Turut menjadi punca ialah peningkatan jumlah pengguna yang yang datang membeli tiket dan balik kampung sempena cuti Deepavali. Sebanyak 31 kaunter dan tujuh mesin penjualan tiket dibuka dan ditambah 10 kaunter lagi ekoran kehadiran pengunjung yang ramai. Selak mengucapkan terima kasih atas penjelasan itu walaupun beberapa isu masih belum selesai termasuk waktu perjalanan bas yang tidak tepat. Di tiket tertera pukul 12.45 tengah hari tetapi perjalanan sebenar 2.45 petang. Mungkin ini masalah terpencil tetapi jangan kerana mahu membendung ulat tiket akhirnya muncul ulat bas. Pihak yang lebih layak menjawab persoalan ini tentulah SPAD. Maju hanya menyediakan terminal sedangkan isu berkaitan perkhidmatan terletak di bahu operator bas.

Selak juga menerima reaksi daripada seorang pembaca yang menamakan dirinya sebagai Pengguna Dari Penang. Jika minggu lalu, remaja yang merungut, kali ini warga emas. Masalah kesesakan di kaunter tiket yang dibangkitkan itu turut berlaku pada hari Jumaat. Keluhan itu boleh dilihat di ruangan ini. Saya terkejut dengan apa yang dinyatakan oleh warga emas itu. Apakah jaminan pihak berkenaan bahawa perkara yang sama tidak berulang pada masa hadapan? Membaca keluhan warga emas itu, saya tertarik dengan kaunter lain yang dinyatakannya. Dalam ingatan saya memang wujud kaunter berkenaan, sama seperti yang kita dapat dilihat di Hentian Putra, Pudu Sentral atau Jalan Pekeliling. Tidak pula terlintas ketika itu kenapa pula ada kaunter lain untuk perkhidmatan bas berkenaan yang kebanyakannya ke Timur dan bercampur pula dengan penjualan tiket ke destinasi lain? Seperti biasa kaunter-kaunter berkenaan memaparkan iklan perjalanan ke destinasi terlibat. Kenapa ada pengecualian? Pihak berkenaan atau SPAD mungkin boleh memberi penjelasan berhubung perkara ini. Saya bimbang, masalah lama di hentian berkenaan akan berulang di TBS sekiranya tidak diberi perhatian mulai sekarang.

Bukanlah bermaksud mahu memperkecilkan peranan TBS kerana jika dibandingkan tempat lain, TBS mampu menampung antara 50,000 hingga 70,000 pengguna bas ekspres setiap hari. TBS juga mempunyai jaringan perhubungan yang terbaik ketika ini kerana di situ ada Transit Aliran Ringan (LRT), komuter dan ERL Transit di samping kemudahan bas RapidKL dan teksi bajet serta eksekutif. Tempat letak kereta bertingkat juga menyediakan ruang yang banyak. Seorang pesara ketika menyokong tulisan Selak minggu lepas berkata, teguran berdasarkan fakta bukan mahu memperkecilkan mana-mana pihak tetapi mengharapkan penambah baikan. Katanya, ketepatan masa amat penting, lewat 10 atau 20 minit masih boleh diterima tetapi kalau dah sampai dua jam, apa cerita?

TBS dan sekitarnya menjadi simbol kepada kecekapan pengangkutan awam di negara ini. Cabarannya lebih besar apabila terminal itu akan menerima kehadiran penumpang yang ramai pada musim perayaan dan beberapa cuti panjang pada tahun hadapan. Paling hampir ialah menjelang akhir tahun ini apabila terdapat cuti umum mulai 24 Disember (Khamis) diikuti 25 Disember. Begitu juga menjelang sambutan tahun baharu 2016. Tahun depan juga banyak `cuti berangkai’ yang menyebabkan cuti panjang sehingga hujung minggu. Sudah tentu ketika itu perkhidmatan bas ekspres amat diperlukan.

Berkaitan dengan bas ekspres juga, terdapat cadangan daripada pengusaha bas untuk menaikkan kadar tambang. Jika ini berlaku, tahun ini menjadi tahun kenaikan tambang pengangkutan awam. Semuanya naik. Bas, teksi, LRT, monorel dan komuter. Kadar tol juga meningkat. Pengguna tidak ada pilihan kecuali terus menggunakan lebuh raya dan pengangkutan awam. Suka atau tidak, mereka perlu bergerak ke tempat kerja, balik kampung dan pelbagai urusan harian. Maka tidak hairanlah jika kita mendapati pengangkutan awam - bas, komuter, LRT, monorel terus dipenuhi penumpang. Janganlah menggunakan alasan walaupun tambang naik, semua perkhidmatan itu penuh sesak, tidak terjejas jumlah orang. Apa lagi yang pengguna atau penumpang boleh lakukan? Mahu berjalan kaki, naik basikal atau motosikal? Begitu juga dengan kadar tol. Kadar naik tetapi plaza tol termasuk di kaunter touch n go juga sibuk. Kenaikan tambang atau peningkatan kadar tol tidak dapat dielakkan. Baru-baru ini, golongan pemandu teksi pula dikejutkan dengan kenaikan harga gas sebanyak 100 peratus. Ini juga menyumbang kepada kos pengendalian teksi dan kadar tambang baharu yang sedang dinikmati pemandu teksi mula terasa kurang memuaskan.

Apa yang diharapkan, kenaikan kadar tambang serta tol ini tidak terlalu membebankan pengguna. Pada masa yang sama `iringilah’ kenaikan itu dengan kualiti perkhidmatan yang lebih cekap - menambah kekerapan perkhidmatan dan jumlah pengangkutan awam. Ketika ini ada pengangkutan awam yang menamatkan perkhidmatannya sebelum tengah malam menyebabkan masalah kepada pengguna yang pulang lewat malam. Kerajaan perlu melihat pengangkutan awam sebagai keperluan penting kepada rakyat. Langkah ini juga dapat menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas termasuk pada musim perayaan. Tidak pasti sama ada pengangkutan awam kita setanding dengan negara-negara maju. Saya tidak ada pengalaman di negara-negara berkenaan. Bagi mereka yang kerap ke luar negara terutama di Amerika Syarikat dan Eropah sama ada atas urusan kerja atau melancong mungkin boleh berkongsi pengalaman mengenai sistem pengangkutan awam di negara berkenaan. Di Malaysia, semakin ramai yang beralih kepada pengangkutan awam disebabkan pelbagai faktor.

Dengan jumlah penduduk yang semakin meningkat terutama di kawasan bandar, jaringan pengangkutan awam perlu ditingkatkan. Ketika ini kerajaan telah pun bersedia dengan sistem Mass Rapid Transit (MRT) yang bakal siap pada tahun 2017. MRT menghubungkan Sungai Buluh hingga ke Kajang. Diharapkan kerajaan tidak berhenti di situ sahaja dalam mewujudkan jaringan pengangkutan awam yang lebih baik di negara ini, bukan setakat di Lembah Klang tetapi juga di negeri-negeri lain yang kepadatan penduduknya amat tinggi serta sering mengalami kesesakan lalu lintas. Satu perkara lagi, beberapa stesen komuter telah menyediakan tempat letak kereta termasuk bangunan bertingkat bagi menampung jumlah pengguna. Jangan pula dibebankan pengguna ini dengan kadar harga letak kereta yang tidak munasabah sehingga mereka terfikir untuk membawa kenderaan sendiri ke tempat kerja.

 

KELUHAN PENUMPANG WARGA EMAS

SAYA adalah seorang pembaca tetap dan setia dari dulu hingga kini. Ruangan Selak antara kolum rencana yang menjadi bacaan dan kegemaran saya pada setiap hari Isnin. Saya ingin memberi sedikit pengalaman yang saya rasai dan hadapi setelah SPAD memindahkan operasi bas ke utara dari Pudu Sentral ke TBS BTS. Apabila saya tiba di TBS jam 2.15 petang hari Jumaat 6 November, saya terkejut apabila mendapati begitu ramai penumpang yang berbaris panjang untuk membeli tiket di kaunter dan juga di kios.

 

Saya juga berbaris panjang untuk membeli tiket ke Pulau Pinang, tetapi apabila sampai di hadapan kaunter, saya dimaklumi bahawa tiket telah habis. Saya memberitahu penjual tiket di kaunter bahawa saya perlu balik kerana ada urusan penting. Kemudian beliau memaklumkan kepada saya bahawa saya boleh cuba nasib dengan membeli tiket di kaunter belakang yang berhampiran dengan 7-Eleven.

Oleh itu saya segera ke kaunter tiket bas yang dimaksudkan. Alhamdulillah orang tidak ramai hanya beberapa orang sahaja yang beratur. Saya ke kaunter bas ke utara dan menanyakan sama ada masih ada tiket ke Pulau Pinang dan dimaklumkan bahawa hanya ada tiket ke Butterworth pada petang itu jam 3.30 petang. Namun menurut penjual tiket, harga tiket mahal iaitu RM80. Ya Allah mahalnya. Namun saya tetap membeli tiket tersebut kerana terpaksa dan ada urusan keluarga, di samping memikirkan wang yang perlu dikeluarkan untuk penginapan hotel, makan minum dan lain-lain jika ditunda ke hari esok Sabtu 7/11/15.

Persoalannya:

1. Manipulasi harga tiket masih boleh berlaku lagi di TBS.

2. Ruang berlepas di pintu 17 - 19 tiada pengawasan langsung daripada SPAD. seolah-olah seperti suasana di Pudu Sentral dan lain-lain tempat.

3. Pernyataan papan elektronik ketibaan dan pelepasan bas tidak mencatat semua tiket telah habis dijual sebagai makluman kepada pengunjung yang berhajat hendak membeli tiket supaya mereka tidak perlu beratur panjang.

4. Elok kiranya pengoperasian bas koridor utara dikembalikan di Pudu Sentral. Penguatkuasaan perlu ditingkatkan untuk cegah ulat tiket.

Saya adalah seorang warga emas yang sering menggunakan perkhidmatan bas ekspres.

Pengguna dari penang