Menyingkap sejarah kelapa sawit, taman ini berasal dari Afrika pada 1848 ke Taman Botani Bogor di Indonesia. Pada 1917 buat pertama kalinya dibawa ke Malaysia (Tanah Melayu) oleh penjajah dan ditempatkan di Ladang Tenmaran di Kuala Selangor.

Bermula dari situ, perkebunan kelapa sawit semakin giat diusahakan sehingga melonjakkan Malaysia sebagai pengeluar utama minyak kelapa sawit dunia. Kedudukan ini sedikit terancam bila mana Indonesia mula merebut takhta sebagai pengeluar utama minyak kelapa sawit beberapa tahun kebelakangan ini.

Kemajuan dalam industri sawit ini sebenarnya telah memberi nafas baharu kepada sejumlah besar penduduk Malaysia yang miskin khususnya pada zaman selepas kemerdekaan. Nasib penduduk miskin terbela melalui perkembangan industri minyak sawit yang dipelopori oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sejak 1960-an. Perkembangan terus dipesatkan dengan kewujudan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) pada 1969, Institut Penyelidikan Mi­nyak Sawit Malaysia (PORIM) pada 1979 dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 2000.

Namun, usaha membasmi kemiskinan mahupun me­ningkatkan pendapatan negara industri sawit tidak harus terhenti di sini sahaja. Pelbagai aktiviti sampingan yang dapat merangsang peningkatan pendapatan harus diusahakan.

Pelancongan agro sawit adalah antara aktiviti yang signifikan dibangunkan dan boleh dilihat daripada beberapa aspek iaitu:

  • Aspek peneroka - pembangunan pelancongan sawit ini berupaya membuka peluang kepada peneroka untuk memperoleh pendapatan sampingan.
  • Aspek negara - ia dapat mempelbagaikan lagi produk pelancongan yang mempunyai pelbagai daya tarian.
  • Generasi muda - melalui aktiviti pelancong harian dan sebagainya, golongan muda khususnya anak-anak sekolah dapat mempelajari bagaimana proses penanaman, tuaian (pungutan buah) dan pemprosesan kelapa sawit dilakukan.

Ini sangat baik kerana memberi pendedahan untuk golongan muda berfikir tentang teknologi dan mencebur diri dalam industri berasaskan sawit ini.

Sehingga kini, Malaysia mempunyai beberapa buah ladang sawit yang dikomersialkan sebagai destinasi pelancongan agro sawit. Antaranya, Ladang Sawit Sg. Klah dengan destinasi pelancongan Sg. Klah Hot Spring; Ladang Sawit Trolak dengan destinasi pelancongan Felda Trolak Residence, Ladang Sawit Tekam Plantation dengan Felda Residence Tekam dan Ladang Sawit Sungai Tengi dengan Felda Sungai Tengi Selatan Residence. Beberapa kawasan lain sama ada dalam kawasan Felda atau di luar kawasan Felda juga berpotensi dibangunkan.

Destinasi pelancongan agro sawit ini semakin mendapat sambutan masyarakat setempat kerana keunikan masing-masing misalnya Sg. Klah Hot Spring dengan tarikan mata air panas yang di beberapa lokasi mencecah 100 darjah selsius, Felda Trolak Residence (perkebunan dan kolam pancing - pelancongan agro), Felda Residence Tekam (dusun buah-buahan tempatan dan mendaki ke Gua Senyum) dan Felda Sungai Tengi Selatan Residence dengan tarikan pembuatan labu sayung batik, tanaman sayur-sayuran dan pembuatan kuah tradisional. Kesemua aktiviti ini memberikan pengalaman berbeza kepada pelancong.

Dari perbincangan ini, secara keseluruhan, pembangunan industri pelancongan tidak seharusnya terhenti kepada produk sedia ada. Tetapi integrasi antara dua industri seperti industri pertanian (agro sawit) dan industri pelancongan harus digalakkan kerana ini dapat memperkukuhkan lagi jaringan dan kemajuan antara kedua-dua industri.

PROF. MADYA DR. NORLIDA HANIM MOHD. SALLEH dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).