Malah, beliau menyatakan bahawa persaraannya adalah permulaan satu era dalam hidupnya. Apa yang menariknya, beliau bercadang untuk kembali semula dalam sektor pendidikan. Beliau pernah menjadi pensyarah universiti sebelum terlibat dalam perniagaan Alibaba. Bayangkan begitu banyak perkara yang boleh beliau lakukan selepas bersara, sektor pendidikan jugalah menjadi pilihan utamanya! Malah, tanpa ragu-ragu, beliau terfikir untuk mengajar semula kerana sayangkan industri pendidikan.

Sudah tentulah, jika beliau ingin mengajar semula, banyak perkara yang ingin dikongsi dan disebarkan kepada masyarakat terutamanya bakal pelajarnya nanti. Pengalamannya dalam perniagaan sehingga melonjak menjadi antara orang terkaya di dunia amat berharga untuk dikongsi kepada orang lain. Sektor pendidikan begitu dekat dengannya, bahkan dengan umur yang masih muda dan dikenali sebagai tokoh perniagaan dunia, perkongsian ilmu amat penting untuk masyarakat sekelilingnya.

Perkongsian ilmu dijangkakan lebih menarik memandangkan dirinya berasal daripada keluarga miskin. Bukanlah lahir-lahir terus menjadi seorang yang kaya raya kerana mewarisi harta keluarga. Daripada seorang yang berasal daripada keluarga miskin, berusaha untuk tingkatkan ilmu pengetahuan terutamanya dalam kursus bahasa Inggeris dan menjadi pensyarah selepas itu sehinggalah menjadi tokoh perniagaan yang berjaya di dunia pada hari ini, maka sudah tentu perkongsian ilmunya boleh me­ningkatkan motivasi sesiapa sahaja untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Miskin di sini bukanlah bermaksud dari sudut wang ringgit dan harta benda semata-mata. Miskin termasuklah dari sudut ilmu. Tidak semua orang boleh menjadi seperti Jack Ma yang begitu kaya dengan wang dan harta. Namun, kita juga boleh mengikut jejak Jack Ma untuk berkongsi dan menyebarkan ilmu sebagaimana beliau bercadang untuk lakukan semasa era persaraannya dalam sektor perniagaan. Sesiapa sahaja boleh menimba ilmu. Tidak kira sama ada menimba ilmu secara formal di menara gading mahupun secara tidak formal dalam kehidupan seharian, menimba ilmu adalah sesuatu yang perlu dilakukan oleh manusia pada setiap hari.

Pengalaman juga mengajar kita dalam menimba ilmu. Namun, bagaimana kita menggunakan pengalaman tersebut untuk mengharungi kehidupan pada masa akan datang itulah yang sewajarnya menjadi pasak dalam kehidupan kita. Melalui pengalaman tersebut, sebarang kesilapan sewajarnya dijauhi daripada berulang kembali. Mana yang baik dijadikan iktibar untuk diteruskan pada masa akan datang.

Dalam konteks ini, tidak kiralah apa status kita, sama ada orang kaya atau miskin, tua atau muda, pemimpin atau orang bawahan, berpendidikan tinggi mahupun tidak, menimba ilmu menjadi keperluan hidup manusia. Bagi mereka yang sudah tamat belajar di universiti, episod menimba ilmu ini tidak terhenti begitu sahaja meskipun selepas menggenggam segulung ijazah manakala, mereka yang baharu sahaja memasuki universiti, berusahalah sedaya upaya untuk mendapatkan sebanyak mungkin ilmu agar dapat digunakan dalam kehidupan mendatang. ­Pastinya, orang yang berilmu itu akan sentiasa dikelilingi orang lain. Sesuatu ilmu itu tidak akan berkurangan hatta sedikit pun jika dikongsi kepada orang lain.

Malah, lebih daripada itu akan meningkatkan lagi ilmu seseorang kerana setiap kali perkongsian ilmu tersebut, setiap kali itulah kita akan belajar sesuatu. Ilmu itu terbentang luas yang dikurniakan oleh Yang Maha Esa, Allah SWT. Kita pula hanya perlu mencarinya dengan berusaha gigih tidak kira di manakah ilmu tersebut boleh diperoleh.

Mencari ilmu tersebut dengan mempelajari daripada golongan berwibawa terutamanya melibatkan perkara-perkara yang masih belum difahami lagi. Meskipun begitu banyak maklumat yang boleh diperoleh melalui ledakan teknologi maklumat, namun kita juga wajar berhati-hati apabila membaca sesuatu. Jika tidak pasti kebenaran sesuatu maklumat itu, maka rujuklah mereka yang memiliki ilmu tersebut yang menggambarkan kewibawaannya dalam berbicarakan sesuatu perkara.

Setiap detik yang berlalu, tahun demi tahun juga berlalu, namun, ilmu tetap diperlukan oleh manusia. Lebih-lebih lagi dalam era yang dikatakan serba canggih pada masa kini, menimba ilmu yang betul, berkongsi dan menyebarkannya kepada masyarakat menjadikan kehidupan masyarakat lebih baik. Maka, tidak menghairankan semangat seorang guru yang masih tetap kukuh dalam sanubari manusia seperti Jack Ma, menjadi pemangkin kepada mereka untuk menabur bakti kepada masyarakat meskipun sudah berjaya dalam lapangan masing-masing.

Ingatlah, dengan ilmu, kehidupan seseorang hatta masyarakat sekalipun mampu diubah menjadi lebih baik. Justeru, sempena Maal Hijrah tahun ini, kita wajar ­tanamkan azam untuk sentiasa berusaha meningkatkan ilmu yang baik dan benar, seterusnya berkongsi dan menyebarkan kepada orang lain. Berhijrahlah untuk menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Profesor Madya Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara 
Malaysia (UUM).