Pertama ia menghantar isyarat yang sangat jelas. Bahawa UMNO masih segar dan berdaya tahan. Dan politik gaya Barisan Nasional (BN) masih terus unggul dan relevan.

Ramai sekali yang telah menalkinkan UMNO semenjak ia kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Segala macam panggilan dan sumpahan dilemparkan. Ada tokoh tertentu yang dengan sombong mengatakan UMNO telah musnah, hancur dan tidak punya apa-apa nilai sekalipun. Ramai parti politik bersekutu keluar meninggalkan BN. Beberapa ahli parlimen UMNO juga meninggalkan perjuangan.

Yang tinggal adalah mereka yang setia dan kasih pada UMNO. Tanpa segan, tanpa rasa malu, mereka inilah yang terus memperjuangkan UMNO. Dan mereka ini bukanlah tokoh besar yang mempunyai pelbagai gelaran serta kedudukan dalam parti.

Mereka adalah ahli-ahli biasa dan orang-orang kecil. Tetapi, mereka sangat memahami bahawa kekalahan dalam PRU bukan alasan untuk meninggalkan UMNO. Mereka tidak bubarkan cawangan di kampung. Mereka terus menyusun segala gerak kerja parti. Mereka bersedia untuk berubah dan bangkit kembali.

Saat UMNO tidak berkuasa dan tidak mempunyai apa-apa, mereka tetap berikan yang terbaik. Pada saya, inilah keikhlasan. Inilah daya tahan sebenar UMNO iaitu orang biasa-biasa yang mendukungnya. Yang tidak pernah berharap apa-apa.

Mereka mendukungnya kerana UMNO pada mereka adalah gerakan yang telah lama memberikan pencerahan dan kebaikan kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia. Lalu dalam segala kebaikan UMNO dan segala kelemahan pemimpinnya, UMNO adalah wasilah perjuangan mereka.


SEMUA UNTUK SEMUA

Kedua, kemenangan di Rantau sangat bermakna kerana ia kemenangan ‘semua untuk semua’.

Bukan UMNO dan BN sahaja yang menang. Pas juga menang. Menang bukan sahaja kerana undi Melayu. Tetapi juga kerana kembalinya undi daripada kaum India dan Cina. BN telah mula mendapat rentak untuk mengatasi halangan psikologi bukan Melayu. Dari sehari ke sehari, mereka mula kembali bertaut dengan BN dan politik muafakat yang dianjurkannya

Kerana itulah, kemenangan ini adalah kemenangan oleh semua untuk semua. Dan BN boleh melakukannya kali ini kerana dua faktor utama.

Pertama, kewibawaan calonnya. Datuk Seri Mohamad Hasan atau mesra dengan panggilan Tok Mat adalah ahli politik yang tidak mempunyai masalah integriti. Dihormati kerana pesona dan karismanya yang santun, berilmu serta merendah diri. Beliau adalah calon yang sinonim dengan rakyat biasa pelbagai kaum. Beliau dilihat calon yang boleh mewakili semua lapisan masyarakat.

‘MANTERA BAHARU’ PH

Selagi UMNO dan BN mengemukakan calon yang mempunyai integriti dan dihormati sosoknya, pengundi pasti akan memilih yang terbaik.

Kedua ialah kerana pengundi tidak lagi yakin dengan segala cerita Pakatan Harapan. Setelah hampir setahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan rakan-rakannya gagal mengemukakan ‘citra baharu untuk tanah air’. Kerajaan pimpinannya rapuh dan pemerintahannya menuju kegagalan.

Politik toksik, salah menyalah, singkir-menyingkir, sindir-menyindir telah menjadi kelaziman dan mantera baharu PH. Sedangkan, idea baharu, pendekatan baharu, sistem baharu serta hala tuju baharu yang seharusnya menjadi asas Malaysia Baharu, tidak pun kelihatan.

KEPIMPINAN TERBUKTI

Maka di Rantau, rakyat memilih untuk menolak PH. Biarpun bakal Perdana Menteri Malaysia sendiri yang turun berkampung dan berkempen di sana. Beliau mengerahkan segenap pasukan dalam PKR untuk turun termasuklah Rafizi Ramli, sosok yang tidak pernah kering dengan formula dan cerita sensasi. Bukan sahaja Menteri Sumber Manusia yang tidak ketinggalan untuk turun berkempen, malah Menteri Pengangkutan dan Menteri Kewangan tanpa berlengah memberi kepastian bahawa projek ECRL akan juga melintasi dan melibatkan Rantau.

Jadi, biarpun ini adalah sebuah pilihan raya kecil, ia sebenarnya adalah misi dan agenda besar kepada kerajaan. Jadi tidak pelik ada yang melihat keputusan PRK Rantau bukan sahaja satu kemenangan kepada Tok Mat dan BN, tetapi kekalahan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR secara khusus.

Pengajaran ketiga yang sangat penting di Rantau ialah persoalan adakah Tok Mat telah melepasi ujian ketokohan untuk memimpin bukan sahaja pergerakan politik seperti UMNO, tetapi juga negara?

Umum mengetahui Tok Mat menang kerana wibawa, pendirian sederhana dan pendekatan politik progresifnya. Bolehkah kemenangan di Rantau ditafsirkan sebagai mandat yang telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin utama UMNO.

Saya tiada jawapannya tetapi yang jelas ialah beliau berjaya meyakinkan pengundi bukan Melayu untuk mula kembali memilih BN. Nyata orang Melayu dan bukan Melayu selesa dengan pesonanya dan menerima kekuatan wibawanya.

Setelah kemenangan di Rantau, saya rasa telah tiba masanya UMNO mengorak langkah menonjolkan dengan jelas pemimpin masa hadapannya. Kita mesti mengangkat tokoh yang mempunyai ciri-ciri dan karakter yang diperlukan untuk memulihkan UMNO dan memimpin UMNO dan BN ke arah kemenangan dalam pilihanraya akan datang.

Terutama sekali waktu ini, kita mesti dipimpin oleh tokoh yang mampu menterjemahkan kerjasama UMNO-Pas secara konkrit dan jalan berhikmah. Biarpun pada mulanya kerjasama ini dipandang sinis dan negatif oleh banyak pihak.

Secara kasarnya, kita boleh simpulkan bahawa orang Melayu dan bukan Melayu, telah menghantar isyarat yang jelas tentang tokoh bagaimana yang mereka mahukan untuk memimpin negara ini melalui pilihan raya Rantau.

Maka, UMNO harus mengambil peduli isyarat jelas ini. Bahawa penyelesaian kepada kemelut UMNO sebenarnya ada dalam kalangan pemimpinnya.

MASA DEPAN BAHARU BN

Untuk berkuasa semua, UMNO dan BN mesti dipimpin oleh pemimpin baharu dengan wibawa dan citra baharu. UMNO harus membebaskan dirinya dari dibelenggu nostalgia kepimpinan golongan elit dan aristokrat. Masa depan UMNO menjangkaui legasi pemimpin sebelum ini yang kita iktiraf jasa dan sumbangnya.

Telah tiba masanya, UMNO dipimpin oleh golongan kebanyakan yang setanding ilmu, karisma, visi dan wibawanya dengan pemimpin elit Melayu terdahulu.

Sama ada Tok Mat adalah tokohnya untuk UMNO, BN dan negara ini, terpulanglah kepada UMNO dan ahlinya untuk menentukan. Yang jelas, UMNO harus membuka ruang untuk pemimpin baharu terus ke hadapan dan memimpin dengan dukungan tidak berbelah bahagi.

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN ialah Naib Presiden UMNO.