Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

AHMAD HADRI HARIS  (kanan) menyatakan sesuatu tentang perjalanan
AHMAD HADRI HARIS (kanan) menyatakan sesuatu tentang perjalanan dialog fasa kedua yang membincangkan topik tenaga dan makanan sambil diperhatikan oleh Ahmad Fadzli Mat Rahim (dua dari kanan) dan Nik Nabilah Mohd. Azmin ketika sesi temubual di Akademi MyWIN, Kuala Lumpur, baru-baru ini. UTUSAN/SURIYA BONMA

SEBAIK sahaja dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) masuk ke fasa kedua­ bermula bulan lalu, pihak sekretariat yang bertanggungjawab mengendalikan proses dialog tersebut terus menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengumpul segala input, syor dan cadangan daripada golong­an muda.

Berbanding dialog fasa pertama, perbincangan dalam fasa kali ini lebih mendalam yang mana setiap topik yang disentuh akan dikupas dengan lebih terperinci agar pihak kerajaan mendapat satu jangkaan awal bentuk aspirasi golongan muda apabila Malaysia menuju ke tahun 2050.

Sejajar dengan bermulanya proses dialog fasa kedua itu, baru-baru ini sebanyak 84 anak muda termasuk 60 orang mentor yang semuanya terdiri daripada peserta Kumpulan Masa Depan TN50 telah mengadakan pertemuan di Akademi MyWIN selama tujuh hari untuk membincangkan topik berkaitan tenaga, makanan dan persekitaran di Malaysia untuk 30 tahun akan datang di bawah tajuk, Jaminan Keutuhan Malaysia Menjelang 2050.

Untuk mendapatkan gambaran lebih jelas tentang proses itu satu pertemuan telah diadakan dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech Malaysia, Ir. Ahmad Hadri Haris dan dua peserta Kumpulan Masa Depan TN50, Ir. Ahmad Fadzli Mat Rahim dan Nik Nabilah Mohd. Azmin minggu lalu di akademi tersebut.

Ahmad Hadri dalam sesi dialog fasa kedua ini telah diberi tugas sebagai mentor manakala topik perbincangannya bersama peserta Kumpulan Masa Depan TN50 menyentuh segala isu berkaitan tenaga dan makanan.

Ahmad Hadri berkata, dalam sesi dialog tersebut para peserta telah menunjukkan minat yang begitu mendalam terhadap dua topik berkenaan dan hasilnya pelbagai input, syor dan cadang­an telah dikemukakan melalui penglibatan mereka yang cukup aktif.

“Perbincangan berhubung isu tenaga dan makanan ini menyentuh berbagai-bagai sudut serta aspek. Namun apa yang saya lihat akhirnya generasi muda ini mahukan Malaysia pada tahun 2050 akan menjadi sebuah negara yang mampu menawarkan kehidupan berkualiti kepada rakyatnya,” ujarnya.

Sebagai contoh katanya, dalam bidang tenaga atau lebih spesifik lagi dalam sektor penjanaan tenaga elektrik.

Pada tahun 2050, timbul persoalan apakah bentuk sumber penjanaan kuasa tenaga elektrik yang perlu digunakan di Malaysia? Adakah negara terus-menerus bergantung kepada sumber minyak dan arang batu atau terdapat sumber tenaga lain yang lebih murah dan cekap?

Mengulas mengenainya Ahmad Hadri berkata, dalam perbincangan itulah para peserta telah memberikan begitu banyak syor yang mungkin ada antaranya boleh diangkat sebagai satu bentuk sumber baharu bagi menjana kuasa elektrik pada masa akan datang.

Ahmad Fadzli ketika ditanya tentang perkara tersebut berkata, beliau bersama rakan-rakan lain telah mengemukakan pelbagai syor dan cadangan agar penjanaan tenaga elektrik pada tahun 2050 benar-benar menepati aspirasi yang dimahukan oleh generasi muda.

Katanya, generasi muda mahu sumber penjanaan tenaga elektrik di Malaysia pada tahun 2050 lebih lestari, mampu milik dan bekalannya sentiasa berterusan. Dengan kata lain, kos hendaklah murah dan pada masa sama memastikan alam sekitar terpelihara.

Antara pilihan terbaik katanya ialah, meningkatkan lagi penggunaan sumber tenaga melalui platform tenaga boleh diperbaharui yang terdiri daripada solar, hidro dan biomas. Ditanya tentang tenaga hidro pula beliau yang kini bertugas sebagai perunding solar di Total Power Solutions Sdn. Bhd. berkata, sumber tersebut ba­nyak terdapat di Sarawak.

“Sekiranya Semenanjung ma­hu mendapatkan manfaat daripada sumber tenaga itu, mungkin pihak kerajaan boleh mempertimbangkan satu projek pembinaan kabel elektrik yang menghubungkan antara Sarawak dan Semenanjung.

“Namun apa pun cadangan semuanya tetap bergantung kepada kos termasuk juga dengan cadangan menjadikan tenaga nuklear sebagai salah satu alternatif sumber elektrik yang mana ada yang menyatakan sumber tenaga ini lebih murah dan bersih,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan beliau berkata, analisis perlombongan data adalah kaedah terkini yang boleh digunakan oleh pihak berkepenting­an untuk mendapatkan keputusan yang lebih tepat dalam satu-satu sektor termasuk sektor tenaga.

Berhubung isu berkaitan makanan, Nik Nabilah yang juga Eksekutif Komunikasi Tanaman Untuk Masa Depan (CFF) berkata, sudah sampai masanya rakyat negara ini mencuba tanaman alternatif lain sebagai ganti kepada beras lebih-lebih lagi menjelang tahun 2050.

“Memandangkan sawah padi sering terdedah dengan banjir dan faktor bencana alam yang lain termasuk melibatkan negara-negara import kita seperti Thailand, CFF mengesyorkan agar tanaman lain diperkenalkan bagi memastikan bekalan makanan negara tidak terjejas,’’ ujarnya.

Antaranya beliau berkata, mengkomersialkan tanaman ubi kayu dan kacang tanah bambara yang kedua-duanya berjaya dibuktikan sebagai jenis tanaman yang lasak serta tahan panas dan paling penting dua tanaman ini mempunyai nutrisi yang diperlukan oleh manusia.

Memang tidak dinafikan idea anak-anak muda ini dalam me­rencana Malaysia untuk tempoh 30 tahun mempunyai kuali­ti dan rasionalnya yang kadang kala mungkin tidak terfikir oleh golongan lebih berusia.

Oleh itu langkah memperke­nalkan TN50 yang sifatnya lebih inklusif dengan melibatkan pandangan anak-anak muda akar umbi adalah amat tepat sekali.

Kita perlu sedar bahawa cetusan idea mereka ini amat penting kerana golongan ini yang pada akhirnya menggariskan bentuk dan hala tuju negara pada tahun 2050.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain