Paling utama, PNB memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan ekonomi bumiputera. Wartawan HAFIZAHRIL HAMID, ABD. AZIZ ITAR, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI bersama jurugambar AMIR KHALID telah menemu bual Pengerusi PNB, TAN SRI ABDUL WAHID OMAR di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, beliau banyak bercakap tentang usaha dan sumbangan PNB dalam perkembangan ekonomi negara termasuk isu-isu semasa berkaitan GST dan fitnah pembangkang bahawa Malaysia akan bankrap yang ternyata tidak masuk akal. Ikuti wawancara tersebut.


MINGGUAN: Bagaimana Tan Sri melihat Program Transformasi Kesejahteraan Bumiputera dapat membantu golongan bumiputera?

ABDUL WAHID OMAR: Transformasi Kesejahteraan Bumiputera adalah suatu program yang lebih holistik seperti dari segi ekonomi dan pendidikan. Ia lebih mendalam yang mana kami di PNB menggembleng pulangan yang diperolehi bagi diagih-agihkan kepada masyarakat bumiputera.

Ia juga bagi membolehkan mereka mengecapi kehidupan yang lebih baik. Pada tahun lalu kita mengagihkan RM14.6 bilion dividen yang sebahagian besarnya telah diagih-agihkan kepada golongan tersebut (bumiputera).

Kita juga mempunyai tanggungjawab korporat yang mana kita ada beberapa bidang utama yang perlu diberi tumpuan antaranya pendidikan, kecelikan kewangan dan peluang memiliki rumah mampu milik.

Dalam soal pendidikan, ia berkaitan memberi peluang pelajaran kepada golongan daripada keluarga susah untuk mendapat kerjaya lebih baik dan membawa keluarga mereka keluar daripada kancah kemiskinan. Bantuan pendidikan itu termasuk biasiswa melanjutkan pelajaran di universiti di dalam dan luar negara.

Kita juga mempromosikan kerjaya sebagai akauntan bertauliah yang kurang di negara ini termasuk daripada kalangan bumiputera. Bidang ini bukan sahaja bersifat teknikal tetapi ia berada pada tahap yang kritikal. Setiap syarikat memerlukan akauntan dalam pelbagai peringkat. Di Malaysia ada kira-kira 33,000 ahli dalam Malaysian Institut Akauntan Malaysia (MIA) yang mana 20,000 daripadanya mempunyai kelayakan profesional.

Bagaimanapun daripada bilangan itu, hanya 1,700 orang atau sekitar lapan peratus sahaja terdiri daripada bumiputera. Ia adalah angka yang kecil. Sebab itu, kita melancarkan program bagi melahirkan 1,000 akauntan bertauliah dalam kalangan bumiputera bagi tempoh lima tahun ini.

Setakat ini, kita ada sekitar 550 calon. Kita tidak sepatutnya memandang rendah kebolehan akauntan bumiputera tetapi perlulah memberikan mereka pendedahan tentang bidang perakaunan ini.

Sementara itu, dalam program Minggu Amanah Saham Malaysia, kita telah mengadakannya seminggu dalam setahun dari satu negeri ke satu negeri di seluruh negara. Fokusnya kepada soal ‘celik kewangan’ dan keusahawanan melibatkan syarikat-syarikat strategik kita.

Dalam soal penyediaan rumah mampu milik pula, PNB menyahut seruan kerajaan bagi membantu usaha-usaha ke arah itu. Kita ada pendekatan sendiri dan tidak mahu cuba membuat projek sedia ada seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan sebagainya tetapi lebih kepada pembangunan tanah-tanah milik PNB. Antaranya di Banting, Selangor dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kalau boleh di luar Kuala Lumpur kami mahu membangunkan kawasan perumahan di atas tanah dengan harga rumah teres sekitar RM180,000 seunit. Ini peluang untuk golongan bumiputera yang berpendapatan rendah. Kita berharap agar nilai rumah ini akan naik pada masa depan.

Bagaimana Tan Sri melihat sumbangan PNB terhadap kemajuan bumiputera sejak ditubuhkan sehingga ke hari ini?

