Berdasarkan jadual yang telah disusun majlis pembukaannya akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad manakala majlis penutupnya pula iaitu pada 22 Mac akan disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Inilah serba sedikit pemberitahuan tentang penganjuran majlis tersebut untuk pengetahuan umum. Yang pasti penduduk Seremban seharusnya merasa bertuah apabila Negeri Sembilan dipilih sebagai tuan rumah untuk majlis tersebut bagi tahun ini.

Oleh itu peluang ini jangan disia-siakan. Silalah hadir beramai-ramai ke Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) untuk mendengar secara langsung keindahan serta kelunakan bacaan al-Quran oleh setiap peserta secara bertaranum.

Pada masa sama jangan lupa hayati setiap ayat yang dibacakan sama ada qari mahupun qariah itu kerana dalamnya terdapat petunjuk, pengajaran dan iktibar yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan seharian. Ada baiknya para ibu bapa membawa sekali anak-anak mereka agar budaya al-Quran dapat dipupuk sejak kecil. Untuk makluman masuk adalah percuma.

Lazimnya majlis tilawah akan diadakan pada sebelah malam manakala hafazan pula akan diadakan pada sebelah siang. Selain mendengar keindahan bacaan al-Quran oleh para peserta melalui taranum yang dibawa, pasti kita akan kagum apabila melihat keupayaan anak-anak tahfiz membaca al-Quran secara hafazan.

Dengan usia yang begitu muda ada di antaranya mampu menghafaz sehingga 30 juzuk. Mereka bukan setakat menghafal malah berupaya melakukan terjemahan, tafsiran ringkas serta menyatakan asbabunnuzul (sebab-sebab turunnya) ayat tersebut.

Menurut sejarah, Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang pertama telah diadakan pada 8 Mac 1960. Majlis itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Kesemua 11 buah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu ketika itu telah menghantar wakil masing-masing ke pertandingan tersebut.

Sejak tahun tersebut penganjuran majlis tilawah itu terus diadakan saban tahun hinggalah hari ini.

Menjadikan penganjuran majlis itu sejak 59 tahun lalu sebagai satu simbolik, apa yang boleh dikatakan pembacaan al-Quran sepatutnya menjadi budaya dalam kehidupan umat negara ini dan bukan sekadar dibaca apabila tiba Ramadan atau ketika berlaku kematian. Setidak-tidaknya satu muka atau setengah muka sehari.

Jangan biarkan al-Quran berhabuk kerana tidak disentuh. Al-Quran adalah panduan hidup yang wajib didampingi setiap hari. Al-Quran adalah cahaya petunjuk agar umat manusia tidak tersesat. Intipatinya memandu umat Islam ke arah jalan yang lurus.

Malah terdapat beberapa kisah bagaimana saintis terkenal seperti seorang doktor bedah dan autopsi dari Perancis, Prof. Dr. Maurice Bucaille. yang membuat keputusan memeluk Islam selepas takjub dengan ayat al-Quran berkaitan dengan keadaan mayat Firaun yang masih elok (surah Yunus, ayat 92).

Begitu juga dengan seorang saintis Jepun, Dr. Atsushi Kamal Okuda yang memeluk Islam selepas terkesan dengan ayat al-Quran yang menceritakan asal penciptaan manusia daripada tanah liat (surah al-Hijr, ayat 26).

Tidak dinafikan kita terlalu sibuk dengan kehidupan hari-hari sehingga tiada masa untuk membuka dan membaca al-Quran. Sehingga tiada masa untuk membaca pesanan-pesanan Allah SWT kepada setiap hamba-Nya.

Alangkah ruginya jika al-Quran tidak dibaca dan didampingi. Paling rugi jika kita tidak mendapat syafaat al-Quran di akhirat kelak. Hayati pesanan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:”Bacalah al-Quran, sesungguhnya al-Quran akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada golongannya.”

Berbalik kepada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan 2019, pemenang bagi kategori tilawah dan menghafaz Al-Quran akan mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 15 hingga 20 April akan datang.


Jangan biarkan al-Quran berhabuk kerana tidak disentuh. Al-Quran adalah panduan hidup yang wajib didampingi setiap hari. Al-Quran adalah cahaya petunjuk agar umat manusia tidak tersesat.