Seperti negara lain, ketibaan tahun 2014 disambut dengan penuh meriah dan paling menarik sambutan dimulakan dengan upacara penuh tradisi seperti letupan meriam buluh.

Begitu juga dengan kawasan kutub selatan Antartika adalah antara tempat yang menerima kunjungan tahun 2014 lebih awal daripada negara lain, mendapat perhatian istimewa kerana 74 orang yang terkandas dalam kapal penyelidikan MV Akademik Shokalskiy juga meraikan ketibaan 2014 dengan cara mereka tersendiri walaupun langkah menyelamatkan mereka terbantut buat seketika.

Hakikatnya adalah bermula dari Tonga hinggalah ke negara yang paling lewat menerima kunjungan tahun baharu 2014 iaitu di American Samoa, upacara mengikut kelaziman dan kemampuan masing-masing diadakan bagi meraikan peristiwa tersebut saban tahun.

Malah sambutan di Red Square Moscow juga tetap diteruskan walaupun Rusia sedang berhadapan dengan keadaan keselamatan yang genting apabila berlaku dua letupan yang meragut banyak nyawa di bandar Volgograd.

Begitu menakjubkan juga, dua bandar besar yang dikatakan sedang bergolak iaitu Bangkok dan Kiev juga meraikan kehadiran tahun 2014 tanpa berlaku peristiwa yang mencacatkan sambutan tersebut.

Bangkok menjelang tahun baharu dikatakan agak tenang setelah sejak beberapa minggu mengalami suasana tidak menentu akibat demonstrasi dan protes terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Tidak timbul keadaan kumpulan yang terlibat dalam protes tersebut mengambil peluang untuk mengkucar-kacirkan lagi keadaan dalam suasana penduduk Bangkok meraikan tahun baharu 2014.

Suthep Thaugsuban yang dianggap sebagai ketua dan dalang protes di Bangkok mengambil keputusan menghentikan buat seketika aktiviti protes untuk memberi laluan supaya sambutan tahun baharu tidak terganggu.

Tetapi beliau menyeru rakyat Thailand untuk menyertai perhimpunan apa yang digelar sebagai ‘Bangkok Blitz’ sebaik-baik sahaja berada di tahun 2014 dengan tujuan untuk melumpuhkan Bangkok sekali lagi.

Begitu juga dengan penunjuk perasaan yang berhimpun sejak sebulan lepas di Dataran Kemerdekaan Kiev, Ukraine sebagai membantah keputusan Presiden Viktor Yanukovych membatalkan perjanjian dengan Kesatuan Eropah (EU). Mereka tidak mengambil langkah untuk sabotaj sambutan tahun baharu yang diadakan di tempat berhampiran dataran tersebut.

Tetapi lain pula cerita dengan kumpulan yang menjadi tulang belakang Himpunan Guling Kerajaan telah menggunakan kesempatan acara sambutan tahun baharu 2014 di Dataran Merdeka sebagai pemangkin untuk mengkucar-kacirkan keadaan di ibu kota Kuala Lumpur.

Dataran Merdeka cukup sinonim dengan sambutan tahun baharu kerana ia menjadi ikon dan tradisi, bukan sahaja untuk sambutan tahun baharu tetapi juga bentuk sambutan yang lain.

Tidak keterlaluan jika New York Times Square di Amerika Syarikat, Marina Bay di Singapura dan Sydney Harbour di Australia ialah tempat yang begitu dikenali sebagai pusat sambutan tahun baharu, begitu juga dengan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Tetapi sambutan tahun baharu 2014 di Dataran Merdeka tercemar apabila dianggarkan 5,000 peserta Himpunan Guling Kerajaan telah bertindak ganas dengan merempuh penghadang polis untuk merampas pentas utama dan paling mengaibkan sekali memaksa penganjur membatalkan sambutan kira-kira 30 minit menjelang detik 12 tengah malam.

Rasa hormat dan adat orang Timur bagaikan sudah hilang apabila kumpulan tersebut menyerbu masuk ke pentas dari segenap sudut dengan jeritan ungkapan ‘reformasi’ dan ‘turun’.

Dan paling memalukan sekali mengerumuni dan mengambil alih pentas utama. Acara konsert dan pertunjukkan bunga api juga terpaksa dibatalkan setelah peserta perhimpunan haram itu membaling objek ke arah pentas utama ketika pancaragam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang membuat persembahan.

Adalah agak memalukan juga gelagat kumpulan Himpunan Guling Kerajaan yang menjerit pekik serta memaki hamun Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib yang pada ketika itu sedang cuba menenangkan keadaan dengan berucap di atas pentas utama.

Tidak sukar untuk membaca strategi dalang himpunan tersebut kerana tetap berkeras memilih Dataran Merdeka sebagai lokasi utama mereka kerana begitu jelas mereka ini mempunyai maksud untuk mengkucar-kacirkan sambutan tahun baharu.

Tetapi harapan kumpulan ini untuk mengajak pengunjung yang berada di Dataran Merdeka turut serta dalam himpunan tersebut ternyata sekali gagal, malah menongkah arus objektif asal kerana ramai yang hadir bergegas meninggalkan dataran kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Peristiwa yang telah melanda Dataran Merdeka adalah secara mikronya begitu jelas huru-hara boleh melanda negara jika pendekatan protes jalanan digunakan sebagai modus operandi untuk mencapai satu-satu tujuan.

Begitu sahih sekali dalang Himpunan Guling Kerajaan ini akan melakukan apa sahaja hanya untuk mencapai cita-cita politik mereka kerana sebarang gangguan di Dataran Merdeka menjelang tahun baharu sudah pasti boleh mencetuskan huru-hara.

Keadaan menjadi terkawal hanya kerana pihak keselamatan mengambil pendekatan berhemah yang mengelak keadaan menjadi bertambah buruk.

Begitu berbeza sekali prinsip dan disiplin yang dipamerkan oleh kumpulan protes di Bangkok dan Kiev kerana mereka sanggup mengetepikan buat seketika aktiviti protes menjelang tahun baharu, sedangkan pula dalang Himpunan Guling Kerajaan telah mengambil kesempatan sambutan untuk menghuru-harakan lagi keadaan.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM