Ketika ditemubual wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan ZULQURNAIN OTHMAN di pejabat beliau di Putrajaya pada Jumaat lalu, Subromaniam memberitahu, beliau telah mengarahkan supaya diadakan bengkel bagi mengenal pasti kelemahan yang ada bagi menutup ruang dan peluang kepada elemen rasuah serta salah guna kuasa.
 Beliau juga mewajibkan semua warga JKDM membuat ikrar bebas rasuah dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengarahkan pegawai penguat kuasa yang bersenjata ditempatkan bersama pegawai yang bertugas membuat pemeriksaan di pintu masuk sempadan negara.
 Dalam wawancara yang berlangsung kira-kira sejam itu, beliau turut menjelaskan tentang cabaran dan kekangan yang dihadapi jabatan itu selain isu GST yang masih lagi menjadi pertikaian dan perbualan sebahagian rakyat dan peniaga.

 

MINGGUAN: Tahniah atas pelantikan Datuk sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kastam. Apakah perancangan baharu yang mahu dibawa dalam mengemudi JKDM?

SUBROMANIAM: Kalau kita lihat kerja-kerja perkastaman ini sangat teknikal. Kadang-kadang selama ini kita beri keutamaan kepada peningkatan hasil. Memang baguslah tetapi peningkatan hasil tidak semestinya mencerminkan kecekapan perkhidmatan kastam.

Saban tahun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik kerana ekonomi bertambah baik. Sudah tentu hasil akan meningkat. Jadi, ukuran sebenarnya kita kena tengok adakah ketirisan itu semakin menguncup.

Antara langkah pertama yang saya ambil ialah saya lihat balik proses dan prosedur kerja-kerja perkastaman termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) Kita akui banyak ketirisan hasil dan Utusan Malaysia pun selalu laporkan. Di mana ada ruang dan peluang untuk berlakunya salah guna kuasa dan elemen-elemen rasuah atau kelemahan prosedur dan perundangan. Ini yang kita beri keutamaan sekarang.

Apakah langkah yang dibuat oleh pihak Datuk untuk mengenal pasti ruang dan peluang kepada elemen rasuah?

SUBROMANIAM: Kita sedang mengadakan bengkel demi bengkel bagi mengenal pasti kelemahan ini. Apabila kelemahan prosedur dibaiki dan dimantapkan, sudah tentu kekurangan hasil itu dapat dikuncupkan. Barulah kita dapat lihat penyelesaian jangka panjang. Itu secara langsung akan meningkatkan hasil negara.

Kadang-kadang kita bercakap tentang rasuah dan ketirisan hasil tetapi kita kena tahu puncanya datang dari mana. Kalau tidak kita sekadar melawan api iaitu selepas terjadi baru hendak selesaikan masalah. Sebab itu, kita kena cari punca yang menyebabkan ketirisan hasil. Itu lebih baik kerana dalam jangka panjang, negara akan dapat hasilnya.

Bagaimana Datuk melihat peranan JKDM sebagai antara penjana utama pendapatan negara menerusi GST?

SUBROMANIAM: Bercakap pasal GST, saya rasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil langkah yang cukup berani. Kalau kita sudah laksanakan sistem percukaian ini sejak 20 atau 30 tahun lalu, sudah tentu kedudukan negara sekarang amat mantap. GST harus dilihat dari sudut pemantapan ekonomi negara jangka panjang untuk generasi akan datang. Saya cakap terus-terang rakyat sekarang kurang faham tentang kepentingan GST. Suatu hari nanti mereka akan menghargainya.

Kutipan GST ini bukan untuk masa sekarang tetapi untuk menjadikan negara lebih stabil bagi meningkatkan daya saing negara dari segi eksport dan kita dapat lihat eksport negara kita meningkat.

Melalui GST, pengeksport boleh mendapat semula cukai yang dibayar. Kalau cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dahulu, mereka tidak boleh menuntut balik cukai itu tetapi ia menjadi sebahagian daripada kos. Kadang-kadang rakyat termakan cerita pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka kata barang naik tetapi adakah barang naik disebabkan GST? Kalau kita tidak laksanakan GST pun, barangan akan tetap naik.

Sebab kebetulan bila kita laksana GST, harga minyak jatuh dari lebih AS$100 setong kepada bawah AS$40 setong. Kita buat kajian, ada kaitan linear antara kejatuhan harga minyak dengan nilai ringgit.

Kira-kira 70 peratus kejatuhan nilai ringgit disebabkan kejatuhan harga minyak. Dalam bahasa statistik, ia dipanggil R-squared dalam model regresi. Jadi, janganlah salahkan GST. Kemudian ada peniaga yang ambil kesempatan. Memang ada ramai peniaga ambil kesempatan menaikkan harga. Tapi GST adalah untuk menjamin masa depan negara. Suatu hari nanti orang akan puji dan berterima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri sekarang.

Walaupun kadar GST di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia tetapi masih ada banyak pihak yang mempertikai sistem cukai kepenggunaan itu.

SUBROMANIAM: Bukan antara yang terendah tetapi memang yang terendah di dunia. Banyak negara sudah menaikkan kadar GST. Orang ingat kadar GST di Kanada adalah lima peratus tetapi sebenarnya ada pelbagai kadar. Ada yang lima peratus dan ada yang 10 peratus tetapi kebanyakan negara Eropah mengenakan kadar GST sebanyak 20 peratus. Kadar GST di Belgium misalnya, adalah 21 peratus. Orang tak bising pun.

India yang miskin dan hendak laksana GST, kadar yang dikenakan adalah antara 16 peratus hingga lebih 20 peratus. Macam mana hendak menguruskan negara? Kamu perlukan dana dan daripada mana datangnya dana? Sudah tentu melalui cukai. Delegasi Kastam India ada datang ke Malaysia jumpa kita. Bila dia tahu kadar kita enam peratus, mereka terperanjat bagaimana kita boleh uruskan negara dengan cukai GST enam peratus kerana bagi mereka, ia terlalu rendah. Di Malaysia, banyak barangan asas tidak kena cukai.

Tapi yang menyedihkan apabila pemimpin politik dan wakil rakyat yang sepatutnya puji langkah kerajaan, mempolitikkan GST. Kalau kita sayangkan negara dan untuk menjamin masa depan negara, kita mesti sokong GST. Ada pemimpin politik mengatakan Amerika Syarikat (AS) tidak ada GST. Memang betul tetapi AS ada cukai jualan runcit (RST) yang mengenakan cukai di peringkat peruncitan. AS mengunakan konsep sama tetapi model yang berbeza.

Jadi, apakah langkah yang boleh diambil oleh JKDM bagi memberikan kesedaran kepada rakyat dan peniaga tentang GST?

SUBROMANIAM: Kita sudah buat banyak program semasa pelaksanaan GST dahulu. Kita rasa kadang-kadang cukai ini agak teknikal dan sukar difahami rakyat. Memang ada kita beri penerangan tetapi ada sebahagian rakyat ambil mudah. Macam Perdana Menteri cakap, mana ada negara dalam dunia ini, pergi hospital bayar RM1. Di luar negara, ada pesakit tidak pergi hospital kerana tak mampu. Kita kena bayar sedikit sebagai tanggungjawab kita. Kebanyakan rakyat bayar cukai adalah yang mampu berbelanja. Kebanyakan kampung tidak kena GST sebab mereka belanja barangan asas dan makan di warung, tidak kena GST.

Orang yang duduk di bandar bayarlah sedikit cukai. Sekarang ini, program penerangan yang kita buat agak teknikal kerana kita hendak peniaga-peniaga faham GST. Kita sudah mulakan Strategi Lautan Biru Kastam (Ops CBOS). Ia berteraskan kepada pematuhan melalui pendidikan. Pegawai kita akan pergi melawat dan tengok rekod perniagaan. Kita akan beri tunjuk ajar kepada mereka. Kalau ada buat salah, kita beri masa 30 hari untuk betulkan penyata-penyata. Kalau tidak buat, baru kita ambil tindakan.

Meskipun sudah lama dikuatkuasakan, masih ada sebahagian peniaga yang bising tentang GST. Apakah isunya?

SUBROMANIAM: Sebagai contoh, semasa SST dahulu hanya perniagaan di restoran yang dikenakan cukai tetapi restoran juga selalu buat katering yang tidak kena cukai. Tetapi di bawah GST, kedua-dua perniagaan itu kena cukai. Ada pengusaha restoran dahulu menipu. Dia tunjuk perniagaan restoran RM1 juta setahun manakala katering RM2 juta. Bila laksana GST, RM1 juta campur RM2 juta kena cukai.

Tidak kira jualan di restoran atau katering, kena cukai. Sebab itu ada orang tidak suka. Bila kena GST, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pun kena ikut. Jadi, orang yang tidak suka GST ada datang daripada golongan yang kita kata ekonomi hitam.

Saya beri lagi satu contoh, kalau dahulu penyeludup tidak bayar duti kastam dan jual pada jualan runcit pun tidak ada GST. Tetapi sekarang, walaupun mereka menyeludup, saluran jualan kena ada dan kebanyakan saluran jualan sudah dilesenkan di bawah GST. Itu menyukarkan mereka dan sebab itulah mereka tidak suka. Sebab itu, saya kata GST ini untuk jangka panjang kerana boleh mengurangkan penyeludupan. Suatu masa nanti, negara akan jadi kaya-raya dan sangat stabil.

Kebanyakan negara sudah laksanakan GST sejak 1970-an dan 1980-an termasuk Indonesia. Kalau dahulu negara sudah buat, sekarang sudah cantik dan kalau kadar naik pun, rakyat sudah boleh terima sebab duit itu akan kembali kepada rakyat. Jangan tanya macam mana duit itu dapat balik kepada rakyat. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pergi sekolah, jalan raya dan kemudahan-kemudahan lain, siapa yang bayar kalau bukan kerajaan.

Negara-negara dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) iaitu Arab Saudi, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain hendak melaksanakan GST mulai 2018 dan sebelum 2020. Walaupun negara-negara itu kaya-raya dengan minyak, tetapi harga minyak sudah jatuh. Kalau hendak bantu rakyat miskin dengan hasil minyak sahaja tidak cukup.

Hanya segelintir anggota kastam terlibat rasuah tetapi kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Apakah tindakan Datuk untuk memperbaiki imej jabatan ini?

SUBROMANIAM: Ini satu lagi langkah yang saya ambil. Semua lebih 14,000 warga JKDM dimestikan ambil ikrar bebas rasuah dan buat aku janji serta tandatangan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Langkah ini tidak pernah diambil sebelum ini dan harapan kita ialah warga kita menjadi lebih profesional.

Walaupun tidak ramai pegawai dan kakitangan Kastam terlibat dalam rasuah tetapi imej jabatan tercemar. Imej jabatan adalah sangat penting. Saya ibaratkan jabatan ini seperti satu pasukan bola sepak yang ada 11 pemain. Kalau seorang dah kena beli, pasukan itu tak mungkin menang. Apatah lagi kalau pemain itu adalah penjaga gol. Sebab itu, kalau kita ada 14,000 orang, kita kena pastikan semua bersih daripada amalan rasuah.

Saya tidak rasa segan silu untuk katakan memang ada warga yang terlibat. Kadang-kadang kita dalam sindrom penafian dengan mengatakan semuanya baik. Tetapi itu saya tidak suka. Saya sudah melawat empat negeri dan saya tekankan aspek integriti kepada warga kastam. Memang itulah harapan kerajaan supaya pegawai-pegawai JKDM dapat meningkatkan komitmen terhadap tugas. Saya percaya dalam setahun dua ini, kita akan lihat perubahan yang besar.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk Yaacob Md. Sam melahirkan rasa kecewa kerana pegawai-pegawai penguatkuasaan yang terlibat dengan salah laku tidak dikenakan tindakan disiplin yang tegas.

SUBROMANIAM: Setiap tahun secara purata kita buang kerja hampir 40 kakitangan dan pegawai kastam. Ini adalah sejak dahulu lagi. Tapi kita tidak uar-uarkan perkara ini. Mereka dibuang kerja atas pelbagai kesalahan. Ada yang tidak hadir bertugas, ada terlibat dalam elemen rasuah, gangguan seksual dan pelbagai lagi. Tindakan tatatertib memang diambil tetapi ada yang tidak sampai dibuang kerja. Kita juga ada pegawai SPRM di JKDM.

Soal ketirisan hasil juga sesuatu yang agak serius dan perkara ini perlu diberikan perhatian. Sejauh mana seriusnya ketirisan itu?

SUBROMANIAM: Kalau kita tengok komoditi, ada beberapa barang yang mempunyai kadar cukai yang tinggi, kadar ketirisannya agak serius. Contohnya, rokok, minuman keras, kenderaan, jubin dan tayar.

Inilah lima komoditi di mana ketirisan hasil sangat signifikan. Ada pelbagai cara yang digunakan. Contohnya bawa masuk kereta baharu tetapi isytiharkan sebagai kereta terpakai. Bawa jubin yang kadar cukai 50 peratus tetapi mereka isytiharkan barang lain. Tayar dan besi pun kadar tinggi.

Rokok pula satu kontena sepanjang 12 meter, nilainya hampir RM6 juta. Bawa masuk rokok tetapi isytihar sebagai perabut. Di Pelabuhan Klang sahaja, sehari kita ada 6,000 hingga 7,000 kontena yang hendak masuk. Kalau hendak buka periksa satu kontena, ia akan mengambil sekurang-kurangnya tiga jam dan itupun perlukan beberapa anggota. Kita ada mesin pengimbas tapi cara hendak baca perlukan kemahiran dan pengalaman.

Apakah JKDM ada perancangan untuk menggantikan mesin-mesin pengimbas yang sudah lama di pintu-pintu masuk negara?

SUBROMANIAM: Ada banyak mesin pengimbas yang sudah lama dalam proses penggantian. Mungkin kita akan buat tender terbuka. Pelan penggantian memang ada sebab ada mesin sudah usang dan lama.

Contoh mesin kita di West Port (Pelabuhan Barat) digunakan sepanjang 24 jam dan kita tidak boleh berhenti. Sepatutnya kita ada dua, supaya boleh menutup salah satu mesin untuk proses penyelenggaraan. Proses penggantian itu sedang diusahakan. Kadang-kadang kita fikir senang hendak ganti tetapi kita ada masalah ruang. Sebab kita tidak boleh alih pelabuhan. Tempat itu terhad dan di mana kita kena letak mesin pengimbas.

Bercakap tentang ancaman keselamatan dihadapi pegawai-pegawai kastam, apakah langkah diambil bagi melindungi mereka? Sebab kita tahu pernah berlaku kes pegawai JKDM ditembak mati, dirempuh, diugut dan sebagainya.

SUBROMANIAM: Saya sudah minta pegawai-pegawai penguatkuasaan yang bersenjata untuk berada di pintu-pintu masuk utama. Itu kita panggil Kolaborasi Pengurusan Persempadanan (CBM). Selama ini, pegawai-pegawai penguatkuasaan ada senjata tetapi duduk di pejabat, tunggu kalau pegawai yang proses import dan eksport di pintu masuk terima ancaman baru hendak pergi. Jadi, mulai minggu lepas, saya sudah minta pegawai penguatkuasaan dengan pakaian operasi dan senjata api berada di pintu masuk.

Saya hendak tengok siapa yang mengancam ini. Kadang-kadang benda kecil kita tidak buat, itu yang menyebabkan mereka (penyeludup) semakin berani. Ini soal keselamatan negara. Mereka bawa dadah dan senjata api. Anggota yang ada senjata api duduk di pejabat. Saya tidak tahu kenapa itu berlaku tetapi mungkin sebab itu amalan dari dahulu. Memang bolehlah tunggu panggilan di pejabat tetapi risiko kepada pegawai-pegawai kita yang duduk di pintu masuk sempadan.

Macam di Johor, banyak kes pegawai kita cuba dilanggar dan kejar-mengejar dengan tonto. Cuba mereka duduk di situ dengan senjata api, beranikah tonto nanti?