Salah satu kejadian, berlaku awal Mei lalu di mana sebuah kereta terbabas dan terjunam ke dalam lubang pembetungan sedalam 15.4m di Petaling Jaya. Dalam kejadian tersebut, pemandu yang berusia 86 tahun serta penumpang cuma mengalami cedera dan trauma, tetapi lebih kurang dua minggu selepas itu, pemandu tersebut, Yong Chee Seng meninggal dunia.

Doktor tidak mengaitkan kematian Chee Seng dengan insiden lubang kumbahan tetapi hakikatnya, kemalangan tragis tersebut telah pun berlaku dan mengakibatkan mangsa dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Dan kejadian berlaku disebabkan oleh pengabaian kontraktor terhadap langkah-langkah dan prosedur keselamatan di tapak kerja.

Satu lagi kejadian yang menyayat hati berlaku minggu lalu apabila dua kanak-kanak lelaki berumur 9 dan 6 tahun mati lemas dalam lubang cerucuk di tapak binaan sebuah dewan di Felda Chini 5 di Pekan, Pahang.

Dalam kes pertama, lubang yang digali di jalan raya bagi pemasangan paip pembetung saliran di bawah jalan bukan sahaja tidak ditutup malah kontraktor cuma meletakkan kun plastik di sekeliling lubang tersebut.

Dalam kes kedua di tanah rancangan Felda, kontraktor langsung tidak mengambil langkah keselamatan dan membiarkan saja lubang sedalam 1.5m yang dipenuhi air tanpa ditutup atau dihadang.

Dalam kedua-dua kejadian, kemalangan boleh dielakkan jika kontraktor tidak mengabaikan prosedur dan langkah keselamatan. Sewaktu kerja-kerja dihentikan buat sementara, kontraktor harus menutup lubang yang digali untuk kerja pembetungan atau binaan dengan penutup yang kukuh. Perlu ada penghadang yang teguh dan cukup di sekeliling lubang tersebut, dan papan tanda amaran mesti diletakkan pada jarak yang sesuai.

Kerja binaan atau pembaikan yang dilakukan di jalan raya perlu ada langkah keselamatan tambahan kerana tapak kerja tersebut mengganggu kelancaran lalu lintas dan mewujudkan blind spot kepada pemandu kenderaan, penunggang motosikal dan juga pejalan kaki.

Macam sudah menjadi kebiasaan di negara kita di mana kontraktor yang terbabit dalam projek pembinaan atau pembangunan infrastruktur, mahupun pembaikan sistem pembetungan di bawah jalan, mengambil mudah aspek keselamatan orang awam.

Jika diperhatikan, kawasan di sekitar sesetengah projek pembinaan tidak berlampu dan ini boleh mengundang kemalangan kepada pejalan kaki, penunggang motosikal atau pemandu kereta di waktu malam. Kadang-kadang tiada papan tanda dan arahan daripada pihak pemaju mengingatkan orang awam supaya berhati-hati ketika melalui tapak kerja atau binaan. Kalau ada pun, papan tanda tersebut terlalu kecil untuk dilihat ataupun tidak diterangi cahaya lampu di malam hari.

Sesetengah pemaju atau kontraktor pula hanya memasang papan tanda peringatan selama beberapa bulan sahaja dan tidak menggantikan papan tanda yang sudah lusuh atau tanggal walaupun projek pembinaan tersebut berjalan lama hingga lebih setahun. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana papan-papan tanda tersebut harus diletakkan beberapa kilometer dari tapak projek untuk mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati.

Ada juga kontraktor yang tidak menugaskan pekerja mereka untuk mengawal lalu lintas di luar tapak kerja di waktu puncak seperti pagi, tengah hari dan petang. Ada pula pekerja yang ditugaskan membantu mengawal lalu lintas, tidak menjalankan tugas dengan baik.

Dalam hal ini, jurutera atau penyelia tapak di projek pembinaan harus melaksanakan tanggungjawab mereka dengan memastikan bahawa semua pekerja di tapak binaan mengikut prosedur keselamatan orang awam.

Setiap tapak kerja sama ada projek pembinaan, infrastruktur atau pembaikan dan pembetungan, perlu ada papan tanda maklumat yang boleh dilihat oleh orang awam yang memaparkan nama kontraktor dan cara untuk menghubungi kontraktor.

Kalau di bandar pun, kontraktor tidak mengambil berat akan prosedur keselamatan di tapak kerja dan binaan, apa lagi mereka yang menjalankan kerja-kerja binaan di kawasan desa dan pedalaman?

Ramai orang bimbang dengan tahap keselamatan orang awam yang melalui tapak kerja pembaikan atau binaan. Maka, saya menyeru pihak pemaju, pihak yang melantik kontraktor dan kontraktor utama menguta­makan prosedur dan langkah-langkah keselamatan orang awam.

Pihak yang mengeluarkan lesen kerja-kerja pembaikan dan pembinaan di kawasan awam, pihak berkuasa tempatan dan pihak penguat kuasa berkaitan harus mengambil langkah-langkah tegas untuk memastikan keselamatan orang awam di sekitar tapak binaan tidak diancam.

Nyawa manusia tidak harus dipertaruhkan semata-mata kerana kelalaian sesetengah pihak yang tidak mengikut prosedur keselamatan. Kita harus melakukan sesuatu supaya pemaju, kontraktor, pihak yang melantik kontraktor dan pihak yang memantau kerja-kerja binaan sedar akan hakikat ini dan akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Hanya tinggal kurang dari empat tahun lagi untuk kita mencapai taraf negara berpendapatan tinggi. Mentaliti masyarakat kita harus maju dan matang seiring dengan pencapaian ekonomi negara. Kita harus tinggalkan mentaliti lama yang tidak mementingkan langkah-langkah keselamatan di tempat kerja termasuk di tapak binaan.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh).