Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, SENIOR ASISTEN KOMISION ER SHARUL OT HMAN MANSOR , berdasarkan satu kajian, risiko kemalangan bertambah lapan kali ganda apabila membalas mesej semasa memandu.

Wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI menemubual beliau berhubung isu itu di pejabatnya di Bukit Aman, Kuala Lumpur baru-baru ini.


MINGGUAN: Jumlah 149 saman dan enam saman setiap jam bagi kesalahan menggunakan telefon bimbit satu angka yang agak besar dan menggusarkan bagi pengguna jalan raya. Kenapa rakyat Malaysia seolah-olah tidak peduli tentang hal ini?

SHARUL:
Sebenarnya telefon bimbit telah banyak mengubah kehidupan kita dengan kewujudan pelbagai aplikasi seperti WhatsApp dan mesej multimedia. Fungsinya bukan lagi menjadi telefon biasa sebaliknya telah menjadi telefon pintar dengan pelbagai kemudahan dan telah sebati dalam kehidupan seharian. 

Penggunaan telefon ini mengubah soal keselamatan di jalan raya dan menjadi cukup berbahaya apabila kita menggunakannya untuk melayari laman sosial, mengambil gambar, atau mencari lokasi ketika sedang memandu mahupun menunggang motosikal.

Saya berpendapat punca rakyat Malaysia tidak peduli adalah kerana persepsi. Pertamanya, kemalangan tidak akan berlaku kepada dirinya, hanya orang lain akan terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Keduanya adalah sikap pemandu yang tidak prihatin tentang keselamatan semasa di  jalan raya ditambah dengan tahap kesedaran yang rendah. Ini terbukti dengan adanya sikap pemandu yang sambil lewa dan mementingkan diri sendiri hingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Setakat ini apa yang pihak polis telah lakukan dan usaha akan datang bagi memberi kesedaran tentang kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu?

SHARUL:
PDRM melalui  pendekatan Total Enforcement  telah mengambil langkah penguatkuasaan yang tegas ke atas  penggunaan telefon bimbit semasa memandu. Pengguna jalan raya yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu atau menunggang akan dikenakan saman dan diambil tindakan di bawah Kaedah-kaedah Lalulintas  17A LN 166/59.

Saman yang dikenakan akan dikompaun dan terpulang kepada pesalah untuk membuktikan sama ada mereka bersalah atau tidak di mahkamah sekiranya mereka ingkar untuk membayar kompaun.

Pada 2016, sebanyak 46,261 saman atas kesalahan menggunakan telefon bimbit dikeluarkan. Bagi 10 bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 44,801  saman telah dikeluarkan ke atas pemandu yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu. 

JSPT juga mengambil tindakan berikut: 
1) Meningkatkan operasi secara berterusan termasuk operasi bersepadu dengan agensi penguat kuasa yang lain.
2) Meningkatkan kempen-kempen keselamatan jalan raya di semua peringkat.

Penggunaan telefon bimbit semasa memandu sangat berbahaya kerana boleh mengundang kemalangan maut. Mungkin kerajaan dan pihak berkuasa perlu lebih tegas dengan memperkenalkan undang-undang khas bagi pesalah?

SHARUL:
Tiada statistik khusus yang menerangkan penggunaan telefon bimbit sebagai penyebab kemalangan. Contohnya kes langgar melibatkan lumba basikal di Johor Bahru. Siasatan mendedahkan tiada penggunaan masa kejadian.

Isu penggunaan telefon semasa memandu ini sebenarnya melibatkan tiga jenis gangguan dan hilang fokus yang boleh saya klasifikasikan kepada manual, visual dan kognitif.

* Gangguan manual berlaku apabila pemandu mengalihkan tangan dari stereng ataupun tombol gear ketika mengendalikan kenderaan. Contohnya anda mengambil botol air dari tempat bekas minuman.

* Gangguan visual pula berlaku bila mana fokus penglihatan pemandu tidak lagi ke arah jalan raya. Contohnya anda mengalihkan pandangan ke arah air minuman tumpah di seluar anda.

* Gangguan kognitif pula berlaku bila anda khayal semasa memandu, fikiran melayang dan tidak menumpukan perhatian kepada pemanduan. Contohnya berangan-angan mahu bercuti di pulau bersama pasangan atau teringat makanan paling sedap.

Sebenarnya saya melihat isu penggunaan telefon bimbit ini amat serius. Menghantar dan menerima mesej sebenarnya boleh mengganggu tumpuan pemandu walaupun sekitar lima saat dengan kelajuan biasa di lebuh raya, kenderaan anda seolah-olah bergerak tanpa kawalan dalam lingkungan jarak 90 meter. Ini membahaya pengguna jalan raya. 

Satu kajian yang dijalankan oleh David Stayer dari  Universiti Utah, Amerika Syarikat, mendapati bercakap melalui telefon bimbit menambah risiko kemalangan sebanyak empat kali ganda yang menyamai risiko memandu ketika mabuk. Risiko kemalangan akan bertambah lapan kali ganda sekiranya pemandu membalas masej atau WhatApps.

Saya memikirkan satu tindakan undang-undang yang lebih tegas atau denda lebih tinggi patut dikenakan. Jika perlu, pihak JSPT akan mencadangkan supaya kes penggunaan telefon semasa memandu dikategorikan sebagai kesalahan tidak boleh dikompaun dan dibawa ke mahkamah untuk didenda.

Ada pengguna jalan raya menganggap penggunaan telefon bimbit ketika memandu sebagai isu kecil dan tidak serius. Mungkin program kesedaran perlu ditingkatkan?

SHARUL:
Keupayaan manusia terhad sebenarnya untuk melakukan dua perkara serentak pada setiap masa. Kita tiada keupayaan untuk memandu dan membalas mesej atau melayari laman sosial semasa memandu atau menunggang motosikal.

Bagi saya tiada sebab pengguna jalan raya menggunakan telefon  mereka dan dalam masa yang sama memegang stereng. 

Mereka wajib memberi fokus pada pemanduan apabila kereta atau motosikal sedang bergerak dengan memandang ke cermin hadapan dan bukannya skrin telefon. 

Menggunakan telefon bimbit semasa memandu akan menyebabkan daya konsentrasi sepenuhnya kepada pemanduan tidak dapat dibuat. 

Bahana melanggar lampu merah

Tentang isu langgar lampu isyarat, kenapa trend ini semakin berleluasa dan mereka seolah-olah tidak peduli dengan penguatkuasaan. Apa yang pihak polis lakukan bagi mengekang hal ini ?

SHARUL:
Sejumlah 121,286 saman dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya yang melanggar lampu isyarat merah pada tahun ini sehingga September 2017.   

Sebagai perbandingan pada tahun 2016 sebanyak 202,809 saman dikeluarkan. Satu jumlah yang saya rasa cukup tinggi pada tahun lepas.

Namun begitu usaha-usaha terancang terus dibuat bagi meningkatkan penguatkuasaan  tentang kesalahan ini.  

Tindakan penguatkuasaan ke atas pelanggaran lampu isyarat merah ini diambil tindakan di bawah Kaedah-kaedah Lalulintas  17 LN 167/59.

Punca pemandu melanggar lampu isyarat adalah kerana sikap pemandu itu sendiri, budaya pemandu yang sombong, ego dan tidak mempedulikan pihak lain serta melanggar undang-undang atas kepentingan diri. Pihak Polis mengambil tindakan berikut:

1) Mengadakan operasi secara berterusan bagi mengesan pemandu yang melakukan kesalahan ini.
2) Membuat pemantauan dan tindakan saman terutamanya di kawasan yang dikenalpasti sering mencatat kemalangan disebabkan gagal mematuhi lampu isyarat.
3) Kita menggunakan bantuan teknologi seperti Red Light Survelience Camera bagi merakam pengguna jalan raya yang melanggar lampu isyarat merah. 

Lebih hebat lagi orang langgar lampu isyarat sambil bercakap di telefon bimbit. Apa silapnya perangai orang Malaysia ini dan apakah mereka tidak peduli dan ambil tahu tentang keselamatan sendiri dan nyawa orang lain?

SHARUL:
Saya  ingin mengingatkan pemandu kenderaan supaya tidak mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain dengan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Ini kerana ia boleh mengakibatkan pemandu hilang tumpuan serta menjadi penyebab berlakunya kemalangan. 

Dalam hal ini, polis memerlukan kerjasama daripada masyarakat bagi memastikan keselamatan di jalan raya terjamin. 

Seperkara lagi saya juga melihat penggunaan telefon ini boleh mengundang kepada masalah pembuli jalan raya apabila pemandu menggunakannya tetapi menghalang kenderaan terutama bila dipandu perlahan atau ketika berhenti dilampu isyarat.

Ini mengundang perasaan marah pengguna jalan raya yang lain  dan akan mengakibatkan pergaduhan.


Ini menambah risiko besar kerana apabila berlaku kemalangan sudah tentu kenderaan tidak dapat dikawal dengan baik dan selamat.