Usahlah kita menjadi orang yang dipengaruhi oleh persekitaran tetapi, jadilah kita orang yang positif, yang mempengaruhi orang yang negatif dan persekitaran negatif menjadi positif. Analoginya, jadilah kita seperti ikan di lautan, tidak menjadi masin biarpun sejak kecil hidup di dalam air laut yang masin.

Janganlah kita menjadi ikan di darat, setelah digaramkannya maka masinlah ikan tersebut. Ingatlah, kita gembira dan tenang bukan sebab dunia ini betul, tetapi dunia ini menjadi betul sebab kita gembira dan tenang. Dengan kawalan fikiran, kita akan cepat membetul kesilapan, malah dapat mengawal perasaan, daripada risau, tertekan, dan marah kepada menjadi tenang dan tenteram.

Bagaimana hendak menjadi seorang yang tenang? Lakukan lima perkara setiap hari dalam hidup kita. Pertama, betulkan niat kita setiap hari. Sebaik-baik sahaja kita terjaga daripada tidur pada setiap pagi, maka bermulalah kehidupan kita untuk hari tersebut. Hal ini juga bermakna, bermulalah ujian Allah sama ada baik atau buruk yang direncanakan-Nya untuk kita, tanpa kita boleh mengelak daripadanya.

Seandainya kita ibu atau isteri yang seharian di rumah, betulkan niat untuk menjadi ibu mithali dan isteri yang mendapat reda suami, demi mendapat keberkatan hidup daripada Allah SWT. Kalau kita seharian di tempat kerja, niatkan untuk menjadi pekerja yang amanah dan dedikasi.

Kalau kita berada di luar, betulkan niat kita untuk menjaga silaturahim, dengan niat hendak menjadi seorang yang pemurah hati suka memberi, suka membahagiakan orang, sentiasa menyebut kebaikan orang, sentiasa mendengar dan menghargai orang, dan sentiasa menyebut kebaikan orang. Maksudnya di mana pun kita berada betulkan niat untuk menjadi lebih bertakwa supaya mendapat reda Allah SWT dan menjadi lebih baik untuk mendapat kasih sayang manusia.

Semua perkara yang kita lakukan niatkan untuk patuh syariat dan mendapat manfaat. Niatkan setiap hari andainya kita mati hari ini kita mahu mati dalam khusnulkhatimah, dapat menyebut lailahailallah dalam keredaan Allah SWT.

Keredaan

Setelah kita setting niat hidup kita yang baik-baik hari ini, perkara kedua yang perlu kita lakukan adalah, ikhtiar dengan bersungguh-sungguh. Niat adalah proses kehidupan yang berlaku di hati tetapi, ikhtiar adalah proses kehidupan yang dilakukan oleh fizikal kita atas dorongan niat yang telah kita tetapkan di hati.

Maka kita akan ikhtiar, memakai pakaian yang menutup aurat, makan makanan sihat, jumpa orang senyum dan seumpamanya, yang memberikan kesan hubungan yang baik antara kita dengan Yang Maha Pencipta dan sesama manusia. Semua yang kita lakukan dengan ikhtiar untuk mendapat hubungan yang baik dan keredaan dengan Yang Pencipta dan memberikan kesan positif kepada orang yang kita temui.

Ketiga, bersihkan hati kita. Kalau kita jumpa orang terfikir perkara yang tidak baik tentang diri orang tersebut, betulkan balik sangkaan buruk kita itu. Keempat, jadilah pemerhati diri sendiri untuk melihat kekurangan diri dan betulkan kesilapan diri kita, bukan sibuk mencari salah dan kekurangan orang.

Kelima, minta maaf dan memaafkan orang serta banyakkan bertaubat kepada Allah SWT dan memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SWT. Ertinya, niat lurus, hati tulus, ikhtiar serius, ibadah penuh. Apa-apa yang kita lakukan bersulamkan selawat. Ingat Allah, Allah ingat kita. Jaga urusan kita dengan Allah dan Allah menjaga urusan kita sesama manusia ke mana sahaja kita berada, kita akan tenang dan bahagia.

Allah anugerahkan kepada kita kecergasan akal, yang boleh menentukan emosi kita, dan emosi itulah nanti yang menentukan tindakan kita. Daripada tindakan kita itulah pula yang menentukan hasil kehidupan kita (4K = Ketenangan, Kebahagiaan, Kesihatan dan Kekayaan), iaitu apa yang kita buat itulah kita dapat. Kualiti hidup kita bergantung pada kualiti fikiran dan emosi.

Cara kita berfikir dan melihat sesuatu perkara atau seseorang, menentukan emosi kita, dan akhirnya itulah yang akan menentukan magnet diri kita. Emosi adalah satu komponen yang penting dalam diri manusia yang tidak boleh dipendamkan begitu sahaja, dan mesti ada kawalan (minda) yang boleh mengawal emosi kita, supaya kita hanya melakukan emosi yang positif sahaja.

Kita kena kenal emosi kita dahulu dan seterusnya kenalilah emosi orang sekeliling kita. Orang yang memiliki kecerdasan emosi, akan boleh atau dapat membaca emosi orang, sebab manusia bertindak berdasarkan emosi. Orang yang paling cerdas emosi ialah orang yang menentukan dalam jiwanya hanya ada kasih sayang tanpa syarat. Bagi mendapatkan emosi cergas dan kasih sayang, pertama, jauhi prasangka, selalu berfikir baik tentang orang dan carilah kebaikannya bukan tonjolkan keburukannya. Kedua, hormati diri dan perasaan orang lain.

Ketiga, hargai orang lain, biarpun sedikit sumbangan atau tidak menepati yang kita harapkan, berterima kasih, bersyukur dan pujilah dia. Keempat, bermurah hati dan penuh belas kasihan serta kasih sayang dengan orang lain. Orang yang tua daripada kita dihormati, orang yang kurang daripada kita belas kasihan. Apabila kita menjaga emosi, kita juga sebenarnya turut menjaga emosi hidup orang lain. Interaksi manusia dengan komponen yang sangat besar datang daripada hati.

Banyak orang terlalu menggunakan dan tidak mengambil berat tentang nilai hati, maka berlakulah banyak kepincangan dalam kehidupan kita. Emosi positif ialah kasih sayang, hormat menghormati, menghargai, belas kasihan. Kita akan tenang dan bahagia kalau ada emosi positif. Dari segi saintifik minda ada dua lapis, iaitu minda sedar dan minda bawah sedar/minda segar (hati/roh/jiwa). Di manakah minda kita?

Kalau kita gembira dan tenang adakah minda kita gembira dan tenang? Sebenarnya yang gembira dan tenang adalah hati kita. Oleh sebab itulah dalam konsep pemikiran ‘Reset Minda’ ditekankan betapa pentingnya kita ‘celik mata hati’. Kekuatan manusia sebenarnya terletak pada roh bukan fizikal; kalau roh kita sihat fizikal akan sihat, kalau roh kita gembira dan tenang fizikal kita akan gembira dan tenang.

Sesungguhnya kebahagiaan dan ketenangan akan dapat dirasakan, apabila kita melakukan sesuatu yang bermakna dengan penuh makna. Fikiran kita mengawal siapa kita, apa yang kita ada dalam hidup, cara kita berfikir dan percaya dan, bagaimana kita bertindak.

Bagaimana kita bertindak akan membuka ‘topeng’ diri kita, serta menentukan siapa kita sebenarnya dan apa yang kita akan capai. Oleh sebab itu adakah kita boleh menyalahkan orang lain atas keadaan kita sekarang? Sedangkan kita yang memilih fikiran dan respons kita atas setiap yang berlaku.

“Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.