Mereka sebahagian daripada 210 pemimpin pelajar mewakili 26 universiti tempatan yang menyertai Persidangan Parlimen Mahasiswa 2016 yang diadakan selama dua hari di bangunan Parlimen pada 26 dan 27 Julai tahun lalu.

Ketika persidangan berkenaan mereka dibenarkan berbahas mengikut format sebenar sidang Dewan Rakyat di tempat sama ahli-ahli Parlimen daripada pelbagai parti berhujah sebelum sesuatu rang undang-undang diluluskan.

Patriotisme adalah perasaan cinta cukup kuat terhadap tanah air manakala toleransi merujuk kepada sifat sabar dan bertolak ansur yang jika diamalkan boleh merapatkan perpaduan antara kaum di negara ini.

Perpaduan adalah elemen sangat penting bagi memastikan kestabilan sesebuah negara dapat dikekalkan terutama di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama.

Antara perkara menarik di­sentuh dalam buku ini adalah pendapat beberapa pemimpin mahasiswa bahawa semangat patriotisme dan toleransi kaum hanya dapat dihayati sekiranya rakyat arif dengan sejarah tanah air.

Orang ramai perlu tahu betapa susahnya generasi terdahulu berjuang untuk mendapat kemerdekaan daripada penjajah Inggeris.

Seorang pemimpin mahasiswa turut menyentuh mengenai ungkapan ahli falsafah kelahiran Sepanyol, George Santayana yang per­nah menyebut: “Mereka yang melupakan sejarah akan cenderung untuk mengulanginya.”

Dalam konteks perpaduan kaum di negara ini, rakyat yang arif mengenai sejarah sudah pasti tidak akan menyokong sebarang kenyataan berbau perkauman kerana mereka tidak mahu berulang rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang telah menyebabkan banyak nyawa terkorban.

Sehubungan itu, an­tara cadangan pemimpin mahasiswa ter­babit adalah ditambah baik kan­dungan mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah.

Mata pelajaran itu perlulah diajar dengan cara kreatif yang dapat menarik perhatian pelajar dan pada masa sama mereka perlu dibawa melawat muzium dan tempat di mana peristiwa bersejarah itu berlaku.

Antara idea kreatif yang harus diberi pujian adalah langkah memasukkan elemen patriotisme di Stesen Merdeka yang boleh dikunjungi setelah fasa kedua perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang mula beroperasi pada 17 Julai lalu.

Di situ terdapat mural yang memperlihatkan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengangkat tangan ketika mengisytiharkan kemerdekaan negara.

Gambar besar yang diletak pada dinding dapat mengi­ngatkan rakyat termasuk pelajar mengenai siapakah yang telah berbakti untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

Sebelum Tunku Abdul Rahman dapat melaungkan perkataan merdeka, ramai yang telah berkorban nyawa dan harta untuk memastikan Tanah Melayu bebas.

Cadangan lain adalah setiap murid dididik mempunyai pe­rasaan menerima dan bersikap mesra terhadap rakan sekelas mereka yang berlainan kaum.

Setiap murid perlu memahami adat resam rakan-rakan mereka dan harus mengambil peluang ketika musim perayaan untuk mengunjungi rumah terbuka yang diadakan.

Perasaan curiga terhadap kaum lain wujud kerana kita tidak mengenali budaya mereka secara dekat. Ini selaras dengan ungkapan kita hanya takut dan sangsi terhadap perkara-perkara yang kita tidak ketahui.

Oleh itu, beberapa pemimpin mahasiswa mencadangkan supaya kerajaan mengurangkan sekolah pelbagai aliran secara beransur-ansur dengan matlamat akhir untuk mewujudkan hanya satu aliran pendidikan di negara ini.

Terdapat juga dalam kalangan pemimpin mahasiswa yang mencadangkan sukan dijadikan sebagai salah satu kaedah bagi menyatukan rakyat.

Keberkesanan sukan untuk mengeratkan perpaduan dapat dilihat ketika perlawanan akhir­ badminton Sukan Olimpik Rio 2016 apabila rakyat Malaysia berbilang kaum bersorak bersama-sama untuk menyokong Datuk Lee Chong Wei walaupun beliau akhirnya kalah kepada jaguh dari China, Chen Long.

Satu lagi cadangan bagi memupuk semangat patriotisme dan toleransi adalah untuk menggunakan laman sosial bagi menyebarkan klip video, gambar dan cerita yang memaparkan hubungan akrab rakyat berbilang kaum.

Kita tidak harus terlalu bergantung kepada iklan musim perayaan yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat besar sahaja sebaliknya perlu memberi sumba­ngan secara peribadi.

Penduduk Semenanjung Malaysia juga perlu belajar daripada masyarakat Sabah dan Sarawak yang mempamerkan sikap to­leransi antara kaum yang cukup tinggi.

Semangat perpaduan boleh dipupuk jika rakyat Malaysia mengutamakan produk buatan tempatan tanpa mengira dikeluarkan oleh kaum Melayu, Cina atau India.

 

info

> Judul: Parlimen Mahasiswa: Patriotisme & Toleransi Kaum
> Penulis: Tan Sri Abdul Aziz Rahman
> Tahun terbitan: 2017
> ISBN: 978-967- 10541-3-0
> Penerbit: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak)