Syariah.

Datuk Nasharudin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden Pas orang yang disebut oleh Rafizi sebagai penerima dana menafikan dengan keras. Pendedahan itu dianggap fitnah dan berniat jahat. Nasharudin pun sedang mengguna saluran undang-undang untuk menangkis fitnah itu.

Sudah tentu Rafizi tidak gentar dengan tindakan balas Pas dan Nasharudin. Rafizi sudah biasa dengan situasi ini yang kini beberapa hukuman mahkamah menanti termasuk penjara.

Frasa ‘saya sedia menunggu di mahkamah dan saya akan dedahkan segalanya di mahkamah’ adalah mainan lidahnya. Dalam kes-kes terdahulu, yang berlaku adalah sebaliknya. Banyak yang berakhir beliau didapati bersalah.

Mencemar imej

Kali ini juga Rafizi sedang berdepan dengan tuduhan beliau dan PKR menerima dana daripada jutawan Datuk John Soh Chee Wen yang kini sedang berhadapan dengan 168 tuduhan di Mahkamah Singapura. Dalam kesibukannya membuat promosi Nasharudin menerima dana 1MDB, Ketua Pemuda PKR Ampang yang sebaliknya ditahan reman SPRM berikutan dakwaan penggubahan wang haram. Yang dituduh orang lain, yang kena orang sendiri.

Sebagai politikus yang dijulang tinggi integritinya, Rafizi sepatutnya berbuat sesuatu kerana parti yang didakwanya menerima wang 1MDB itulah yang bersama PKR membentuk kuasa di Selangor. Tidak tahu malukah si Rafizi ini?

Pergilah gunakan segala kuasa sebagai Naib Presiden PKR untuk menendang keluar Pas daripada Kerajaan Negeri Selangor. Bukankah pada penilaian kamu Pas telah rosak dan menjadi hina kerana menerima wang yang diseleweng daripada rakyat itu?

Bertambah menyesakkan nafas, tanpa diduga Rafizi menerima tamparan apabila Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) menuntut Rafizi memohon maaf atas tohmahan beliau ke atas Hakim Syarie. Ini berikutan klip video ucapan Rafizi yang tular. “Kalau dilihat kepada rekod hakim yang ditangkap dan ditahan kerana rasuah, kita boleh tengok sendiri sebenarnya hakim Mahkamah Syariah lebih tinggi berbanding dengan hakim Mahkamah Sivil.”

Mengikut rekod PPSM, hanya terdapat satu kes sahaja yang melibatkan Hakim Syarie yang didakwa dan disabitkan dengan kesalahan rasuah. Tohmahan Rafizi itu telah merosak dan mencemarkan imej dan kewibawaan Hakim Syarie khususnya dan institusi Kehakiman Syariah amnya.

PPSM yang menaungi pegawai syariah negara ini menegaskan kenyataan Rafizi itu tersasar, melulu dan jauh menyimpang daripada kebenaran. Tentu sekali tindakan PPSM yang jarang-jarang mengeluarkan kenyataan bukan khabar baik kepada Rafizi mahupun PKR dan Pakatan Harapan.

Memusuhi pegawai syariah dan menentang pindaan undang-undang untuk memperkasa Mahkamah Syariah adalah hal yang sepatutnya dijauhi terutama oleh politikus. Tetapi sebagaimana lazimnya, mereka sudah alah bisa tegal biasa. Mereka sudah terbiasa berkomplot dan membuat gerakan di luar tabie.

Matlamatnya untuk melagakan UMNO dengan Pas serta meletakkan UMNO dalam kedudukan pihak yang ti­dak men­junjung undang-undang kerana kononnya tidak meng­hormati siasatan SPRM. Perangkap Rafizi sekali lagi tidak akan mengena.

Pas yang akan mengadakan muktamar akhir bulan ini semakin mengukuh dengan barisan kepemimpinan di setiap peringkat yang istiqamah dan setia. UMNO pula yang akan menyambut ulang tahun ke-71 pada 11 Mei ini sudah mempersiapkan jentera untuk menghadapi apa jua yang membujur dan melintang.