Beginilah sikap segelintir wanita bertudung yang majoritinya dalam kalangan anak muda masa kini. Gemar sekali mengikut trend apabila munculnya aplikasi-aplikasi tertentu seperti Tik Tok, Keke, Musically dan sebagainya.

Memang benar tidak salah untuk menjadi sebahagian daripada kecanggihan teknologi supaya dikatakan tidak ketinggalan dalam arus digital atau sentiasa mahu up-to-date dengan zaman sekarang.

Dalam mengejar status trendy itu, mungkin mereka tidak sedar, sebagai seorang wanita muslim, Islam te­lah menggariskan had dan batasnya untuk melakukan sesuatu supaya ia tidak mengundang fitnah masyarakat bukan sahaja ke atas diri mereka sendiri tetapi kepada seluruh wanita Islam lain yang bertudung.

Cekmek Molek ingin menarik perhatian tentang perkara ini yang dibangkitkan oleh seorang pendakwah, Da’i Luqman apabila baru-baru ini timbul isu ada dalam kalangan penyanyi wanita bertudung yang menari. Katanya, teguran itu dibuat demi mengembalikan imej dan maruah muslimah bertudung. Nak menyanyi, silakan. Tetapi tidak perlulah sampai menari kerana itu mengundang fitnah besar buat wanita lain yang bertudung.

Cekmek Molek memetik semula status Da’i Luqman itu di Instagramnya. Kata beliau:

“Realiti pada hari ini, wanita muslimah hanya berpemikiran bahawa ‘Islamnya aku itu cukup hanya sekadar bertudung’. Dan kebanyakan mereka beranggapan pula, ‘aku dah pakai tudung, so aku dah boleh buat apa sahaja’. Ramai dalam kalangan wanita pada hari ini tak faham konsep sebenar bertudung dan menutup aurat.”

Tambah beliau lagi: “Apa yang anda faham tentang menutup aurat? Adakah sekadar tutup, kemudian boleh terkinja-kinja? Salah. Konsep sebenar menutup aurat adalah menutup bahagian-bahagian yang telah digariskan oleh syarak dan dalam masa yang sama hadirkan rasa ‘malu’ pada diri.

Menurut Da’i Luqman lagi, jika tidak ada rasa malu, maka tindakan menutup aurat itu tidak akan sekali-kali sampai kepada matlamatnya.

“Sudah-sudahlah mendatangkan fitnah kepada wa­nita bertudung yang lain. Disebabkan anda, ramai wanita lain pada hari ini yang tidak mahu bertudung dengan alasan; ‘Alah, ustaz. Buat apa pakai tudung. Ustaz tengok sajalah kat luar sana, pakai tudung tapi berzina, pakai tudung tapi merokok, pakai tudung tapi menari, pakai tudung tapi naik moto dengan boyfriend.”

Tidak terkecuali membuat teguran serupa ialah Pencetus Ummah, PU Azman yang meminta anak-anak muda perempuan agar tidak memuat naik segala aksi tarian di pelbagai aplikasi media sosial kerana risiko fitnahnya lebih besar. Gerakan dan goyangan badan wanita adalah aurat.

Cukup terkesan, ringkas dan padat teguran pendakwah-pendakwah muda ini.