Rekod bersih Menteri Besar selama tiga penggal sejak 2004 itu membuktikan Negeri Sembilan mencatat pertumbuhan ekonomi membanggakan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2011 dan 2012 sebanyak 5.2 peratus dan 6.2 peratus. Sementara hutang negeri kepada Kerajaan Persekutuan pula rendah dan terkawal iaitu RM254 juta. Negeri Sembilan ketika itu satu-satunya negeri yang membayar hutang secara tunai kepada Kerajaan Persekutuan.

Itu sedikit sebanyak rekod yang sempat Tumpang kutip. Yang sebenarnya Tumpang tidak mengenali sangat Tok Mat. Cuma pada pengamatan Tumpang, Tok Mat seorang yang positif. Sentiasa pandang jauh ke depan.

Selepas kekalahan mengejut UMNO dalam pilihan raya umum (PRU) 9 Mei tahun lepas, Tok Mat dengan segera mengingatkan UMNO mesti keluar dari sindrom penafian. UMNO katanya mesti menerima naratif bahawa selagi lantang dan kerap orang Melayu menyuarakan pandangan dan teguran kepada UMNO, semakin sayang dan peduli mereka dengan parti terbesar orang Melayu itu.

Beliau memilih untuk meneruskan hayat UMNO. Berikrar membangunkan kembali dan menjadikan UMNO lebih moden - benar-benar diyakini sebagai parti perjuangan. Bagi Tok Mat, UMNO mesti menjadi the safety net for the Malays. Kalau orang Melayu membiarkan UMNO tanpa peduli, siapa lagi yang akan memperjuangkan kepentingan strategik bangsa.

Pakatan Harapan (PH) kata beliau, tidak mewakili majoriti parti Melayu. Terlalu kecil peranannya dalam politik Melayu. Cuma sebahagian strategi dan manifesto Barisan Nasional dalam PRU lepas ‘tidak sehebat’ PH yang menjanjikan ‘bulan dan bintang’ sehingga terdedah sebahagian besar teras utama manifesto tidak mampu dilunaskan.

Lawan utama Tok Mat iaitu Dr. S. Streram, bagi Tumpang, barangkali boleh mendakwa macam-macam kelebihan untuk menyaingi Tok Mat. Tetapi Tok Mat bukanlah sembarangan mudah ‘dibiuskan’. Pengalaman beliau dalam politik dan sektor korporat tidak dapat disangkal.

Selepas tamat pengajian dalam jurusan Perhubungan Antarabangsa di Universiti Malaya (UM) pada 1979, kerjaya pertama beliau ialah pelatih di Bank Negara. Dari situ, Tok Mat menjawat beberapa jawatan perbankan seperti Penolong Pengurus Malayan Banking Berhad (Maybank), Pengurus Public Bank Berhad dan Pengurus Perbankan Korporat untuk Arab Malaysian Merchant Bank.

Di Bank Bumiputera pula beliau diberi kepercayaan sebagai pengurus besar bank tersebut di London dari 1988 hingga 1992. Selepas beberapa lama berkecimpung dalam dunia perbankan, Tok Mat berhijrah ke sektor korporat dengan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cold Storage Malaysia Berhad selama dua tahun. Seterusnya, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Cycle & Carriage Bintang Berhad dari 1994 hingga 2004.

Tok Mat pernah dilantik sebagai anggota Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Beliau turut diberi kepercayaan dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan FIMA Berhad dan menjadi penasihat Mercedes Benz Asia Pte. Ltd. untuk rantau Asia Tenggara.

Dalam politik terutama rekod kemenangannya dalam PRU 1999, 2004, 2008 dan 2013, anda semua boleh rujuk di Google. Tumpang teringat ‘nada tinggi’ Streram sebelum ini yang peluangnya untuk menang di Rantau cukup besar, 60 peratus berbanding Tok Mat yang ‘dinilai’nya sendiri hanya 40 peratus.

Namun berdasarkan senario pasca PRU-14 dengan kemenangan bergaya UMNO/BN dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands dan Semenyih, Tumpang ingin berkongsi dengan Streram bahawa Tok Mat bukan calang-calang lawannya.

Dengan sikap merendah diri, tidak banyak bercakap tetapi membuktikan khidmatnya dengan komitmen kerja bukan setakat di Rantau, malahan untuk seluruh rakyat Negeri Sembilan merentasi semua kaum, Tok Mat, insya-Allah kelihatan di mata semua, akan kekal di Rantau dengan izin-Nya.

Untuk itu, Tumpang nilaikan 80 peratus untuk Tok Mat menang dan 20 peratus buat Streram. Cuma dalam persaingan mana-mana pilihan raya, jentera parti janganlah alpa. Apa sahaja boleh berlaku. Tidak mustahil akan muncul giant killer dalam maraton kempen 14 hari.

Apatah lagi dengan janji dan kesungguhan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bijak, petah berkata-kata untuk ‘berkampung’ di Rantau sehingga 13 April ini.