Namun mereka telah membuktikan kemampuan membawa Malaya pada ketika itu berjaya keluar daripada belenggu penjajahan. Generasi muda terdahulu berjaya membangkitkan sema­ngat nasionalisme dalam menuntut kemerdekaan British.

Salah satu usaha pen­ting dalam usaha ke arah kemerdekaan digerakkan oleh Persatuan Melayu Great Britain yang mendesak British menghapuskan Malayan Union. Tun Ismail Mohd. Ali, Tun Mohamed Suffian Hashim dan Tunku Abdul Rahman adalah tokoh belia yang penting ketika itu dalam usaha penghapusan Malayan Union.

Tahun ini kita memasuki usia 60 tahun iaitu umur matang bagi seorang dewasa namun masih muda bagi sebuah negara. Kini, peranan dan tanggungjawab golongan belia masih sama. Bezanya belia dahulu menuntut kemerdekaan manakala belia masa ini bertanggungjawab mengisi erti kemerdekaan.

Belia hari ini bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang. Negara memerlukan lebih ramai belia sebagai pemimpin pelapis untuk menongkah arus perubahan dan cabaran bakal mendatang. Justeru, generasi muda harus mengenali dan menghayati setiap jerih payah yang dilalui oleh pemimpin belia terdahulu. Kini, mereka cuma perlu meneruskan perjuangan yang belum selesai.

Berbeza dengan generasi lalu yang pernah melalui saat getir penjajahan, ancaman komunis dan kemiskinan, generasi muda kini sudah hidup dalam era pembangunan. Walaupun generasi masa ini tidak sempat hidup dalam era penjajahan tetapi obor perjuangan pejuang kemerdekaan sepatutnya menembusi sanubari mereka.

Jadi, bagaimanakah caranya untuk belia mengisi erti kemerdekaan? Jika sebelum ini, belia turut serta dalam aktiviti-aktiviti dan program kemerdekaan seperti penyertaan dalam perbarisan, kawad kaki dan larian kemerdekaan, hari ini belia diberi peluang untuk turut serta dalam pembentukan hala tuju negara.

Salah satunya dengan cara menyumbang idea-idea yang bernas kepada kerajaan untuk hala tuju Transformasi Nasional 2050 (TN50).

TN50 adalah satu dasar baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan yang memberi ruang yang besar kepada rakyat secara amnya serta kepada belia secara khususnya untuk melontarkan idea-idea dalam usaha membangunkan negara.

TN50 adalah satu platform me­ngumpul idea dan pandangan daripada golongan belia serta ulama muda dalam sesi berbentuk townhall bagi merancang dan mengge­rakkan pembangunan TN50.

Jika sebelum ini dasar-dasar kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) dan Wawasan 2020 (1991-2020) digarap serta diambil kira idea-ideanya dalam kalangan kerajaan sahaja namun TN50 lebih merupakan dasar kerajaan yang unik dan dibentuk oleh aspirasi semua rakyat Malaysia terutamanya golongan belia. Peranan kerajaan dan penjawat awam pun telah bertukar.

Jika dahulu selepas negara mencapai kemerdekaan, tugas penjawat awam lebih terarah untuk mengutip cukai dan mengawal selia undang-undang. Kini peranan mereka lebih mencabar dan memerlukan permuafakatan bersama rakyat dalam menentukan hala tuju negara.

Dalam masa 40 tahun lagi negara akan berada di ambang 100 tahun kemerdekaan. Sudah pasti transformasi nasional yang baharu ini amat diperlukan supaya generasi Y (1977 hingga 1997) yang ada serta generasi Z (1998 hingga 2009) dan generasi alfa (generasi yang lahir pada 2010 hingga sekarang) mempunyai idea dan harapan secara kolektif untuk membentuk masa depan negara ini.

Golongan inilah yang akan berdepan dengan segala cabaran dan rintangan pada 2050. Gene­rasi-generasi inilah juga yang akan menerima baik atau buruknya sesuatu perancangan yang disusun dan digunapakai.

Oleh itu, belia adalah golo­ngan yang penting bagi meneruskan agenda perjuangan selepas negara mencapai kemerdekaan 60 tahun yang lalu.

Perkara ini adalah fasa yang cukup penting kerana sehebat mana sekali pun dasar dan visi yang didokumentasikan kerajaan, ia tidak akan berjaya sekiranya tiada sokongan anggota masyarakat.

Kejayaan ataupun kegagalan TN50 bergantung kepada komitmen dan penglibatan setiap seorang daripada kita.

Jika mahukan penglibatan daripada rakyat, biar penglibatan itu berakar umbi dari mula sesebuah dasar itu dibentuk.

Jangan biarkan penglibatan masyarakat itu diperlukan semasa fasa implementasi sesebuah dasar kerana pada waktu itu perasaan “keempunyaan” (sense of belonging) rakyat terhadap sesuatu dasar itu tiada.

Akhirnya merugikan semua pihak terutama sekali kerajaan.

Sudah tiba masanya untuk golongan belia memahami dan menghayati visi dan misi kerajaan, agenda pembangunan negara serta pendekatan strategik kerajaan sama ada dalam jangka pendek atau panjang demi memastikan kesinambungan kemerdekaan terus terbela dan pembangunan mampan dapat dicipta.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.