Satu daripadanya adalah usaha bersama Malaysian Foresight Alliance yang turut dianggotai Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) untuk menghasilkan dokumen yang meramal petakan masa depan bertajuk Envisioning Malaysia 2050: A Foresight Narrative dan telah pun dilancarkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 2 November lalu.

Sebagaimana yang pernah ditimbulkan berhubung dengan Wawasan 2020 suatu ketika dahulu dan kini muncul kembali serentak dengan pengutaraan TN50, masyarakat Islam di Malaysia didesak dengan pertanyaan: “Apa peranan utama yang dapat mereka mainkan dengan berkesan bagi menjayakan pelan nasional tersebut dan seterusnya menentukan bentuk masa depan mereka?”

Bagaimanapun, sekiranya diteliti secara mendalam persoalan lebih dasar yang perlu mereka jawab adalah: “Apakah mereka sememangnya telah menjadikan pentadbiran masa depan budaya hidup mereka?”

Sekiranya persoalan kedua ini tiada jawapan tuntas yang diusahakan secara bijaksana, bersungguh-sungguh dan istiqamah, maka apapun rencana diusahakan oleh pihak berwajib, waima dengan majlis pelancarannya, hasil yang akan dituai kelak berkemungkinan besar sa­ngat menghampakan.

Bagi mengusahakan jawapan tuntas dimaksudkan di atas, perkara utama perlu masyarakat Islam Malaysia lakukan, khasnya menerusi pendekatan dan bentuk pengajaran dan pendidikan bertepatan adalah bukan sahaja membebaskan kata ‘tadbir’ itu daripada penyempitan maksud kepada peringkat atau lingkungan sektor tertentu (seperti pentadbiran awam) sebagaimana yang berleluasa di negara kita dewasa ini tetapi juga mengembalikannya kepada makna asalnya dalam tradisi ilmiah tamadun Islam.

Tindakan mengembalikan kata tersebut kepada makna asalnya itu akhirnya akan menemukan kita dengan penegasan junjungan Nabi terakhir SAW: “Tiada akal seumpama ‘tadbir’!” (la ‘aqla ka al-tadbir). Kenapa demikian sekali penekanan baginda Rasulullah SAW? Kerana akhirnya semua itu berpusatkan makna dasar kata itu dalam bahasa Arab yang erat berkait dengan erti ‘akibat’.

‘Tadbir’ menurut pengertian sebenarnya dalam sekian banyak kamus utama bahasa Arab seperti Lisan al-‘Arab dan Taj al-‘Arus ialah ‘fikiran akal insan terhadap akibat sesuatu perkara (atau urusan) sekali gus tindakan yang diambil sesuai dengan ilmu kefahaman perihal akibat tersebut.’

Juga ditekankan dalam kamus-kamus tersebut ba­hawa ‘tadbir’ sebagai renungan akal perihal akibat adalah seerti dengan ‘tadabbur’. Sehubungan itu, turut diriwayatkan kepada kita sebuah pesanan Nabi SAW: “Sekiranya kamu berkehendakkan sesuatu, maka lakukan tadabbur perihal akibatnya. Sekiranya baik, laksanakan. Namun jika tidak baik, maka jauhi!”

Sejauh yang berkait dengan insan adalah jelas bahawa ‘akibat’ daripada sesuatu perkara diusahakan sekarang (atau urusan yang masih berlaku) adalah sesuatu yang belum terjadi.

‘Akibat’ sesungguhnya berkait dengan masa depan, baik yang dekat mahupun yang jauh.

Justeru, gesaan untuk melaksanakan ‘tadabbur’ tentang ‘akibat’ ini juga bermaksud ‘mentadbir masa depan’ dan sesungguhnya bertujuan menyingkap secara ilmiah apa yang masih lagi bersifat ghaib terselindung daripada pengetahuan kebanyakan insan. Namun, usaha mentadbir masa depan ini juga bukan ramalan secara sembara­ngan, bukan juga jangkaan tiada berasas.

‘Akibat’ juga bukan keseluruhannya bersifat ghaib tiada diketahui. ‘Akibat’ yang telah berlaku, khasnya dirakamkan dengan baik dalam sejarah insan, bukan sahaja dapat, tetapi juga perlu, diketahui. Akibat-akibat sebegitu malah perlu dipelajari sebagai rangkaian hubungan sebab akibat yang difahami sebagai penzahiran sunnatullah iaitu cara berulang kali Allah mentadbir ciptaan-Nya.

Memang sesungguhnya dalam keyakinan orang Islam, Allah SWT ialah Pentadbir Hakiki. Bahkan, satu daripada nama-Nya adalah al-Mudabbir iaitu pentadbir satu-sa­tunya.

Jika semua di atas ini dapat difahami dengan baik dan bersesuaian pula dengan hukum sejarah yang difahami sebagai sunnatullah itu tadi, maka sekiranya sesuatu sebab atau punca itu diulang lakukan, justeru dapat dijangkakan bahawa akibat yang pernah terjadi itulah yang bakal menyusul kelak.

Pada akhirnya, sebagai insan dan orang Islam, masa depan yang kita inginkan itu, biar apapun bentuknya, mestilah masa depan yang pada nilaian akhlak bersifat baik. Tiada gunanya kita membangunkan infrastruktur masa depan bertaraf kelas pertama, jika insan yang menggunakannya berminda mundur dan berwatak jelek.

Malahan, bukan sahaja kita sangat perlu mentadbir masa depan dengan mengambil sebaik-baik iktibar daripada sejarah tetapi kita juga wajib melakukannya berpandukan pedoman Ilahi berupa nilai dan hukum akhlak yang terpelihara dengan baik dalam al-Quran, Sunnah Nabawi dan tradisi ilmu akhlak tamadun Islam.

Ini jugalah semangat yang sempurna terkandung dalam Hadis Nabi SAW yang sebahagiannya dipetik pada pertengahan makalah ini:

la ‘aqla ka al-tadbir
wa la wara‘a ka al-kaff
wa la hasaba ka husn al-khuluq.
Tiada akal seumpama ‘tadbir’
Tiada kewarakan seumpama pengawalan diri
Tiada kemuliaan laksana budi pekerti yang baik!

DR. MOHD. ZAIDI ISMAIL ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).