Nama-nama calon tertentu berlegar dari mulut ke mulut dan parti-parti politik pula menyatakan minat serta harapan untuk meletakkan wakil masing-masing.

Dalam pada itu, pertembungan tiga penjuru yang dilihat berkemungkinan besar berlaku di banyak kawasan apabila Pas mengambil keputusan keluar daripada pakatan pembangkang turut menjadi bualan.

Pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan diketuai DAP dan Pas pastinya memberi keputusan yang tidak dijangkakan.

Ramai yang menyatakan bahawa pertembungan tiga penjuru mampu memberi ‘mileage’ kepada BN.

Namun, ada juga yang menyatakan pertembungan tiga penjuru tidak menguntungkan BN kerana ia melibatkan perpecahan pengundi Melayu.

Hakikatnya, perpecahan yang wujud itu adalah lebih kepada pengundi Melayu sama ada yang menyokong UMNO, Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Dalam soal ini, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menegaskan bahawa dalam pilihan raya, pertandingan dua penjuru atau tiga penjuru bukan yang menjadi faktor penentu.

Apa yang penting adalah personaliti, karisma dan ketokohan seseorang calon yang menentukan sokongan pengundi.

Justeru, kata Menteri Besar Pahang itu, pemilihan calon yang disukai ramai adalah penting tidak kira sama calon itu veteran, muda, mempunyai jawatan dalam parti atau sebaliknya.

“Dalam pilihan raya, itu bukan sifirnya kerana ia terpulang kepada calon. Walaupun ‘straight fight’, kalau dia popular orang undi dia. Jika misalnya tiga penjuru, dia tidak popular kalah juga.

“Pertandingan dua penjuru atau tiga penjuru tidak timbul kerana yang penting ialah ketokohan, populariti dan penerimaan pengundi terhadap calon yang kita kemukakan,” katanya selepas menyampaikan dividen Agropolitan Chemomoi di Bentong, Pahang baru-baru ini.

Berikutan itu, usah terlalu melihat berapa banyak penjuru pertandingan di sesuatu kerusi itu, sebaliknya jentera BN ‘buat kerja seperti biasa’ untuk mendekati serta memenangi hati rakyat.

Tampilkan calon terbaik dan sentiasa konsisten dalam menawarkan perkhidmatan kepada rakyat dalam apa juga situasi. Itu lebih utama. - UTUSAN ONLINE