ABDUL WAHID: Kalau dahulu peratusan kaum bumiputera dalam bidang koporat hanyalah 2.4 peratus dan sekarang ini 23 peratus. Dengan pelbagai program lain seperti bidang pendidikan telah berjaya melahirkan golongan profesional, sekali gus meningkatkan jumlah pelaburan.

Kita juga ada program Amanah Saham Bumiputra 2 (ASB2) dan had pelaburannya sehingga RM200,000. Banyak unit saham yang disediakan telah dibeli oleh kaum bumiputera. Bagaimanapun, peratusan yang dicapai itu belum memadai dan sasaran kita adalah 33 peratus pada masa depan.

Konsep dan model perniagaan yang dilaksanakan di PNB telah terbukti berjaya di Malaysia. Mungkin konsep itu boleh "dijual" ke negara lain terutama negara membangun?

ABDUL WAHID: Keutamaan kita ada di Malaysia kerana setiap negara mempunyai pendekatan yang berbeza. Ada juga yang berminat dan bertanya tentang model-model yang telah kita ketengahkan dan tidak percaya dengan pencapaian yang telah kita capai.

Kita sedia berkongsi dengan negara-negara yang berminat dengan apa yang telah kita laksanakan tetapi ia bukanlah mandat utama penubuhan GLC ini. Dari segi pengurusan pelaburan kita memang mahir dalam menguruskan aset-aset di dalam dan luar negara tetapi keutamaan adalah bagi dimanfaatkan para pelabur kita.

Bagaimana pengalaman semasa menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini membantu Tan Sri di PNB?

ABDUL WAHID: Sebagai seorang CEO di syarikat swasta mandat yang ada agak terhad berbanding apabila kita berada dalam sektor awam atau kerajaan.

Kalau di syarikat swasta tumpuan saya lebih kepada prestasi kewangan di sesebuah syarikat tersebut. Tanggungjawab dalam kerajaan pula memberi pendedahan yang meluas kepada saya dari segi agendanya kepada banyak pihak. Ia bukan tertumpu kepada satu-satu golongan sahaja.

Ada 30 juta rakyat Malaysia dan mereka juga mempunyai pendirian politik yang berbeza. Saya masih ingat lagi semasa saya jadi CEO di Maybank, ramailah kawan tetapi apabila saya masuk ke dalam kerajaan, ramai yang melihatnya daripada pandangan yang berbeza-beza. Sedangkan saya adalah Abdul Wahid Omar yang sama dan bercakap perkara-perkara sama.

Tetapi pengalaman itu banyak membantu saya di PNB untuk saya memahami dan melaksanakan apa-apa juga program yang dilaksanakan. Tidak kiralah kita berada di sektor swasta atau kerajaan tetapi kalau ada kerjasama dan masing-masing buat kerja maka setiap urusan akan menjadi mudah.

Ada pihak tertentu mengatakan rakyat tidak memerlukan unit amanah kerana mereka tidak mempunyai duit untuk melabur tetapi mereka lebih memerlukan rumah. Apa komen Tan Sri?

ABDUL WAHID: Saya rasa pelaburan dan rumah adalah dua keperluan yang berbeza. Rumah misalnya adalah satu keperluan untuk semua terutamanya golongan sasar bagi memiliki rumah mampu milik.

Pada masa sama, kita mahu menggalakkan rakyat menabung kerana ia penting untuk mereka mempunyai simpanan yang mencukupi pada masa tua nanti.

Ia juga penting untuk keperluan mereka, contohnya untuk perbelanjaan pendidikan anak-anak mereka ataupun kalau berlaku kecemasan dalam soal perbelanjaan kesihatan dan sebagainya.

Sebab itu, kita wujudkan skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) agar suatu masa nanti semua rakyat Malaysia mempunyai akaun mereka sendiri.

Kita memberikan dana tabungan permulaan RM200 dengan kadar dividen enam peratus setahun kepada setiap bayi yang lahir dari 1 Januari 2018 sehingga 2022.

Simpanan itu diharap sekurang-kurangnya dapat membantu mereka membayar yuran pendidikan apabila anak itu mahu masuk kolej dan sebagainya.

MASIH RELEVEN

Ada orang kata agenda bumiputera sudah tidak relevan lagi dalam keadaan sekarang. Apakah pandangan Tan Sri dalam hal ini?

