Sama ada Muhyiddin ‘berhati kering’ atau hatinya sudah terluka atau apa sahaja tanggapan yang dilemparkan terhadapnya dalam apa yang disebut sesetengah media sebagai situasi yang dramatik apabila Presiden yang akhirnya memilih untuk berjiwa besar berdamai dengan Muhyiddin, pokok pangkalnya - Najib telah melakukan tanggungjawabnya sebagai insan dan menunjukkan lebih dari sepatutnya - ke­rendahan hatinya sebagai Presiden.

Bukan tanggungjawab sesiapa pun termasuklah 3.52 juta ahli UMNO selepas ini untuk menemui Muhyiddin atau bertindak sebagai orang tengah menyatukan kembali dirinya dengan presiden kerana suasana yang disaksikan rakyat secara langsung di TV3 dan RTM semalam, dengan respons ‘salam se­paruh’ daripada Muhyiddin cukup menggambarkan segalanya.

Juga, tidak perlu ada rasa kecewa daripada Shahrizat atau mana-mana perwakilan dalam Dewan Merdeka kelmarin untuk menyaksikan situasi dan aksi sama ketika Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz terkejut dan menangis di atas pentas utama perhimpunan parti dalam Dewan Merdeka dengan berada di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sebak mengumumkan untuk berundur pada sekitar awal tahun 2000.

Politik dan perjuangan bergantung kepada persepsi yang terasas kepada sentimen dan fakta, justeru bagi memperoleh kredibiliti tertinggi. Kerana itu presiden sendiri dalam hari pertama dan ketiga perhimpunan parti telah memberi huraian tepat dan berkesan dengan mema­damkan pelbagai tohmah serta sangkaan jahat daripada pihak tertentu.

Najib mengakui dalam ucapan dasarnya Khamis lalu meskipun ha­tinya telah tergores dan terluka de­ngan begitu mendalam, tetapi selaku Presiden, beliau mengambil pengajaran daripada agama dengan memilih untuk berjiwa besar demi kesatuan dan solidariti dalaman UMNO.

Beliau banyak memperingati satu sama lain dengan mengambil pesanan-pesanan dari petikan-petikan surah Al-Quraish, A-li I’mran ayat 160 serta surah Al-Baqarah.

Walaupun ada kalangan pihak tertentu dalam UMNO sendiri cuba mengadu-domba dengan menghantar surat layang atau ‘whats­App’ layang untuk tidak mahu melihat perdamaian antara nombor satu dan nombor dua, Najib tidak terpengaruh. Beliau berkehendakkan, tetapi apakan daya.

Apakah benar ada gunting dalam lipatan dalam UMNO tidak mahukan perdamaian ini? Semasa perhimpunan berlangsung, sudah ada adu domba yang ditabur untuk tidak mahu menjadikan perdamai­an Muhyiddin-Najib suatu realiti? Pihak ini dikatakan bimbang jika Muhyiddin menyahut seruan berdamai, ini sekali gus menjadi ancaman politik buat mereka.

Najib dalam ucapan penggulungan beliau kelmarin mengingatkan andai UMNO berpecah, yang untungnya siapa?

Tidak perlu kita pergi lebih jauh. Cuba renungkan bab pemilihan Perdana Menteri (PM) cukuplah.

Pemilihan PM dari kalangan Pre­siden UMNO lebih merupakan tradisi politik dan bukan peruntukan undang-undang kerana Artikel 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan bangsa, agama atau keturunan sebagai suatu ketetapan kepada pemimpin politik untuk dilantik sebagai PM atau TPM.

Sejak 1955, hanya bangsa Melayu dilantik sebagai PM boleh didebatkan tetapi memandangkan bangsa Melayu merangkumi lebih dari 61 peratus penduduk negara, perkara itu tidak dipersoalkan.

Bila status quo ini berubah - mungkin berpunca daripada persoalan kepimpinan atau perspektif kesaksamaan dalam senario bangsa Malaysia - waktu itu ia akan menjadi satu isu Perlembagaan.

Kemungkinan ini boleh berlaku jika parti-parti seperti MCA, MIC, Gerakan atau pakatan pembangkang DAP, Pas, PKR dan Pan (akronim diberikan penulis untuk Parti Amanah Negara) membuat keputusan sesama mereka sendiri di Dewan Rakyat.

Sekiranya ini berlaku dalam kalangan komponen Barisan Nasional (BN), ia akan menguji wakil UMNO dalam Dewan Rakyat untuk terus meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka masih mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan.

Setakat ini, UMNO boleh berbangga dengan kekuatan politiknya yang hebat. Ini terbukti dengan meraih 88 kerusi menerusi UMNO sahaja berbanding 89 kerusi diperoleh pakatan tiga parti pembangkang pada 2013.

Bagaimanapun, mahu tidak mahu kita perlu akui politik per­kaum­an di negara ini mungkin akan melalui proses perubahan seperti mana yang didorongkan oleh pe­ngaruh global.

Ketuanan UMNO tidak boleh kekal selama-lamanya. Walaupun sekarang, yang mana UMNO telah kehilangan sedikit kekuasaan politiknya, sudah kedengaran suara-suara yang cuba mempersoalkan isu-isu berkaitan kepimpinan.

Kepada ‘puak-puak’ yang cuba menangguk di air keruh dalam isu hubungan Muhyiddin-Najib ini, penulis insaf untuk mengambil ingatan daripada orang lama UMNO, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang sudah menempuh pahit getir berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri termasuklah Najib, baru-baru ini.

Kata Rais:

“Ada bekas pimpinan tertinggi parti dan kerajaan yang tak menunjukkan sifat berbudi bahasa lantas melempar tahi di khalayak ramai. Pimpinan berkuasa pula guna kuasa kerajaan menghukum dan mengenakan sesuatu. Kedua-duanya ada kudis belaka, sekurang-kurangnya kurap menggatal dalam baju masing-masing. Di sinilah letaknya kebijaksanaan perumpamaan Melayu: menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus tepung jangan berselerak.

Kita mesti balik kepada kebijaksanaan perumpamaan jarum apabila menusuk ia menaub, bukan seperti gunting apabila ke depan ia memotong. Komen ini ditulis bukan berkaedah puja-puji pihak-pihak berkuasa dalam UMNO. Ini sebagai dering dan gegaran jam loceng terakhir sebelum kita dibenamkan oleh rakyat lantaran sudah bosan dengan keadaan hilang petua. Apabila pemimpin bersengketa, warga di bawah terumbang-ambing mencari kejernihan dalam suasana tiada penjelasan menyeluruh.”

Bab Najib menunjukkan kerendahan hati untuk berdamai dengan Muhyiddin sudah disempurnakan beliau. Pintu bagaimanapun belum tertutup untuk Muhyiddin.