Dalam satu hadis lain Rasulullah pernah bersab­da: “Sesungguhnya bagi semua umat terdapat fitnah dan fitnah terhadap umatku ialah pada harta.” - Riwayat at-Tirmizi dan Ahmad.

Cuba kita mengamati kedua-dua hadis ini dan sememangnya apa yang disabdakan oleh Rasulullah itu kini benar-benar terjadi dan kita tidak boleh menolak kemungkinan, inilah zaman yang dimaksudkan oleh Rasulullah.

Buktinya terlalu banyak dan kisah seumpama ini boleh dibaca di akhbar-akhbar mahupun ditonton di te­levisyen tentang kerakusan manusia mencari harta benda tanpa mengira halal atau haram. Bagi mereka apa yang lebih penting kemewahan dunia mesti dikecapi walaupun sumber pendapatan yang diperoleh adalah daripada sumber-sumber yang haram.

Terdetik Kalam untuk membincangkan isu tersebut minggu ini selepas akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 5 November lalu menyiarkan satu berita mengenai bayaran antara RM500,000 hingga RM3 juta setiap bulan kepada agensi penguatkuasaan oleh sindiket perjudian.

Bayaran itu diuruskan oleh orang tengah. Tujuan pembayaran itu dibuat adalah untuk memastikan perniagaan sindiket perjudian tidak terjejas. Secara peribadi Kalam sungguh tidak menyangka situasi seperti ini benar-benar berlaku di negara kita. Bukan itu sahaja, orang tengah ini turut menyediakan habuan seks, percutian dan hiburan.

Rentetan daripada berita itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera terutama dakwaan mengenai wujudnya orang tengah berkenaan untuk membantu sindiket perjudian haram beroperasi.

Walaupun dakwaan ini akan disiasat namun Kalam berpandangan segala-galanya berkemungkinan. Oleh itu tidak mustahil jika sindiket perjudian haram ini mampu mengaut keuntungan berpuluh juta ringgit setiap bulan.

Dengan kata lain kalau setakat RM500,000 hingga RM3 juta untuk belanja rasuah setiap bulan tidak akan beri apa-apa kesan kepada pihak sindiket berbanding keuntungan yang mereka raih. Cuma apa yang paling kita kecewa ialah sikap penguat kuasa (majoritinya orang Islam) yang sanggup pecah amanah demi mendapatkan kemewahan dengan cara haram.

Sungguhpun begitu Kalam tetap menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim untuk menghapuskan sindiket perjudian di negara ini.

Kalam juga amat mengharapkan sekiranya siasatan mendapati ada anggota dan pegawai polis serta pegawai penguatkuasaan agensi lain bersekongkol dengan kumpulan sindiket perjudian, tindakan paling tegas perlu dikenakan. Jangan hanya setakat dipecat bahkan setiap penjawat awam yang pecah amanah ini perlu diseret ke muka pengadilan untuk diadili. Jika sabit kesalahan mereka wajar menerima hukuman setimpal.

Kadang-kadang Kalam terfikir, tidakkah mereka yang mengambil rasuah ini berasa bersalah? Tidak cukupkah pendapatan mereka setiap bulan? Lebih malang lagi de­ngan duit rasuah itu, mereka membeli makanan dan ke­perluan hidup untuk anak-anak dan isteri. Agak-agak ada atau tidak keberkatan dalam keluarga yang sebegini?

Mesej Kalam pada siaran kali ini, hentikanlah amalan mengambil rasuah. Selain haram dan berdosa, perbuatan itu boleh meruntuhkan institusi masyarakat dan negara. Memang tidak boleh dinafikan setiap orang tidak terlepas daripada godaan rasuah jika tidak berhati-hati termasuk orang surat khabar seperti Kalam. Renung-renungkanlah.