ABDUL WAHID: Program ini adalah berasaskan kepada keperluan bagi mewujudkan kesaksamaan dan bukannya kesamarataan kepada semua kaum di negara ini. Ini kerana pembabitan kaum bumiputera masih belum menyeluruh dalam banyak bidang ekonomi dan pekerjaan. Ini adalah soal kesamaan dengan mengambil kira latar belakang mereka.

Misalnya, kalau mereka yang datangnya dari kawasan pedalaman, maka mereka ini wajar diberi bantuan yang lebih.

Contohnya kalau kita beri biasiswa pelajaran kepada anak CEO, kita sebenarnya memberi lebih banyak kelebihan kepada ibu bapa mereka.

Mungkin dengan RM500,000 biasiswa yang diperolehi oleh golongan ini mereka akan membeli kereta dan sebagainya. Sedangkan kalau kita beri kepada mereka yang berpendapatan kurang RM20,000 setahun, mereka akan menggunakan manfaat daripada bantuan yang diberikan itu.

Katakan ada pelajar dari bandar yang mendapat keputusan 10A1, manakala seorang lagi pelajar dari luar bandar yang mendapat keputusan peperiksaan 8A1 sahaja. Bagi saya pelajar dari luar bandar itu perlu lebih diberi peluang.

Ini boleh mengeluarkan mereka daripada kancah kemiskinan selain mampu menjadikan mereka sebagai teladan dalam masyarakat masing-masing.

Sebab itulah penting untuk kita lihat kesaksamaan, bukan kesamarataan. Selagi kita belum mencapai kesaksamaan, agenda bumiputera perlu diteruskan.

Banyak orang selalu tengok di sektor awam sahaja tetapi kita juga perlu pastikan di sektor swasta pun, bumiputera diberikan peluang yang saksama. Kita tahu tidak mudah untuk bumiputera mendapat pekerjaan dan peluang perniagaan di sektor swasta.

Saya harap suatu hari nanti kita akan ada Akta Peluang Saksama yang terpakai untuk sektor awam dan swasta. Saya harap masyarakat pun akan bersikap sebegitu dan dengan itu kita boleh mengejar impian ini dalam skala lebih besar.

KEPENTINGAN GST

Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) membolehkan kerajaan membiayai pelbagai projek pembangunan dan bantuan kepada rakyat. Tetapi pakatan pembangkang pula bersungguh-sungguh mahu menghapuskan GST. Tidakkah itu tindakan yang ke belakang?

ABDUL WAHID: Kita perlu melihat semula pada tahun 2014 ketika diumumkan GST mahu dilaksanakan. Ada beberapa perkara yang kita kena ingat semula. Antaranya, GST bukanlah cukai tambahan tetapi ia bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Tujuannya adalah melebarkan lagi asas percukaian yang mana dahulu berlaku banyak ketirisan.

Tetapi dengan adanya GST kita pastikan mereka yang menggunakan banyak perkhidmatan atau barangan maka mereka kenalah bayar lebih. Ini kerana mereka yang berbelanja lebih adalah daripada mereka yang berpendapatan tinggi dan begitulah sebaliknya. Kadar GST sebanyak enam peratus itu adalah yang terendah di Asia Tenggara dan ia juga antara yang terendah di dunia.

Kita juga telah senaraikan barisan panjang pelbagai barangan yang tidak dikenakan GST. Ada juga dikenakan pengurangan cukai antara satu hingga tiga peratus ke atas barangan tertentu bagi membantu rakyat mengimbangi harga sesuatu barangan itu.

Kalau kita mahu hapuskan GST, adakah kita mahu balik semula kepada sistem SST yang ternyata kurang efisyen. Bagi saya, cadangan itu adalah satu langkah yang terkebelakang sedangkan 160 negara telah pun melaksanakan GST. Dengan adanya GST, kerajaan mempunyai dana yang mencukupi bagi meneruskan pelbagai agenda dalam pembangunan negara.

Contohnya projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak yang menelan belanja hampir RM30 bilion. Idea asalnya, kerajaan memperuntukan bajet RM500 juta setahun. Bayangkan, kalau dengan bajet RM500 juta setahun, ia akan mengambil masa puluhan tahun untuk disiapkan. Itu terlalu lama. Tetapi kini lebuh raya itu boleh disiapkan dalam masa sekitar tujuh tahun sahaja.

