Namun sebagai seorang bapa, perkara yang lebih penting bagi saya adalah masa depan yang akan diwariskan kepada anak-anak saya nanti. Amat mudah untuk kita hanyut dalam memikirkan isu dan keadaan hari ini namun sebagai manusia, naluri semula jadi sentiasa menginginkan anak dan cucu kita mempunyai kehidupan yang lebih baik daripada kehidupan hari ini.

Inilah yang mendorong dan membakar semangat saya sepanjang perjalanan Transformasi Nasional 2050 (TN50) tahun lepas.
Jujurnya, semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi mandat memulakan TN50 dengan segmen belia, saya tidak pasti apa yang akan berlaku.

Ramai yang cukup skeptik - ada yang mengatakan Generasi Y ini terlalu bersifat individualistik serta sibuk selfie maka tidak akan ambil peduli tentang masa depan masyarakat. Ada juga yang persoalkan mengapa kita melihat jauh 30 tahun ke hadapan - begitu jauh, tatkala masih ada cabaran pada hari ini yang masih perlu didepani.

Namun selepas setahun perjalanan TN50 ini, sebuah eksperimen wacana baharu yang bermula di Universiti Malaya kini menjadi ge­rakan massa belia Malaysia - daripada belia, untuk belia. Hampir dua juta rakyat didekati melalui pelbagai platform dengan lebih 60,000 aspirasi unik diterima melalui dia­log, perbincangan kecil dan kumpulan fokus serta media sosial.

Persoalan yang dilontarkan cukup mudah - apakah aspirasi anda untuk Malaysia di tahun 2050? Dan satu demi satu aspirasi disuarakan yang akhir­nya membina sebuah Kanvas Belia sebagai dokumen impian anak muda untuk TN50.
Namun angka-angka ini sahaja tidak memadai untuk menggambarkan semangat yang ditunjukkan oleh belia untuk membina masa depan negara.

Ketika saya menjelajah ke seluruh pelosok tanah air untuk dia­log TN50, saya melihat bagaimana anak-anak muda Malaysia cukup bersemangat untuk berdebat dan melontarkan aspirasi-aspirasi yang cukup berkualiti.

Ribuan daripada mereka menzahirkan cita-cita 2050 mereka - baik daripada aspek pendidikan berkualiti kepada identiti kebangsaan dan pembangunan yang saksama - baik di bandar mahupun di luar bandar. Mereka yang hadir ke sesi-sesi perbincangan kecil juga berdebat dengan fakta secara berhemah - mencerminkan rakyat muda Malaysia yang beraspirasi untuk menjadi masyarakat de­ngan mentaliti kelas pertama.

Melalui media sosial, ramai daripada mereka yang memberi sumbangan idea dan aspirasi untuk masa depan kita semua - tanpa menghiraukan budaya negatif dan bashing yang mendominasi garis masa kita kebelakangan ini.
Namun mereka bukan hanya berbual kosong.

Saya juga berkesempatan berjumpa dengan Ganesh Muren dan Nadhirah Rifai yang menggunakan masa muda mereka untuk membantu anak muda di luar bandar mempunyai akses kepada teknologi dan persekitaran yang lebih baik.

Firdaus Ali yang baru berusia 17 tahun dan masih belajar, datang jauh dari jauh untuk memastikan generasi belia dipelihara - dia cukup bersungguh-sungguh ingin memastikan TN50 mengambil kira kemahiran insaniah dan digital yang terkini demi menjamin pekerjaan di masa hadapan. June Yap, Faisal Ariff dan Dzameer Dzulkifli kini menjadi perintis kepada industri penjagaan awal kanak-kanak, sistem imigresen baharu dan pendidikan.

Ini hanya beberapa contoh anak muda Malaysia yang memi­lih untuk melakukan sesuatu yang positif untuk Malaysia - banyak lagi anak muda dengan semangat sebegini yang saya temui semasa proses TN50 ini. Mereka menidakkan persepsi masyarakat kepada belia Malaysia - persepsi yang mana anak muda hanya pandai mengkritik dan mementingkan diri sendiri sahaja. Mereka membuktikan anak muda Malaysia bersedia melaksanakan perubahan yang mereka inginkan.

Itulah pengakhiran perjalanan TN50 saya secara peribadi - setahun yang penuh bermakna dan semuanya kerana semangat dan kesungguhan yang ditonjolkan oleh anak muda Malaysia, dalam menyatakan aspirasi mereka, yang saya lihat dan dengar sendiri.

Setelah setahun, anak muda Malaysia akan menyerahkan aspirasi TN50 kolektif mereka malam ini sekali gus melambangkan permulaan sebuah perjalanan baharu yang cukup menarik untuk kita semua. Masa depan sudah tiba, masa depan bermula hari ini dan ia milik semua anak muda Malaysia - mereka sudah bersedia untuk memimpin kita menempuh apa jua rintangan menuju ke tahun 2050.

Dan melihatkan semangat dan kesungguhan anak muda kita kini, saya yakin, masa depan kita akan lebih baik dari hari ini - bahawa TN50 bukan hanya aspirasi tetapi bakal menjadi realiti.
Saya lahir sebagai generasi Wawasan 2020 - sebuah visi yang direka kerajaan dengan sasaran makroekonomi berpaksikan Malaysia berpendapatan tinggi - sama seperti ibu dan ayah saya yang membesar dalam era Dasar Ekonomi Baharu yang bertujuan untuk membina Malaysia yang lebih saksama.

Bermula esok, anak-anak saya akan mempunyai visi kolektif mereka sendiri. TN50 - sebuah visi nasional oleh anak muda yang membawa Malaysia ke hadapan sambil memastikan tiada siapa yang akan ketinggalan.

Kesinambungan inilah yang membawa Malaysia melangkah jauh selama ini - apa jua yang melanda, Malaysia terus melangkah ke hadapan, mendepani apa jua cabaran. Dan Malaysia akan melangkah dan terus melangkah - dengan satu mata tertacap hari ini dan satu lagi tertacap nun jauh hadapan.

PENULIS ialah Menteri Belia dan Sukan.