Kini, selepas berjaya memimpin Kelab JDT muncul sebagai pasukan pertama dari Malaysia menjulang Piala Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) di tangannya satu tugas besar menanti bagi mengembalikan semula kejayaan yang pernah dicapai negara sebelum ini. Bermakna dua bidang tanggungjawab yang berbeza antara kelab dan pertubuhan sebesar FAM.

Selain pernah melayakan diri kali kedua ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980, satu lagi kejayaan besar dan boleh dianggap kali terakhir yang pernah dicapai oleh pasukan bola sepak negara di pentas antarabangsa di bawah pimpinan presiden FAM sebelum ini ialah memenangi pingat gangsa di Sukan Asia di Taheran pada tahun 1974.

Semuanya ini dibangkitkan semula sebagai ingatan kepada barisan kepimpinan baharu FAM yang telah dipilih dalam kongres tahunan.

Mereka harus melaksanakan amanah yang telah diberikan dan bersedia menerima kritikan yang membina. Barang diingat ia bukan semata-mata mencari glamor. Juga bukan gelanggang untuk menjatuhkan hukuman serta denda sesuka hati ke atas mana-mana pasukan bola sepak negeri atau kelab.

Apa pun tahniah diucapkan kepada TMJ kerana menjadi pemimpin FAM yang termuda.

Pemilihan waris pemerintahan negeri Johor itu juga bermakna FAM kekal diterajui kerabat diraja bermula daripada era Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan kemudian Tengku Abdullah. Bekas perdana menteri, almahrum Tengku Abdul Rahman Putera Alhaj, yang pernah menjadi Presiden FAM yang pertama juga daripada kalangan kerabat diraja negeri Kedah.

TMJ juga muncul putera Johor yang pertama dipilih sebagai presiden badan induk itu.

Kecuali Tengku Abdul Rahman dari Kedah, empat lagi mantan Presiden FAM, Allahyarham Tun Abdul Razak, Tan Sri Hamzah Abu Samah, Sultan Ahmad Shah dan anaknda baginda, Tengku Abdullah, kesemuanya adalah berasal dari Pahang.

TMJ akan melangkah masuk ke bangunan FAM di Kelana Jaya dengan visi yang lebih besar untuk menambah koleksi bola sepak negara.

Apakah perubahan yang akan dilakukannya bagi tempuh penggal pertama 2017-2021?

Apakah baginda serius, mendaftar sebagai pemain dalam Liga Super?

Saya rasa itu tidak sesuai sebagai seorang pemimpin tertinggi bola sepak, memadai jika TMJ kerap berada di tepi padang memberi semangat.

Jika baginda merombak kembali Liga FAM yang sedang berjalan termasuk mempertingkatkan lagi mutu pengadilan yang 100 peratus profesional, ia amat dialu-alukan.

Program pembangunan belia

Kemasukan pemain import perlu dikaji semula bagi memastikan hanya mereka yang berkualiti dan mampu memberi saingan dibenarkan beraksi dalam liga tempatan.

Apakah liga yang musim ini dikendalikan oleh pihak lain dikaji semula kesannya oleh kepimpinan baharu FAM?

Barangkali elok juga dipertimbangkan, menubuh panel pemikir (think-tank) bagi membantu memberi nasihat kepada presiden.

Sudah tiba masanya FAM menghantar pasukan khas, belajar dan menimba pengalaman dengan Korea Selatan dan Jepun yang suatu ketika pernah kita kalahkan, selain menjenguk negara-negara Eropah yang ramai pemain dunia bermain di sana.

Lihat bagaimana jiran kita, Thailand telah merancang jauh dengan sebuah syarikat tempatan mereka, King Power melabur dalam Kelab Lancester untuk menghantar pemain-pemain muda mereka berlatih dan kemudian bermain di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Siapa sangka, negara China pertama kali layak ke Piala Dunia 2002 di Seoul, Korea Selatan selepas kebanyakan pemainnya bermain di luar negara. Antara pemain mereka yang beraksi di EPL ialah Sun Jihai bersama Kelab Manchester City.

Sebuah syarikat gergasi Kumpulan Suning dikatakan membeli Kelab Inter Milan bagi memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda mereka.

Ada juga jutawan dari Malaysia memiliki kelab-kelab seperti Cardiff dan QPR di EPL serta seorang lagi di Itali, tetapi sayang tidak seorang pun pemain Malaysia berkesempatan bermain di sana.

Satu lagi kemajuan yang dicapai oleh China ialah yuran pemindahan pemain yang kini dikatakan amat tinggi, walaupun tidak bermain di Eropah, seperti pemain tengah Chow Yuhao, 23 tahun yang dibeli Kelab Hepei dari kelab Zhou Green Town sebanyak RM75 juta dalam liga negara komunis itu.

Di Malaysia pemain-pemain sekarang dikatakan gaji jauh tinggi hingga lebih RM 50,000 sebulan tetapi permainan mereka jauh rendah kualitinya. Yang terbaharu pasukan kebangsaan hanya mampu seri 0-0 dengan Filipina. Belum lagi kita bermain dengan Thailand, Indonesia dan Singapura, jauh sekali kemampuan berdepan dengan Arab Saudi dan Iran.

Justeru kita tidak ada pilihan melainkan keluar bermain di benua Eropah jika mahu meningkatkan skil dan pengalaman pemain.

FAM patut juga memikirkan ke arah memperbanyakkan lagi pertandingan mencari bakat-bakat baharu di mukim dan daerah.

Apa pun kita tunggu dan lihat manifesto yang akan dilaksanakan. Barangkali juga pelan jangka panjang yang akan dibentangkan oleh TMJ sebaik-baik baginda mula duduk di kerusi panas yang ditinggalkan Tengku Abdullah yang meletakkan jawatan sebelum ini.

Sambil menggalu-alukan presiden baharu FAM, jangan kita lupa Tan Sri Annuar Musa yang mengambil keputusan bijak untuk tidak bertanding bagi memberi peluang kepada TMJ memimpin, selain demi menjaga keharmonian dan perpaduan dalam badan induk itu sendiri.

Satu pertanyaan apakah barisan kepimpinan FAM yang baharu bersedia melepaskan jawatan di peringkat negeri dan kelab demi memberi tumpuan 100 peratus kepada tanggungjawab FAM?

Mereka perlu memilih antara satu kerana bimbang yang dikejar terlepas dan yang dikendung tercicir.

Akhir kata semoga kepimpinan baharu FAM mampu menjulang nama Malaysia di persada bola sepak antarabangsa.

PENULIS ialah bekas Naib Presiden FAM.