BR1M pula ada orang kata ia macam suatu pemberian tunai secara pukal tetapi ia sebenarnya adalah peralihan subsidi kepada golongan sasar. Begitu juga dengan subsidi minyak, kalau dahulu masa kita subsidikan harga minyak ia lebih memberi keuntungan kepada orang berada.

Contohnya, kenderaan utiliti sukan (SUV) menggunakan 600 liter minyak sebulan. Kalau dalam setiap liter minyak itu ada 50 sen subsidi minyak yang diberikan oleh kerajaan, maka saya sebagai CEO Maybank ketika itu mendapat subsidi RM300 sebulan.

Sedangkan para pekerja di bawah yang pakai kereta kancil menggunakan 150 liter minyak sebulan, mereka menerima subsidi RM75. Jadi, bagaimana seorang CEO mendapat subsidi minyak RM300 sebulan dan pekerja biasa tadi pula hanya menerima subsidi minyak RM75 sebulan?

Selain itu, subsidi minyak menyebabkan berlaku ketirisan sehingga negara rugi berbilion-bilion ringgit setiap tahun. Pada 2014, pengunaan minyak diesel domestik adalah 900 juta liter sebulan. Apabila subsidi minyak dihapuskan, penggunaan diesel itu turun 40 peratus.

Apabila subsidi minyak diberikan, ia bukan digunakan sepenuhnya oleh orang yang memerlukannya tetapi juga dieksport ke Thailand, Filipina dan Indonesia serta digunakan oleh industri-industri yang tidak sepatutnya.

ISU MALAYSIA BANKRAP

Bagaimana Tan Sri melihat kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meningkatkan taraf hidup bumiputera terutama di luar bandar?

ABDUL WAHID: Sewaktu Perdana Menteri melantik saya sebagai Pengerusi di PNB dulu, beliau minta saya transformasikan PNB ke arah membantu taraf hidup golongan bumiputera dan penekanan pula lebih kepada soal kesejahteraan. Peluang pekerjaan antara perkara yang perlu ditingkatkan seperti dalam program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang banyak membantu golongan sasaran mendapatkan latihan dan peluang pekerjaan.

Hasrat Perdana Menteri mahu melihat soal kebajikan diambil kira termasuklah soal gaji. Ramai yang tidak perasan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti PNB juga mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) agenda bumiputera dari segi ekonomi, pekerjaan dan sebagainya yang perlu dicapai di mana kita akan menilai setiap enam bulan sekali.

Konsep kita adalah dari segi kredit ataupun dalam bahasa yang mudah jika seseorang ketua pegawai eksekutif (CEO) itu mahukan sesuatu kredit maka mereka perlulah menunjukkan peningkatan dari sudut KPI tersebut. Ini adalah agenda inklusif.

Saya sendiri sebagai bekas CEO Maybank dan Telekom Malaysia mempunyai pengalaman itu dan sebab itulah tiada alasan mengapa kita tidak boleh melaksanakan Program Transformasi Kesejahteraan Bumiputera agar ia juga dapat dilaksanakan secara komprehensif.

Apa pandangan Tan Sri terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh pembangkang kononnya Malaysia hendak bankrap?

ABDUL WAHID: Dalam isu ini, apa yang penting adalah soal penarafan kredit. Dahulu defisit yang tinggi mampu memberi kesan keseluruhan kepada hutang dan pengurusan kewangan kita yang negatif. Namun kita telah mengadakan langkah rasionalisasi subsidi di mana kita telah mengurangkan defisit fiskal kepada tiga peratus pada tahun lalu dan kepada 2.8 peratus pada tahun ini berbanding 6.4 peratus pada 2009.

Kita juga melebarkan asas percukaian menerusi pengenalan GST kerana sebelum ini, hanya sekitar dua juta orang sahaja pembayar cukai di negara ini tetapi kini jumlahnya telah bertambah. Ini membolehkan kita mendapat banyak pelepasan dan kerajaan dapat menggunakan duit yang ada bagi membiayai pelbagai projek pembangunan. Ini selaras dengan strategi Malaysia untuk mempelbagaikan struktur ekonominya dan tidak bergantung kepada hasil minyak dan gas.