Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Tolong hormat anak-anak di kawasan sekolah

MINGGU lalu selepas menghadiri satu program ibu bapa di sekolah, saya bersama anak berjalan kaki untuk pulang ke rumah. Di pintu pagar sekolah, saya terpandang seorang pelajar cuba melintas jalan menggunakan laluan khas yang disediakan. Ketika itu lampu di lintasan pejalan kaki searas berlampu isyarat menunjukkan warna hijau. Maknanya pelajar itu boleh melintas dengan selamat di laluan yang dikhaskan untuk melintas. Tiba-tiba ada sebuah kereta melintasi kawasan itu dengan kelajuan yang sederhana walaupun lampu isyarat di laluan pemandu itu sudah menunjukkan warna merah. Mujurlah pelajar berkenaan seorang yang ‘bersekolah’. Dia lebih berhemah ketika mahu melintas. Tindakannya berhenti sebentar di tepi jalan, menoleh ke kanan, ke kiri dan ke kanan semula serta peka dengan kenderaan menyebabkan beliau selamat. Mungkin tindakan pelajar itu juga turut menyelamatkan pemandu kenderaan berkenaan daripada menekan brek secara mengejut sekiranya dia melintas di garisan kuning itu. Pelajar itu juga mengguna akal semasa hendak melintas kerana sedar tidak semua pemandu itu mengamalkan apa yang telah mereka belajar di sekolah memandu sebelum mendapat lesen memandu yang sah.

Waspadalah dan berhati-hati apabila memulakan langkah untuk melintas jalan walaupun di garisan kuning berlampu isyarat. Saya tidak pasti sama ada pemandu yang ‘melanggar’ lampu merah itu sengaja atau tidak sengaja tetapi dari pengamatan saya, kemungkinan orang tempatan yang memang tahu di situ ada kawasan sekolah. Dia sepatutnya berhenti. Kemungkinan lelaki berketayap putih itu mengambil mudah bahawa hari Sabtu bukan hari sekolah dan tidak ada manusia yang akan melintas di situ. Mungkin itulah sikap orang kita yang tidak boleh diubah. Persepsi. Keadaan seperti itu kerap berlaku, bukan sahaja di kawasan sekolah tetapi di kawasan lintasan lain di dalam bandar. Sesetengah pemandu kita mementingkan diri sendiri, mereka sahaja yang mahu cepat sedangkan orang lain tidak dipedulikan. Bukan sekadar di kawasan kanak-kanak melintas tetapi di kawasan lain juga lebih kurang sama. Pemandu akan memandu kenderaan seperti biasa walaupun lampu pejalan kaki menunjukkan hijau, kenderaan terlajak sehingga berada di petak kuning kawasan melintas malahan ada yang menutup ruang untuk pejalan kaki melintas. Kenapa? Adakah pemandu ini ‘tidak sekolah?’ atau berlagak samseng di jalan raya?

Setiap laluan berhampiran sekolah akan ada tanda-tanda yang menunjukkan di hadapan ada kawasan sekolah. Mustahil pemandu tidak tahu mengenainya. Adakah tidak boleh pemandu memperlahankan kenderaan sebaik tiba di kawasan sekolah? Adakah pemandu-pemandu kita perlu ‘disekolahkan’ (diajar) semula? Melihat apa yang berlaku itu, timbul persoalan adakah anak-anak kita selamat sebaik sahaja loceng terakhir dibunyikan? Selamatkah anak-anak kita di jalan raya selepas mereka meninggalkan pekarangan sekolah untuk pulang ke rumah sama ada berjalan kaki, menaiki bas, menunggang motosikal atau basikal?

Kisah nahas di kawasan sekolah bukanlah sesuatu yang baharu. Mungkin kedudukan sekolah kita di laluan yang sibuk dengan kenderaan. Lokasi kawasan perumahan dan sekolah yang direka bentuk sebegitu rupa menyebabkan timbul kesesakan sama ada ketika anak-anak mahu ke sekolah atau pulang dari sekolah. Ada yang berjalan kaki, menunggang motosikal atau basikal, bas sekolah, atau dihantar ibu bapa. Di kawasan sekolah yang agak sempit semuanya tertumpu di situ kecuali sekolah yang menyediakan ruang khas sama ada untuk bas menurunkan atau mengambil anak-anak, ruang kenderaan ibu bapa dan kenderaan guru. Mungkin kos yang tinggi diperlukan jika kawasan khas seumpama ini disediakan. Di sekolah tertentu ada pengawal trafik yang akan membantu anak-anak melintas sementara di kebanyakan sekolah tidak ada. Menyelak ketika era saya bersekolah dahulu, walaupun di kampung, saya terpaksa juga melintas jalan. Guru-guru sering mengingatkan anak-anak muridnya supaya berhati-hati melintas. lihat kanan kiri dan kanan sebelum melintas. Dulu tidak ada pengawal atau lampu isyarat. Pandai-pandailah membawa diri.

Salah satu nahas di hadapan sekolah berlaku pada pertengahan Januari lalu apabila dua pelajar perempuan berusia 13 tahun maut dan dua lagi cedera selepas sebuah lori tanpa nombor pendaftaran hilang kawalan dan merempuh dua buah kereta dan 34 buah motosikal di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Damai Perdana, dekat Kuala Lumpur. Lori tanpa pemandu itu menggelongsor menuruni bukit selepas lima minit diletakkan di kawasan itu.

Selain di hadapan sekolah, ramai juga pelajar menjadi mangsa sama ada ketika dalam perjalanan ke sekolah atau sebaliknya. Di sekolah, memang guru-guru sering mengingatkan anak-anak murid/pelajar supaya menjaga keselamatan apabila meninggalkan kawasan sekolah lebih-lebih lagi yang terpaksa menempuh jalan raya yang sibuk. Di sesetengah sekolah, ada jejantas tetapi sudah lumrah anak-anak yang ‘nakal’ tidak mahu menggunakannya. Bermain atau berkeliaran di tepi jalan sementara menunggu bas sekolah atau ibu bapa datang menjemput sudah menjadi satu kebiasaan. Jika ditegur sekalipun, perbuatan itu akan berulang juga.

Langkah-langkah keselamatan perlu diambil bagi memastikan anak-anak kita berada dalam keadaan selamat terutama selepas meninggalkan kawasan sekolah. Pembangunan sekolah pada masa hadapan perlu mengambil kira lokasinya serta keperluan ‘trafik’ yang melibatkan sama ada pejalan kaki, bas, motosikal, basikal dan kenderaan lain. Laluan keluar masuk juga perlu diberi perhatian supaya tidak timbul kesesakan.

Akhirnya yang penting sikap pengguna jalan raya. Merekalah yang menentukan sejauh mana anak-anak sekolah dapat melintas jalan raya dengan penuh yakin dan selamat. Selagi pemandu yang tidak bertimbang rasa berada di jalan raya yang memikirkan mahu cepat, maka selama itu, keselamatan anak-anak akan terjejas. Pemandu pula harus dididik supaya menghormati anak-anak sekolah ini yang mungkin ada antaranya adalah anak-anak mereka. Tidak ada gunanya hanya guru-guru mendidik anak-anak tentang kaedah selamat melintas jalan sekiranya pemandu tidak peduli undang-undang terutama di kawasan sekolah. Kesudahannya, anak-anak pula yang harus menanam dalam fikiran mereka bahawa melintas di lintasan berlampu isyarat belum tentu selamat!

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain