Beliau menggambarkan sebuah negara maju yang yang diasaskan dan dicorak sendiri oleh generasi muda Malaysia mengikut aspirasi mereka. Mandat ini kemudian diberikan kepada Khairy Jamaluddin selaku Menteri Belia dan Sukan untuk mengumpul aspirasi rakyat Malaysia dari segenap pelosok negara untuk dijadikan sebagai sebuah visi baharu negara.

Sepanjang penjelajahan TN50 yang bermula daripada perasmian di Universiti Malaya pada tahun lalu, hampir dua juta rakyat Malaysia telah didekati semasa sesi TN50 berlangsung dan lebih 60,000 aspirasi berjaya dikumpul.

Tidak dinafikan, idea-idea dan aspirasi anak muda amat membanggakan dan pemikiran luar kotak adalah bukti kematangan rakyat Malaysia dalam menentu hala tuju negara.

Antara aspirasi yang disuarakan oleh peserta TN50 adalah supaya pada tahun 2050, Malaysia menjadi sebuah negara yang mampu bersaing di peringkat global setanding negara-negara terbaik dunia, di samping memiliki tahap pemikiran minda kelas pertama.

Dengan kekuatan dan impian yang kita miliki kini, saya percaya tiada apa yang boleh menghalang kita untuk menggapai cita-cita besar negara ini. Malahan, kita sebenarnya sudah tidak jauh daripada impian tersebut. Nama Malaysia sememangnya disegani di seantero dunia.

Generasi muda Malaysia mahukan sebuah negara yang bukan sekadar memikirkan kemajuan fizikal, tetapi mengutamakan polisi-polisi dan rancangan menyeluruh serta lestari bagi memastikan pembangunan Malaysia yang mapan.

Ini kerana negara kita akan diwarisi oleh anak cucu kita. Generasi muda mengimpikan supaya Malaysia menjadi antara negara terbaik dalam menjaga alam sekitar dan memastikan penghasilan karbon pada tahap minimum.

Selain itu, antara aspirasi yang paling banyak dikumpul adalah daripada anak muda yang memikirkan mengenai pekerjaan masa hadapan.

Generasi muda hari ini sudah cakna dan menyedari bahawa pekerjaan hari ini tidak akan kekal. Apabila teknologi semakin maju, pelbagai pekerjaan akan diambil alih oleh teknologi.

Aspirasi yang disuarakan adalah agar rakyat Malaysia bersedia untuk menghadapi cabaran pekerjaan masa hadapan yang semestinya jauh berbeza daripada hari ini supaya generasi akan datang tidak lapuk ditelan zaman.

Seiring dengan perjalanan TN50, kerajaan sentiasa melipat ganda usaha dan komitmen agar visi baharu kita miliki dapat dicapai.

Pelbagai inisiatif telah dilakukan antaranya melalui penganjuran tahunan Kuala Lumpur International Youth Discourse yang membincangkan tentang pekerjaan masa hadapan, perubahan iklim, keselamatan makanan, air dan tenaga, dan juga keselamatan siber.

Isu-isu masa hadapan tidak pernah dipandang remeh kerajaan hari ini, iaitu Kerajaan Barisan Nasional (BN). Hal ini membuktikan bahawa Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan Khairy Jamaluddin sentiasa mendengar masalah dan aspirasi anak muda demi memastikan agar mereka mendapat yang terbaik untuk masa depan negara.

Pendekatan

Inisiatif untuk mendengar idea-idea dan aspirasi anak muda merupakan sebuah bentuk pentadbiran baharu yang tidak pernah selama ini diamalkan di Malaysia, sangat berbeza berbanding pimpinan-pimpinan Perdana Menteri sebelum ini.

Hari ini, pendekatan top down tidak lagi relevan sebaliknya kini kita menggunakan pendekatan bottom up bagi memastikan anak muda tidak ketinggalan dalam menentukan hala tuju Malaysia.

Tambahan pula, dengan kehadiran media sosial, generasi muda kini lebih mudah untuk menyuarakan pendapat dan idea kepada pucuk pimpinan negara.

Inilah pendekatan dua hala yang dimaksudkan di mana pemimpin-pemimpin negara tidak lagi bersenang-lenang di kerusi pejabat sesama sendiri, tetapi sentiasa turun padang mendekati anak muda harapan negara.

TN50 adalah penanda aras baharu yang perlu digalas oleh pemimpin dan rakyat Malaysia.Saya sendiri telah berkali-kali menyertai sesi town hall TN50 yang diadakan di bandar dan luar bandar. Saya mendengar pelajar-pelajar bercakap mengenai sebuah sistem pendidikan bertaraf dunia, iaitu sistem yang berkesan dan membolehkan pelajar berjaya dengan cemerlang walaupun mempunyai kebolehan berbeza.

Perbezaan bakat yang dimiliki oleh pelajar ini haruslah diraikan dan diberi pengiktirafan sewajarnya agar tidak ada satu pelajar pun ketinggalan dalam pendidikan.

Maka tidak silaplah jika saya hendak mengatakan bahawa usaha yang telah dibawa oleh Khairy Jamaluddin untuk mengumpul dan mendengar aspirasi generasi muda dari seluruh negara merupakan pilihan yang tepat kerana ternyata rakyat Malaysia sudah matang dan bijak dalam membuat keputusan.

Pendapat-pendapat yang dilontarkan mereka merangkumi segenap aspek termasuklah bidang ekonomi, kewarganegaraan, alam sekitar dan pendidikan. Pendekatan bottom up yang digunakan pada hari ini berjaya menghasilkan sebuah visi negara yang jelas dan realistik.

Saya penuh yakin bahawa jika inilah golongan anak muda yang bakal mengambil tampuk pemerintahan negara, cita-cita kita untuk mencapai visi TN50 pastinya berjaya dicapai. Pemimpin hari ini perlu menggalas tugas dengan berani dan mengutamakan masa depan negara.

Hanya kerajaan yang tidak bertanggungjawab sanggup mengabaikan kepentingan anak muda dengan menjalankan dasar-dasar populis yang hanya sekadar untuk meraih undi.Perkara tersebut ibarat sebuah pengkhianatan tidak akan dilakukan oleh kerajaan BN.

Bak kata Imam Al-Ghazali, “Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pada generasi muda yang ada sekarang.”

Dengan kata-kata hikmat itu, saya percaya kegemilangan TN50 pasti mendatang. Dengan bimbingan serta pimpinan Najib Razak yang penuh tanggungjawab, keberanian dan mengutamakan masa depan negara, Malaysia kini berada pada landasan yang tepat.

PENULIS adalah Naib Ketua Pemuda UMNO