Bagi membetulkan persepsi tersebut, Nippon Paint dengan kerjasama Yayasan Generasi Gemilang telah membawa program Colourful Dreams ArtVenture ke Sekolah Kebangsaan Pujut Corner di Miri, Sarawak baru-baru ini.

Program khidmat masyarakat itu bertujuan membina kemampuan murid dalam memperbaiki prestasi pembelajaran, di samping membentuk sahsiah diri yang baik.

Program itu dibangunkan berdasarkan empat fokus utama iaitu pendidikan, ekonomi, persekitaran dan komuniti. Seramai 100 pelajar yang ditempatkan dalam kelas corot di sekolah tersebut dipilih untuk menyertainya.

Pengarah Korporat dan Khidmat Masyarakat Nipsie Group, Teri Choong Lai Ling memberitahu, pihaknya mahu merealisasikan sebuah program yang luar biasa. Oleh kerana itu, katanya, program Colourful Dreams ArtVenture dilaksanakan dengan gabungan aktiviti menyeronokkan.

“Setiap sesi dalam program ini mengandungi dua hingga tiga permainan, aktiviti kesenian dan nyanyian. Menerusinya, kami ingin menggalakkan peserta berinteraksi sesama sendiri,” katanya yang mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan program tersebut.

Program Colourful Dreams ArtVenture yang berlangsung selama dua hari dilihat mencapai objektifnya. Paling ketara apabila peserta yang pada awalnya kelihatan malu dan sedikit takut memperlihatkan perubahan kepada lebih yakin untuk berinteraksi dan bergaul sesama sendiri.

Teri berkata, program tersebut membawa aspirasi untuk melaksanakan pembaharuan. Ini kerana katanya, murid berprestasi rendah dipilih sebagai peserta program itu.

“Murid corot bukan disebabkan mereka kurang bijak, tetapi kerana tidak tahu cara untuk memperbaiki prestasi masing-masing. Kami percaya, dengan bimbingan yang betul, kanak-kanak ini mampu menyinar seperti murid cemerlang yang lain.

“Mereka (kanak-kanak) memperlihatkan peningkatan dalam fasa berlainan. Bukan semua mampu mencapai kecemerlangan dalam masa singkat. Oleh itu, kami percaya, program seperti ini dapat menjadi titik tolak perubahan dalam diri peserta,” jelasnya.