Tetapi hakikatnya konsep Wawasan 2020 itu sendiri adalah ciplakan dua agenda besar negara sebelumnya iaitu Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Semua pun tahu bahawa dari segi sejarahnya, Rukun Negara dan DEB diwujudkan selepas Tragedi 13 Mei 1969 yang teras utamanya adalah untuk mewujudkan kestabilan negara, ketenteraman awam dan menyusun semula masyarakat termasuk daripada segi ekonomi rakyat berbilang kaum.

Tidak ada yang boleh dianggap luar biasa sebenarnya dalam konsep Wawasan 2020 yang dimulakan oleh pentadbiran Dr. Mahathir pada 19­91 itu me­lainkan sekadar pelengkap kepada hasrat Majlis Gerakan Negara (Mageran) memper­ke­nalkan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 dan DEB selepasnya.

Malah kemungkinan konsep Wawasan 2020 itu lahir dari kotak minda para penasihat Dr. Mahathir yang 20 tahun sebelumnya turut terlibat memikirkan konsep Rukun Negara dan DEB.

Cubalah bandingkan sembilan matlamat Wawasan 2020 Dr. Mahathir dengan semangat dan ikrar Rukun Negara. Malah wawasan ekonominya juga hanya sekadar kesinambungan dan pembaikan terhadap matlamat yang ingin dicapai melalui DEB.

Konsep Wawasan 2020 hampir sama dengan Rukun Negara dan DEB kerana tidak ada percambahan idea dalam ka­langan pemikir di peringkat atasan. Konsep Wawasan 2020 adalah menyuapkan i­dea pihak atasan untuk dilaksanakan sehingga ke peringkat rakyat marhaen atau top down.

Wawasan 2020 tidak punya perincian spesifikasi arah tujunya - lebih merupakan kenyataan umum yang sekadar mem­perkukuhkan semangat pencapaian Rukun Negara dan DEB. Hanya bekas Perdana Menteri itu sahaja faham apa matlamat di sebalik konsep Wawasan 2020.

Ia suatu wawasan ciplak yang hanya sedap dan muluk daripada segi bahasa tetapi lompong daripada segi perincian dan kabur bagaimana ia mahu dilaksanakan.

Apa yang berlaku selepas beberapa tahun wawasan itu dilaksanakan, segelintir konglomerat baharu berjaya diwujudkan, yang hampir semuanya adalah kroni dan ada hubungan akrab de­ngan Dr. Mahathir. Tak perlulah penulis senaraikan nama-nama mereka di sini kerana itu bukanlah rahsia umum lagi.

Sebaliknya dalam tempoh ki­ra-kira 12 tahun selepas pelaksanaannya, pencapaian ketara Wawasan 2020 lain adalah jurang antara yang kaya dan miskin semakin melebar. Rakyat jelata te­rus berhadapan dengan ancaman kemelesetan ekonomi khususnya bermula dari pertengahan 1990-an iaitu beberapa tahun selepas wawasan itu dilancarkan.

Sedar tidak sedar, kemelesetan teruk ekonomi negara berlaku sebanyak dua kali ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, masing-masing pada sekitar pertengahan 1980-an dan 1990-an.

Ketika tempoh kemelesetan inilah Dr. Mahathir menyumbatkan sebegitu ramai individu ke dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terutamanya dalam Operasi Lalang pada 1987.

Matlamat Wawasan 2020 untuk menyatupadukan kaum juga gagal dicapai atas faktor antara lain kerana wujudnya usaha negatif sepanjang zaman meniupkan a­pi perkauman oleh DAP, parti cauvinis yang kini Dr. Mahathir sendiri jadikan kawan. Beliau sepatutnya menuding jari kepada DAP jika dia merasakan bahawa Wawasan 2020 telah gagal.

Berbanding dengan Wawasan 2020, TN50 mengumpulkan idea daripada rakyat merentasi kaum, agama, budaya dan umur. Pendekatan bottom up ini sudah pasti melahirkan idea akar umbi untuk dilaksanakan. Adakah idea-idea rakyat jelata ini nak dikatakan sebagai ciplakan Wawasan 2020 sebagaimana tuduhan Dr. Mahathir?

Penulis yakin bahawa matlamat mahu dicapai TN50 jauh le­bih dinamik berbanding Wawasan 2020 diperkenalkan oleh Dr. Mahathir. Malahan dalam beberapa segi, kejayaan yang telah dicapai oleh negara sejak 10 tahun lalu jauh merentasi Wawasan 2020 Dr. Mahathir pada 1991.

Tidak perlulah Dr. Mahathir mahu menunggu Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum akan datang bagi menunjukkan cara untuk merealisasikan wawasannya yang tak seberapa itu. Lagipun tahun 2020 hanya tinggal dua tahun untuk tiba. Entah apalah magic yang ada dalam kepala bakal Perdana Menteri Pakatan Harapan ini.

Adakah kita masih ingat sekitar tahun 1994 Dr. Mahathir ada menanam kapsul masa di satu lokasi sekitar ibu negara? Kapsul masa yang hanya Dr. Mahathir tahu isi kandungannya itu hanya dibenarkan dibuka dan dibaca pada 2020. Saya yakin bahawa amanatnya itu jauh terkebelakang berbanding apa telah dicapai oleh negara ketika ini.

DATUK MOHD. KHUSAIRI ABDUL TALIB ialah Ketua Penerangan UMNO Perak yang juga Pengerusi BNBBC Perak.