Dalam senarai anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), jiran Malaysia di atas ialah Malawi. Di bawah Malaysia ialah Maldives dan diikuti dengan Mali. Begitulah hampirnya Malaysia dengan Mali.

Bagi saya pula, sejak kecil lagi ketika mula berminat terhadap negara-negara seantero dunia, Mali dirasakan begitu eksotik dan romantik. Sememangnya apabila membaca perjalanan Ibnu Batuta, ada diceritakan bagaimana beliau sampai ke Mali dan menceritakan kehebatan kota Timbuktu.

Tetapi apa yang menarik minat saya terhadap Timbuktu ialah kisah yang dibawa oleh penjelajah Eropah. Mereka mendengar Timbuktu sebagai kota yang bukan saja indah tetapi penuh dengan harta dan emas. Malangnya bagi mereka, orang bukan Islam dilarang masuk ke kota itu.

Persatuan Geografi Perancis menawarkan wang yang banyak kepada mana-mana penjelajah Eropah yang berjaya masuk ke Timbuktu. Tawaran ini diambil oleh seorang yang bernama Rene Caillie. Beliau menyamar sebagai orang Islam dan berjaya menjadi orang bukan Islam pertama dapat masuk ke Timbuktu dan pulang dengan selamat.

Akhirnya Timbuktu menjadi sebahagian daripada tanah jajahan Perancis yang dinamakan Sudan Perancis. Mali mencapai kemerdekaan pada tahun 1960.

Kini Timbuktu adalah sebuah bandar kecil yang miskin. Ibu kota Mali ialah Bamako.

Namun begitu, pada tahun 1988, Timbuktu diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia. Khazanah yang dimiliki ialah masjid-masjid purba beserta makam-makam Sufi, beserta dengan perpustakaan warisan yang dibina dengan reka bentuk dan bahan tradisi.

Terdapat 70,000 manuskrip lama termasuk al-Quran purba, di beberapa perpustakaan, institut dan koleksi awam dan persendirian. Malah reka bentuk capal Rasulullah SAW yang kini terkenal di dunia Islam mulai ditemui di situ melalui manuskrip lama.

Ini kesemuanya kerana pada kurun ke-13 ke 17, Timbuktu muncul sebagai pusat ilmu Islam di bawah pemerintahan Askia Mohammad. Sebahagian daripada umat Islam di Mali adalah pengikut tarikat-tarikat Sufi. Mereka amat menghargai makam-makam dan manuskrip lama.

Malangnya kesemua khazanah ini terancam. Pada waktu ini sedang berlaku peperangan. Golongan pemberontak daripada suku kaum Taureg di bawah Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Azawad (MNLA) menawan Mali Utara termasuk Timbuktu. Mereka dibantu oleh kumpulan-kumpulan Islam yang berfahaman Wahabi iaitu Ansar Din dan Al-Qaeda di Maghreb Islami (AQIM). Kemudian mereka menumpaskan MNLA dan menguasai pula Timbuktu.

Pada tahun lalu, dilaksanakan hukum Syariah menurut versi mereka. Beberapa makam lama dan bangunan bersejarah turut dimusnahkan. Ini kerana mereka memusuhi tarikat-tarikat Sufi dan tidak menghargai khazanah-khazanah warisan.

Golongan ini kemudian mengepung Bamako dan hampir menguasai pemerintahan Mali. Maka kerajaan Mali meminta bantuan tentera Perancis untuk menentang mereka.

Kehadiran tentera Perancis di Mali mendorong sebahagian daripada mereka menyerang pangkalan minyak di Algeria baru-baru ini dimana antara yang terkorban ialah rakyat Malaysia.

Kumpulan-kumpulan ini menjadi kuat ekoran kejatuhan Muamaar Gaddafi di Libya. Semasa pemerintahan beliau, golongan ini berada di Libya dan menjadi tentera pendokong Gaddafi. Setelah jatuhnya Libya dalam Arab Spring di situ, golongan ini berpindah ke Mali untuk menguasai negara itu. Kalau melihat nama Al-Qaeda di Maghreb Islami, ternyata matlamatnya adalah keseluruhan Afrika Utara iaitu termasuk Maghribi, Algeria, Tunisia dan Libya selain Mali dan negara-negara Sahara yang lain.

Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan Mali. Kedutaan Besar Malaysia di Dakar, Senegal ditauliahkan untuk Mali juga.

Hubungan diplomatik antara kedua negara diwujudkan pada tahun 1988. Ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri mempunyai dasar meningkatkan hubungan dengan negara-negara kecil yang terpinggir di seluruh dunia, dari Pasifik hinggalah ke Afrika. Maka Mali menjadi pilihan beliau.

Semasa satu kunjungan saya ke Teheran, Iran pada tahun 1989, ada seorang diplomat yang menceritakan pada saya mengenai jerit perih usaha untuk mewujudkan hubungan diplomatik Malaysia dengan Mali.

Diplomat yang diberi tugas itu terpaksa meredah padang pasir ke Bamako. Saya sudah lupa kisah yang diceritakannya. Apa yang masih diingat ialah bahawa kisah itu amat menarik bagi saya pada waktu itu. Mali sememangnya sebuah negara istimewa yang walaupun dalam keadaan daif memiliki sejarah dan warisan penting bagi umat Islam.

Banyak manuskrip yang tersimpan dalam perpustakaan-perpustakaan tanah liat itu masih belum dikaji oleh penyelidik moden. Pastinya di dalamnya terkandung banyak pengetahuan bukan saja mengenai sejarah Mali dan Islam di Afrika Utara. Lebih penting lagi ialah banyak perkara mengenai agama Islam pada peringkat awal yang sudah hilang tetapi masih tersimpan di Timbuktu.

Empayar Mali adalah kerajaan purba terbesar dan maju serta kaya kerana perdagangan merentas Sahara pada kurun ke-14.

Sebelum itu, Mali diperintah Al-Murabitun, sebuah kumpulan yang kuat berpegang kepada mazhab Maliki dan tarikat Darqawiah. Tarikat ini masih diamalkan di beberapa tempat di Afrika Utara.

Al-Murabitun menakluki bukan saja Afrika Utara tetapi juga sampai ke Andalusia di Sepanyol pada kurun ke -8.

Dalam urusan muamalah, kumpulan ini tegas dalam menggunakan emas dan perak sebagai mata wang, iaitu Dinar dan Dirham. Penggunaan mata wang ini dianggap wajib kerana ia disyariatkan. Bagi mereka hanya dengan sistem ini, riba dapat dihindari dan keadilan sebenar dilaksanakan.